Cinta Yang Dipendam

Aku seorang perempuan, tidak bekerja, berumur 26 tahun dan masih bujang. Aku merupakan seorang pemegang ijazah. Dah beberapa tahun aku tamat belajar dan sampai sekarang aku belum berjaya mendapatkan kerja yang aku idamkan.

Bukanlah aku memilih kerja tapi disebabkan rasa tanggungjawab aku pada keluarga, aku terpaksa ketepikan segala keinginan aku.

Timbul rasa cemburu bila tengok kawan kawan berjaya dalam hidup mereka, ada kereta, dan sudah berumahtangga. Tapi aku, belum ada satu pun pencapaian yang boleh aku banggakan. Aku akur dengan ketentuan hidup aku.

Sepanjang 26 tahun aku hidup, tak pernah sekali pun wujud istilah ‘teman lelaki’ dalam hidup aku. Tak pernah ada seorang lelaki pun yang ingin mendekati aku.

Ya, aku sedar. Mungkin disebabkan oleh kekurangan yang ada pada diri aku membuatkan tiada seorang lelaki pun yang ingin mengenali aku.

Sejak dari bangku sekolah hinggalah sekarang, ada lah beberapa orang lelaki yang aku minat tapi aku hanya pendam saja dalam hati kerana sedar akan diriku yang banyak kekurangan.

Tapi, hanya ada seorang je insan yang tetap ada dalam hati aku sampai sekarang. Si dia adalah kawan rapat aku semasa dibangku sekolah. Walaupun dah bertahun lamanya berlalu, kenangan aku dengan dia tak pernah aku lupakan. Sentiasa segar dalam ingatan aku.

Si dia lah insan pertama yang mengajar aku tentang cinta sesama makhluk walaupun masa tu aku masih kanak kanak berhingus. hahaha. Masa tu kami agak rapat kerana satu kelas dan pernah pulang dari sekolah berbasikal bersama sama.

Dia suka usik aku sehinggakan timbulnya perasaan yang selama ini aku tak pernah rasa dalam hati aku. Indah sungguh saat saat tu satu pun takde yang aku tak ingat. Tapi dia tak pernah pun tahu perasaan aku pada dia dan aku yakin dia pun hanya menganggap aku sebagai kawan.

Mungkin disebabkan diri aku yang serba kekurangan ni membuatkan aku takut untuk berterus terang. Jadi aku pilih untuk mencintainya secara diam sehinggalah sekarang setelah 14 tahun berlalu, aku masih tak dapat lupakan dia.

Berbalik pada zaman persekolahan tadi, waktu tu aku rasa bahagia sangat bila dapat jumpa dia dan membuatkan aku setiap hari bersemangat untuk ke sekolah, hahaha.

Tapi, belum tamat sesi persekolahan lagi, aku terpaksa berpisah dengan dia kerana dia telah berpindah sekolah. Waktu tu hanya Allah je tahu betapa remuknya hati aku tapi di luaran aku masih seperti biasa kerana tak mahu rahsia aku terbongkar.

Rumah aku dengan rumah dia dekat je, jalan kaki pun boleh sampai. Tapi lepas dia bertukar sekolah, hubungan aku dengan dia jadi renggang. Kalau terjumpa ditepi jalan pun tak bertegur sapa, seperti orang asing.

Tapi aku sedikit pun tak pernah lupa kan dia. Aku pun tak tau kenapa susah sangat aku nak lupakan dia. Tamat je sekolah rendah, aku dan dia terputus hubungan kerana masa tu aku masih tiada handphone. Budak budak lagi kan.

Bertahun berlalu, aku tak pernah dengar khabar berita dari dia. Aku cuma tahu perkembangan tentang dia setelah aku mula buat akaun facebook. Terubat rindu aku pada dia. Aku mula tahu dia melanjutkan persekolahan di mana dan serba sedikit tahu pasal kehidupan dia.

Pada umur kami 17 tahun, telah ditakdirkan aku untuk berjumpa dengan dia selepas beberapa tahun tak jumpa. Tu pun sebab ada program sekolah.

Aku hanya mampu tengok dia dari jauh je. Tu pun jantung aku dah rasa macam nak tercabut. Aku takde kekuatan dan keyakinan nak tegur dia. Dia pun nampak macam malu malu je nak tegur aku.

Kesudahannya, sampai sekarang aku menyesal sebab tak tegur dia waktu tu. Tulah kali terakhir aku jumpa dia. Aku dapat rasa yang dia tahu pasal perasaan aku kat dia tapi mungkin sebab dia tak nak berikan aku harapan, dia buat macam tak tahu je.

Dan sampai sekarang, dah masuk tahun 2020, aku masih tak dapat lupakan dia.

Setiap kali aku nak lupakan dia je, mesti dia akan hadir dalam mimpi aku dan selepas bangun tidur aku akan rasa tersangat kecewa sebab semua tu cuma mimpi dan setiap kali teringatkan dia aku mesti akan menangis.

Dan benda tu sentiasa berulang entahlah sampai bila. Tak tahu lah kenapa susah sangat aku nak padam segala memori pasal dia. Rasa macam berat sangat perasaan ni. Mungkin sebab dipendam terlalu lama agak nya.

Mungkin juga sebab takde lelaki lain yang pernah hadir dalam hidup aku. Lagi pun aku jenis yang tak berapa suka berkawan dengan lelaki. Dia je kawan lelaki rapat yang pernah aku ada seumur hidup aku.

Sekarang dia dah berjaya dalam hidup dia dan ada kerjaya yang bagus. Manakala aku, masih tiada perubahan yang berlaku pada diri aku dan masih tak berjaya sepertinya. Setiap kali habis solat, aku sentiasa berdoa supaya Allah permudahkan aku untuk lupakan dia.

Aku sedar aku bukan lah wanita yang layak untuk bersama dengan insan hebat macam dia. Aku doakan supaya dia akan bertemu jodoh yang sesuai dengannya dan sentiasa bahagia disamping keluarga tercinta.

– Mina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *