Aku Sarah. Aku dari dulu memang akan rasa teruja kalau melihat wanita cantik. Tapi aku akan cepat-cepat sedarkan diri aku ini kerana aku tahu perkara itu adalah haram.
Tetapi aku tak tahu kenapa, lagi aku nak menjauh, lagi ramai yang cuba mendekati aku, pegang dan peluk-peluk aku. Apa yang aku boleh buat hanyalah keraskan badan sahaja lah walaupun dalam hati rasa seronok.
Tetapi, ada seorang insan ini, aku tak mampu nak menolaknya. Tak sempat pun untuk menolak rasa itu, membuatkan aku “Tersungkur”.
Ia bermula ketika di universiti, kami berada dalam kelab yang sama. Waktu pertama kali kami bertentang mata, dalam hati aku terus berbisik, “Uish, lawa dia ni. Kena jaga jarak dengan dia ni.”
Tetapi macam yang aku kata, dunia ini membuatkan kami tiba-tiba menjadi rapat sangat. Rumah dia dengan rumah aku pun dekat sahaja dan senang jumpa bila dia ajak lepak.
Orangnya cantik, lembut tapi tegas, membuatkan ramai lelaki ingin rapat dengan dia. Siapa yang tak nak kalau orang cantik sebegini, ramah pula tu. Aku sendiri pun suka.
Kadang-kadang rasa bangga juga dalam hati bila dia sentiasa mencari aku dan sentiasa ingin berada dekat dengan aku.
Sehinggalah satu hari ini, hari yang aku sentiasa mahu elakkan. Dia luahkan perasaan dia pada aku. Aku tergamam. Patutlah selama ini dah banyak hint yang dia tunjukkan pada aku, cumanya aku selalu menafikan kerana dia tiada ciri-ciri atau unsur-unsur yang nak ke arah “itu”.
Tambahan pula aku ini orangnya biasa-biasa je, muka pun herot, nak dibandingkan dengan dia memang jauh beribu batu.
Akhirnya diringkaskan cerita, aku terperangkap juga dengan hubungan terlarang ini. Kami telah buat pelbagai perkara yang hina yang tak sanggup untuk aku huraikan.
Dan kalau boleh diundurkan masa, aku tak mahu perkara ini terjadi dalam hidup aku. Tetapi aku ini hanyalah manusia yang lemah.
Then the rest is history. She loves me first, but I fell her harder.
Aku berdoa pada Tuhan supaya Tuhan bantu aku dan dia keluar dari dosa ini. Iya betul, dalam kami menjalinkan hubungan yang terlarang ini, aku tetap solat penuh. Kami sama-sama solat dan kadang-kadang mengaji bersama.
Bila difikirkan semula, terasa jijik dengan diri ini. Kadang-kadang rasa bersalah di hati, tetapi syaitan sentiasa ada untuk pesongkan hati kita. Bertahun juga hubungan terlarang kami ini terjalin tanpa dihidu oleh siapa-siapa.
Sehinggalah, Tuhan telah makbulkan doaku. Dia berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya. Ketika itu, perasaan aku sangatlah bercampur baur.
Dalam aku rasa bersyukur, aku juga berasa sangat sedih, kecewa, marah dan takut. Takut akan kehilangan dia. Kerana aku tahu, selepas dia kahwin nanti, hubungan kita tidak akan sama lagi seperti dulu.
Walaupun dia banyak kali cakap dengan aku untuk jangan pernah lupakan dia, dia tetap akan sentiasa sayangkan aku, and nothing will be change. Tapi aku tahu, itu semua bohong dan mustahil.
Dan betul firasat aku, selepas dia berkahwin, dia dah jarang reply mesej aku. Aku nak call dia pun susah, apatah lagi jumpa dengan dia. Aku dah rasa jauh sangat dengan dia. Hati aku ini ibarat kaca yang berderai. Rasa remuk hati ni. Rasa nak pecah jantung aku ini.
Kenapalah Tuhan buatkan aku rasa begini. Kenapa Tuhan hadirkan dia dalam diri aku. Kenapa Tuhan hadirkan rasa ini pada aku. Kenapa dan kenapa. Aku sentiasa persoalkan pada Tuhan.
Tetapi aku tidak pernah benci Tuhan. Aku hanya kecewa dengan kawan aku itu. Dia dah buat aku hancur dan separuh gila, tapi bila jumpa dengan aku, dia boleh buat seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Aku benci dia pada waktu itu. Dia yang buatkan aku terjebak dalam dunia haram, dan bila dia dah ada keluarga baru, dia abaikan aku.
Kerana terlalu sakit hati, aku luahkan apa yang aku tidak puas hati pada dia. Dia minta maaf tetapi dia tetap nak jumpa dengan aku. Dia kata dia masih sayang aku. Dia nak kita berkawan biasa.
Dalam hati aku tika itu, dia ini sangat selfish dan pentingkan diri sendiri. Tetapi, aku tahu, inilah cara Tuhan nak keluarkan aku dari lembah dosa.
Hari-hari aku berdoa supaya DIA buangkan perasaan aku terhadap kawan aku itu. Dan seperti kita tahu, Tuhan sentiasa ada dengan hamba-Nya. DIA ada aturan yang lebih cantik dan indah.
Ketika aku dalam kekecewaan dan kemurungan, keluarga aku kahwinkan aku dengan suami aku yang sekarang ini. Sejujurnya, aku tak mahu dan memang tak ada perasaan langsung dengan dia.
Dia ini seorang yang biasa-biasa sahaja. Tidak ada yang istimewa untuk aku suka pada dia. Tetapi sedikit demi sedikit, Allah lahirkan rasa kasih dan sayang buat suamiku ini. Sedikit demi sedikit Tuhan tunjukkan kebaikan dan kelebihan suami aku ini.
Dia sangat menghormati isteri dan emaknya. Walaupun kerjanya biasa, tetapi dia tidak pernah lupa untuk memberikan nafkah dan segala keperluan aku.
Dia banyak menolong aku dan terlalu banyak bersabar dengan perangai aku walau sudah berjuta kali aku minta dia ceraikan aku ketika waktu awal perkahwinan aku dengan dia. Tetapi sekarang aku sudah mulai sayang pada suami aku. Satu perasaan yang indah telah berputik di hati aku buat suamiku.
Aku tak tahu macam mana nak gambarkan. Tetapi untuk mengatakan cinta itu, aku masih keliru sama ada aku cintakan suami aku atau tidak. Aku hanya anggap ini adalah perasaan yang cukup kasih dan syahdu yang tidak pernah lagi aku alami.
Antara aku dengan kawan aku itu sudah lama selesai dan secara tidak sedar, perasaan aku terhadap dia pun hilang dengan sendiri. Kami masih berhubung sebagai kawan tetapi jarang sekali untuk berjumpa. Kuasa Tuhan.
Aku rasa sangat bersyukur kerana Allah masih berikan aku peluang untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.
Ingatlah sahabat-sahabatku di luar sana, walau kita banyak buat dosa besar mana sekali pun, pintu taubat-Nya sentiasa terbuka untuk kita sehingga Hari Kiamat kelak.
Jangan pernah berhenti berdoa pada-Nya. Jangan pernah putus harapan dengan-Nya. Kerana DIA tidak pernah tinggalkan kita walau sesaat sekalipun.
Sekian dari aku, hamba yang hina.
– Sarah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Semoga Sarah akan terus istiqomah berubah ke Sarah yang lebih baik