Didalam doa dan sujudku kepada Allah, aku selalu merintih meminta diberikan kebahagiaan dan cinta yang hakiki. Sepertinya, kehidupan aku ini kelam tidak bewarna. sunyi sepi. Aku selalu bertanya kepada tuhan, dimana rahmatMu? adakah aku tidak layak untuk bahagia? sampai bila aku harus bersabar dan terus bersabar kerana mataku sudah gelap untuk melihat sirna kebahagiaan. Aku mencari kebahagiaan dengan lari dari realiti, berkelana jauh melarikan diri. Aku mencari ketenangan didalam kelajuan keretaapi yang memintas perbatasan tanaman dan sumur.
Pada akhirnya aku mengalah dan tidak berdaya untuk melawan semua suratan takdir yang telah tertulis. Ada perkara didalam dunia ini yang akan kekal dan ada perkara yang aku harus akur. Aku gugurkan ego aku untuk tunduk dan berserah kepadaNya. Didalam sujud yang panjang aku mendapat ketenangan. Aku sedar redha sahaja tidak cukup jika hati ini masih menyimpan kedukaan. Aku belajar untuk mengikhlaskan hati aku untuk melepaskan segalanya, untuk menerima segala takdir yang telah ditentukan Tuhan kepadaku.
Disuatu malam yang tenang, aku merehatkan tubuh aku didalam hammock, terasa seperti tidur didalam dakapan ibuku. Dalam tidak sedar, segala memori yang terlalu lama terkubur menusup masuk didalam kalbu, vivid dan bewarna sephia. Tentang bagaimana ibu bapaku memelihara suatu kecil dahulu dimana aku tidak berdaya untuk melakukan apa sahaja. Dakapan hangat ibuku memberikan aku ketenangan didalam kegusaran aku ditengah malam. Tentang bagaimana kecilnya aku suatu ketika itu yang selalu dengan jenuh bertanyakan segala sesuatu kepada ibuku.
Aku sedar dalam lamunanku bahawa Tuhan telah lama memberikan aku kebahagiaan dengan menganugerahkan kepada aku kedua ibu bapaku. Aku terlalu bodoh untuk tidak menyedari anugerah terbesar ini. Kawan, kekasih mahupun isteri adalah kebahagiaan yang boleh berubah ubah. Tapi pada hakikatnya aku mengkin tidak dapat mengubah takdir tentang siapakah ibu bapa dan keluargaku.
Sekarang aku telah sedar yang ibu bapaku masih tua. Aku semakin meningkat dewasa dan aku masih kagum tentang keajaiban ilahi tentang aku suatu ketika dahulu pernah menumpang didalam seorang rahim manusia yang bernama ibu. Dan aku semakin membesar melebihi kebesaran ibu bapaku. Aku mungkin menjadi seorang yang pelupa dan bodoh untuk meninggalkan dan tidak menghiraukan mereka. Dalam tidak sedar, akulah yang bersalah untuk mengabaikan kedua ibu bapaku. Aku melebihkan perasaan dan egoku sehingga ianya menggugurkan segala kebahagiaan yang pernah terbentuk.
Tuhanku mengetuk pintu hatiku lagi, dia tidak pernah memungkiri janjinya cuma aku sahaja yang bodoh dan tidak sedar selama ini. Kebahagiaan yang cinta yang aku minta itu sudah lama tuhan janjikan cuma aku terlalu bodoh untuk menutup pintu hatiku dari menerima cinta dari ibu bapaku sendiri. Benarlah kata orang, cinta hati pertama seorang lelaki ialah kepada ibunya sendiri. Bahagia dan cinta itu kelihatan sederhana tapi cukup. Aku tidak perlu mencari kebahagiaan aku diatas puncak Marini at 12, menikmati keindahan ibu kota, di gugusan gugusan kepulauan gili di nusa tenggara mahupun dikaki banjaran himalaya. Kebahagiaan dan cinta pertama aku masih setia menanti di rumah lama yang makin jarang aku lewati.
Dan kebahagiaan terbesar tidak perlu diukur dengan wang ringgit, kebahagiaan terbesar ialah bagaimana untuk melihat pengorbanan orang tuaku menjagaku semasa aku kecil dahulu. Jika takdir kehidupan aku ini boleh diubah sekalipun, aku masih memilih untuk bersama ibu bapaku walaupun sepertinya kami kekurangan harta dan wang. ketenangan dan kehangatan pelukan seorang ibu dan ayah tidak boleh digantikan dengan harta dan wang. ianya akan menjadi milik mutlak yang dianugerahkan kepada aku untuk selamanya.
Sedang lama aku mencari dimanakah Tuhan, aku melihat tuhan itu sentiasa ada dan memberikan aku kebahagiaan dengan menganugerahkan Ibu bapaku. ketika aku sudah akur dan tidak berdaya dengan hikmah qada dan qadar aku yang masih single dan tidak punyai apa apa. Ketika itu jugalah tuhanku membuka hijab hatiku dan membongkar semua hikmah tentang perancangan tuhan yang maha hebat dan tepat pada masanya disaat engkau sangat memerlukan pertolonganNya.
Mungkin buat masakini, aku tidak memerlukan kebahagiaan didalam kekasih hati, didalam kesibukan manusia, didalam pengembaraan ke negeri orang, mahupun didalam segala pengejaran kehidupan idealistik dan vivid didalam instagram. Mungkin kebahagiaan hakiki yang aku perlu laksanakan sekarang ialah cuma untuk membahagiakan kedua ibu bapaku sementara aku diberi masa dan pilihan.
Kepada kedua ibu bapaku, anakmu ini rindu dengan kehangatan pelukan kamu semasa aku masih kecil yang aku telah lupakan.
– Hamad
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit