Assalamualaikum buat para followers IIUM Confession. Buat admin, terima kasih andai penulisanku ini tersiar.
Namaku Nasuha. Sekadar menulis untuk berkongsi rasa dan pengalaman… Semoga apa yang ku tulis ini sedikit sebanyak dapat memberi iktibar buat mereka yang mungkin pernah atau sedang melalui apa yang aku lalui.
Aku seorang ibu tunggal. Berpisah dengan bekas suami 3 tahun yang lalu. Ya. Sudah 3 tahun namun hati baru terdetik untuk berkongsi kisah.
Buat pengetahuan semua, aku seorang yang pernah setia. Sangat setia namun tidak aku sangka apa yang terjadi dalam hidupku berubah 360 darjah.
Sepanjang perkahwinan aku dengan bekas suami, aku tidak pernah berahsia baik dari sudut kewangan atau perasaan, namun adat perkahwinan ada pasang surutnya sehingga sampai suatu tahap.
Hatiku sudah tidak mampu toleransi dengan keadaan dan situasi perkahwinan kami. Sepanjang tempoh kahwin, kami dikurniakan 2 orang anak. Mungkin perkahwinan tidak berkah kerana solat yang tunggang langgang dan tiada komunikasi.
Sampai suatu tahap aku sudah tiada nafsu pada suami. Hidupku sehari² hanya melayan anak² dan membaca novel online.
Dalam keadaan perkahwinan yang hambar hatiku di sapa seorang lelaki bernama Farhan (bukan nama sebenar). Dia rakan sekerjaku dan masih bujang sewaktu perkenalan.
Awal perkenalan, memang hatiku tidak pernah terniat untuk bercinta dengannya tambahan pula kerana usianya yang lebih muda dariku. Malah, bekas suami juga tahu kerana aku pernah bercerita mengenai Farhan kepadanya.
Hari demi hari, aku lihat Farhan semakin rancak bertanya khabarku. Jika aku cuti, Farhan akan bertanya kenapa tidak nampak aku pada hari tersebut. Aku semakin hairan dan pada hematku dia terlebih concern.
Sehinggalah suatu hari, Farhan meluahkan perasaannya kepadaku walaupun dia sedar statusku sebagai isteri dan ibu.
Demi Allah, hatiku sangat berbelah bahagi kerana dalam diam aku juga punya perasaan padanya. Ditambah lagi ketika itu hatiku pada suami sememangnya sudah tawar. Ya Allah, ampuni hambaMu ini.
Aku hanyut dibuai perasaan dan dalam diam pernah keluar berjumpa dengan Farhan sekadar makan dan tidak lebih dari itu.
Namun kerana kesungguhan Farhan ketika itu, aku pernah katakan padanya kalau betul aku pilihannya, apa-apa halangan kami harus sama-sama tempuh.
Sesungguhnya aku lupa Allah S.W.T sebaik² perancang. Demi Allah. Aku terlalu lagho ketika itu kerana perkahwinanku yang hambar dan kerana hadirnya Farhan. Aku terlalu jauh dari Tuhan, kerana itu syaitan galak membisikkan hasutan.
Dipendekkan cerita, akhirnya hubungan aku dengan suami berakhir, sudah tentulah dalam keadaan yang kurang baik
Nnamun aku relakan sahaja kerana aku tahu aku bukan isteri yang baik untuknya. Hampir setahun juga aku digantung tidak bertali. Namun hubungan aku dengan Farhan tetap terus berjalan.
Bagiku, sepanjang kemelut aku dengan bekas suami, dia tidak pernah sekalipun meninggalkan aku. Itu yang membuatkan hati aku terus teguh untuknya.
Aku jenis manusia yang apabila menyayangi aku akan sayang sepenuh jiwa, namun jika sudah tawar hati, mati hidup semula pun takkan aku kembali.
Bukan tidak pernah terlintas untuk bertaubat, kembali cuma kadang² hatiku ini lemah, iman sudahlah senipis kulit bawang.
Setelah berpisah, anak² dibahagi. Seorang bersamaku, seorang lagi dengan bekas suami. Anakku juga rapat dengan Farhan kerana aku selalu membawanya bersama jika keluar bersama Farhan.
Farhan zahirnya seorang yang softspoken, matang dan sangat tenang. Jarang aku melihat dia melenting. Suatu hari, Farhan pernah memberitahuku ibunya sedang mencari jodoh untuknya.
Hatiku bagai disambar petir ketika itu. Aku berlagak tenang hakikatnya hatiku membentak kerana aku sedar ketika itu aku masih terikat dengan status isteri walaupun digantung tak bertali.
Aku perjuangkan supaya suami menceraikan aku. Dosa aku terlalu banyak, aku tidak sanggup kami sama² menanggung dosa.
Aku menanggung dosa isteri derhaka, dia pula menanggung dosa suami dayus. Kerana untuk kembali bersatu tersangat mustahil setelah segala yang terjadi. Biarlah kami dan tuhan sahaja yang tahu.
Walaupun tahu Farhan sedang berkenalan dengan orang lain, aku terus kekal setia dengannya kerana Farhan mengatakan itu kehendak keluarga dan mereka sama² just in open option. Sekadar berkenalan dan belum serius ke arah perkahwinan lagi.
Mendengar itu, sedikit kelegaan untukku. Walaupun aku tahu, hati bukan senang untuk dijaga. Damia (bukan nama sebenar) seorang yang cantik, berpendidikan tinggi dan sekufu dengan Farhan. Aku pula sekadar seorang bakal janda yang masih tergantung.
Namun perhatian Farhan sedikit pun tidak berubah untukku, masih caring dan concerned yang sama menyebabkan hatiku teguh untuknya.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan, akhirnya suami melepaskanku dengan talak satu. Kami berjanji satu sama lain untuk menjaga hubungan dan tidak berbalah demi anak².
Alhamdulillah, aku nampak bekas suami ada sedikit perubahan. Sudah kurang barannya, walaupun kadang kala sikapnya yang suka menyindir masih ada.
Farhan pernah berjanji padaku setelah habis eddah, dia akan membawaku berjumpa ibu bapanya. Hatiku berbunga harapan kerana aku juga tidak ingin lagi bergelumang dosa.
Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Suatu hari aku mendapat tahu rupa²nya dalam diam Farhan sudah bertunang dengan Damia dan akan bernikah dalam waktu terdekat. Menggigil seluruh tubuh. Air mata mengalir laju…
Maafkan aku Allah, kerana pernah menangis kerana cintakan hambaMu. Hinanya diri ini. Bila aku persoalkan Farhan kerap berdalih, katanya dia juga tidak tahu soal pertunangan dan hanya tahu apabila ibunya mengatakan dia sudah bertunang diluar pengetahuannya sediri.
Seperti biasa aku tetap percaya seperti orang bodoh atau dalam erti kata lain, aku tahu aku diperbodoh tapi aku denial kerana rasa sayang yang amat pada manusia yang bernama Farhan.
Demi dia, aku korbankan semuanya. Karierku hampir tamat, hubungan kekeluargaan ku tergugat namun saat itu aku mula terima dan hadap… Ini… Inilah apa yang pernah aku lafazkan dulu. Allah sudah kabulkan. Kifarah Allah itu nyata.
Aku pernah katakan pada Farhan ‘apa jua rintangan kita sama-sama tempuh’. Sampai kini terngiang kata² ku sendiri di telinga… Nak berpatah masa itu tidak mungkin, maka hari² ku hanya mampu berdoa hati ini redha dengan segala apa ketentuan Allah.
Farhan dan Damia akhirnya berkahwin, namun dalam masa yang sama Farhan juga masih menghubungiku sehingga aku sudah tidak sanggup hidup dalam harapan yang kurasakan cukup palsu ini.
Akhirnya ku putuskan untuk pergi dari hidup mereka… hati ini terlalu sakit. Maka cukuplah aku sahaja yang sakit. Bukan damia. Insan yang tidak mengetahui apa² itu.
Hubungan aku dan Farhan memang tidak diketahui umum dan biarlah ia kekal rahsia walaupun aku kadang sedih melihat anakku yang merindu Farhan seperti ayahnya sendiri. Namun dia bukan milikku dan mungkin tidak akan pernah menjadi milikku lagi.
Farhan pernah berulang kali mengatakan perasaannya padaku tidak pernah bohong namun keadaan tidak mengizinkan kami bersatu…
Ya Farhan, betul. Keadaan dan waktu tidak mengizinkan kita. Biar Allah s.w.t sahaja yang tahu kerana hatimu dan hatiku milik Allah… Semoga kau bahagia. Aku selalu mendoakan kebahagiaanmu dengan Damia…
Terima kasih Allah, aku semakin kuat dengan ujian mu. Mungkin Kau hadirkan Farhan hanyalah sebagai ujian untuk aku kembali mencariMu… Aku sangat bersyukur…
Ramadhan tahun ini paling bermakna untukku. Kalau dulu aku biarkan saja ia berlalu tanpa pengisian rohani. Tahun ini aku cuba sedaya yang mampu untuk menjadi hambaMu yang lebih baik…
Semoga Kau teguhkan imanku dan hatiku… Hatiku ini terlalu rapuh Ya Allah. Aku tidak ingin lagi cinta dunia Ya Allah. Cukup sahaja aku mengejar akhirat.
Buat mereka yang terjerat dalam cinta yang tiada penghujung sepertiku. Pesanku, usahlah kau terlalu kecewa. Cukuplah langitkan segala doamu. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala yang terbaik untuk hambaNya.
Perbaiki diri dan bersangka baik pada Allah inshaAllah yang baik² juga akan datang pada kita pada waktu yang tepat tanpa disangka-sangka.
Insan Kerdil,
– Nasuha Khadijah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit