Assalamualaikum admin , terima kasih admin kerana sudi menyiarkan bingkisan hati yang tidak seberapa ini. Maaf andai kata penulisan ini kurang menarik. Aku seorang perempuan berumur 27 tahun. Sejak kecil lagi aku dibesarkan dengan keluarga yang sederhana dan tidak mementingkan pendidikan agama.
Ayah aku berfahaman ala-ala Siti Kassim iaitu lebih ikut logik sains, teori manusia asal dari beruk dan sebagainya. Aku pernah juga baca buku-buku ayah aku tu. Kadang-kadang ayah akan jumpa dengan geng-geng seperti dia dan bukan seperti dia untuk saling “brain wash” dan berbahas. Ayah aku juga kurang gemar dengan golongan ustaz tetapi Tuan Guru Nik Aziz ayah aku sanjung. Walau bagaimanapun, ayah aku seorang yang sangat baik, bertanggungjawab dan mudah memberi pertolongan. Kebiasaanya, adik beradik yang susah akan meminta pertolongannya. Walaupun diluar ayah nampak gembira di sudut hati kecilnya ayah tidak tenang, Kadang-kadang ayah termenung seperti seorang yang resah.
Manakala aku sejak kecil tidak pernah disuruh solat tetapi dari sekolah rendah aku mulai solat. Aku belajar solat dari ustaz dan ustazah di sekolah. Aku juga turut di brain wash oleh ayah aku untuk jadi sepertinya, tetapi hati kecil lebih mempercayai keesaan Tuhanku. Aku pernah menangis ditegur oleh ayahku kerana aku solat sunat, kerana baginya aku hanya memenatkan tubuhku saja.
Kenapa kefahaman aku berbeza dengan ayah aku? kerana aku berasa terlalu banyak pertolongan dan rahmat Allah swt pada aku. Bagi sesetengah orang itu hanya kebetulan sahaja. Tetapi aku yakin dengan kekuasaan Allah swt dan kewujudanNya. Buktinya, banyak doa-doa aku yang telah dimakbulkan sampai aku berasa malu kerana aku bukanlah orang yanga alim dan baik.
Aku masih ingat ketika aku di tingkatan 5. Aku tinggal di asrama, aku tiada duit belanja untuk makan. Aku tidak sanggup minta duit pada orang tuaku, lalu aku memohon pada Allah swt, aku memohon “Ya, Allah swt aku tiada duit untuk sekolah, aku kesian pada orang tua, tolong lah aku, Ya Rabb.. Tidak beberapa lama selepas itu, ada orang mengetuk pintu bilik belajar dan warden memanggil, dia memberikan duit jumlah yang agak besar kepadaku. Katanya derma dari guru penolong kanan kepada pelajar yang berdisiplin.
Aku berjaya mendapat keputusan SPM kerana Allah swt yang membantuku, aku dapat masuk universiti, aku dapat pekerjaan yang bagus dengan temuduga yang pertama, Allah swt juga yang membantuku. Aku juga yakin berbuat baik dan bercakap sopan dan manis dengan ibu bapa juga merupakan sebab mendapat keredhaan Allah swt. Terlalu banyak rahmat Allah swt yang tidak mampu aku tulis. Ketika aku ditimpa musibah juga hati aku tenang setenang air di kali kerana aku dapat rahmat dan kasih sayang Allah swt.
Tetapi aku juga manusia biasa yang selalu alpa, lalai, riak dan sombong, aku pernah diatas, aku dipuji , disukai dan disayangi sehingga aku lupa cinta hatiku iaitu Allah. lalu Allah swt merindui suaraku lalu ditimpakan aku ujian, kemudian aku mencari Allah swt semula. Aku pernah menangis dan aku merasa aku tidak sanggup berada diatas , dipuji, biarlah aku sederhana begini. Aku perasan hidup aku , ketika aku dekat dengan Allah swt, sentiasa tahajud dan berdoa, Allah swt mengangkat darjatku tetapi ketika aku lalai aku dapat rasakan Allah swt menjauh dari ku.
Aku pernah bertahajud berdoa semoga diberikan hidayah kepada ayahku dalam bentuk pelik supaya ayah insaf, pada malam keesokkannya ketika ayah sedang memberi ceramah kepada kawannya, tiba-tiba ayah menjadi bisu serta-merta. Aku menjadi risau dan aku sedih melihat ibuku sedih. Ayah dibawa ke hospital, doktor tidak dapat mengenalpasti penyakit ayah. Ayah diberi ubat kolestrol saja, Ayah seperti kebingungan kerana tiba-tiba menjadi bisu. Aku meminta ibuku menyuruh ayah solat, ayah dengar cakap ibuku dan solat.
Aku gembira dengar cerita ibuku, aku meminta ayah berjumpa dengan ustaz untuk berubat tetapi tidak berhasil. Keesokkan aku balik ke kampungku, aku bertahajud dengan ibuku dan membuat air penawar untuk ayahku. Lama-kelamaan ayah mulai boleh bercakap. Sekarang sihat seperti biasa. Tetapi selepas sihat, ayah mula kembali seperti sikap asalnya tetapi tidak berani lagi berbahas tentang kewujudan dan keesaan Allah swt.
Sahabatku, Allah swt bertindak mengikut keyakinan kita. Allah swt sentiasa ada untuk kita. Doaku semoga kita mendapat hidayah Allah swt. Sebenarnya terlalu banyak rahmat Allah swt kepada kita seperti dalam surah Ar -Rahman.
– Seroja
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit