Cinta Yang Merubah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Namaku Medina (bukan nama sebenar).

Tajuk pengakuan ni aku berikan, “Cinta Yang Merubah”.

Semua orang pasti pernah jatuh cinta. Ada dua jenis cinta di atas muka bumi ini. Cinta yang membina dan cinta yang membinasakan. Aku pernah melalui kedua-dua fasa.

Dulu aku pernah jatuh cinta terhadap sahabat baik sendiri. Sewaktu Muadz (bukan nama sebenar) pertama kali terbang ke luar negara untuk menyambung pengajian, aku selalu menangis kerana tidak dapat perhatian daripada si dia.

Maklumlah, masa tu zaman remaja. Erti cinta pada masa itu untuk aku adalah saling memberikan perhatian 24/7.

Aku selalu ponteng kelas akibat tekanan yang melampau. Ketika berada di dalam kelas, air mataku sering jatuh secara tiba-tiba. Aku juga selalu menangis hanpir setiap malam. Berat badanku menyusut kerana aku hilang selera makan.

Sepanjang hari rasa ingin tidur. Aku hanya bangun untuk solat dan selesaikan benda yang penting dalam keadaan terpaksa.

Keluarga aku tidak pernah tahu status kesihatan mental aku pada masa itu kerana aku tidak pernah menceritakan masalah yang aku hadapi kepada mana-mana ahli keluarga. Semuanya aku pendam sendiri.

Aku juga pernah mengalami ‘suicidal thoughts’. Lama-lama aku paksa diri aku untuk melupakan Muadz sebab aku tak tahan dengan rasa sakit yang aku hadapi akibat sifat aku yang pentingkan diri sendiri.

Pada masa itu aku memang banyak menyalahkan dia tapi kini aku salahkan diri sendiri kerana jika difikirkan memang aku yang patut disalahkan kerana terlalu berharap pada manusia.

Muadz tidak pernah menjanjikan apa-apa kepadaku. Aku sahaja yang terlalu cinta sehingga melupakan diri sendiri.

Dalam tempoh aku nak teruskan kehidupan tanpa Muadz, aku berkenalan dengan Fateh (bukan nama sebenar). Dia lagi tua dari aku dengan jarak umur 7 tahun.

Dia selalu berkongsi ilmu dan pendapat dengan aku. Sebelum aku kenal dia, aku seorang yang kurang keyakinan diri dalam memberikan pendapat. Aku ada low self-esteem sebab selalu bandingkan diri dengan orang lain yang aku nampak hebat dan lantang bersuara.

Aku kenal Muadz, sahabat baik aku, lebih dari lima tahun. Dia seorang yang amat menjaga hati dan perasaan orang lain. Maksudnya, dia jarang menegur orang secara langsung.

Kadang kala dia akan meminta rakannya untuk menegur aku jika aku berbuat salah kerana kami bertiga memang berkawan rapat.

Berbeza dengan Fateh, Fateh seorang yang suka berterus-terang. Dia selalu memberi teguran secara langsung walaupun kadang kala dia sarkastik. Pada mulanya, aku tidak selesa kerana aku seorang yang sensitif sewaktu mula berkenalan dengannya.

Oleh kerana itu, keyakinan diri aku akan berkurang setiap kali dia menegur aku sama ada dari segi perbuatan atau kata-kata. Kadang kala aku takut untuk memberikan pendapat.

Dia pula akan menyoal kenapa aku harus takut dan tidak yakin untuk memberikan pendapat dan mengapa aku selalu menjadikan kata-kata orang sebagai kayu ukur untuk aku bertindak.

Fateh banyak membuka mindaku. Dia banyak bertanyakan soalan-soalan yang tidak pernah terlintas di fikiranku. Dia juga banyak berkongsi pengetahuan baharu bersamaku.

Sepanjang bersahabat dengannya, aku menjadi seorang yang banyak berfikir dan semakin rajin membaca tidak kira buku, artikel, dan sebagainya.

Insan ini membuatkan aku semakin berani untuk menyoal dan menyuarakan pendapat. Tahap keyakinan diri aku semakin meningkat. Rasa sayang aku kepadanya juga semakin bertambah. Aku tidak pernah berkawan dengan manusia berpengetahuan luas dan berfikiran terbuka seperti dia.

Dulu, aku selalu takut untuk bertanyakan soalan dan memberikan pendapat yang berkaitan dengan agama kerana aku bukanlah seorang yang tinggi ilmu.

Perkenalan aku dan Fateh merupakan titik permulaan aku menjadi seorang yang suka bergaul dengan ramai orang terutamanya mereka yang lebih tua dariku.

Kadang kala, aku bermain permainan secara online yang membolehkan aku berbual dengan pelbagai jenis manusia tidak kira dari Malaysia atau luar negara.

Rutinku untuk berbual dengan ramai orang secara maya seakan-akan telah membuka pintu yang baru bagiku. Aku terdedah kepada sebuah sisi dunia yang lebih luas.

Di alam mayalah aku banyak bertemu dengan mereka yang mempelajari bidang agama dan bidang-bidang ilmu yang lain. Aku gemar bertukar soalan dan pendapat dengan mereka. Saban hari, aku banyak mempelajari ilmu baharu dari ramai orang terutamanya ilmu agama.

Walaupun ilmu yang aku ada hanyalah sedikit, perkongsian yang sering aku hadiri mengenai hadis-hadis palsu dan sebagainya telah banyak membantu aku berdakwah.

Perkenalanku dengan ramai orang secara maya ini membantu aku untuk menjadi seseorang yang gemar mencari ilmu pengetahuan.

Kadang kala aku akan membuka ‘bilik’ secara maya dan bertukar ilmu dengan ramai orang. Platform ini aku gunakan untuk berdakwah selain menambah kenalan. Kadang kala aku menerima ajakan rakan di Discord untuk menjadi MC majlis tarbiyyah.

Dari situ jugalah aku belajar cara untuk menghilangan perasaan gemuruh ketika bercakap di hadapan orang ramai. Aku pernah dijemput untuk bercakap di hadapan orang ramai sewaktu berkunjung ke rumah saudara dan aku sedar akan keyakinan diriku yang lebih meningkat dari sebelum ini.

Walaupun Fateh pernah banyak kali memuji aku kerana pada usia muda katanya aku tidak seperti wanita yang lain, dia tidak pernah menganggap aku lebih dari seorang sahabat. Perkara ini juga pernah membuatkan aku berfikir panjang akan kekurangan diri.

Persahabatan kami adalah atas dasar ilmu semata-mata walaupun aku jatuh cinta kepadanya. Dia tidak pernah mengajak aku untuk berbincang hal selain daripada perkara-perkara yang berilmu. Mesti ada sahaja ilmu yang ingin dia kongsi bersamaku.

Jika pendapat kami tidak sama, dia akan bertanya kenapa. Dia sentiasa menasihatiku agar belajar memahami orang lain dan bukan hanya diri sendiri. Sehingga sekarang aku bersyukur kerana Allah hadirkan dalam hidupku seseorang seperti dia.

Hari ini terlintas di fikiranku. Kadang kala perasaan cintalah yang membuatkan kita menerima seseorang kerana kedua belah pihak mendapat keuntungan iaitu rasa sayang.

Tanpa rasa cinta, salah satu pihak akan mempunyai kecenderungan untuk meninggalkan pihak yang lain kerana tidak mendapat apa-apa keuntungan dari segi perasaan. Begitulah apa yang aku rasa terhadap Muadz.

Setelah aku berjaya meneruskan hidup tanpanya, aku berhasrat untuk membuangnya serta-merta dari hidupku walaupun dia seorang yang memberikan banyak manfaat kepadaku.

Keputusan aku untuk melupakan Fateh juga menghadirkan rasa yang sama. Namun apabila aku berfikir semula, aku berasa hina kerana hanya memanfaatkan manusia untuk diriku sendiri.

Aku hanya bersama dengan manusia dengan syarat mereka menyayangi aku. Adakah aku juga begitu dengan Allah?

Adakah aku hanya menuruti perintah Allah kerana Allah memberikanku banyak nikmat? Bagaimana pula ketika manusia yang aku inginkan tidak mencintaiku?

Adakah aku ingin membuang mereka dari hidupku dengan alasan perasaan cintaku tidak terbalas walaupun mereka memberikan banyak manfaat kepadaku?

Adakah aku akan ingkar kepada Allah ketika aku diuji berat kerana kemahuanku tidak dikabulkan?

Aku telah berjaya melupakan perasaanku terhadap Fateh. Kami masih bersahabat sehingga ke saat ini. Aku juga telah berbaik dengan Muadz sebenarnya.

Pada saat ini, aku sudah mempunyai ramai kenalan di alam maya yang banyak memberikan manfaat kepadaku. Aku bersyukur dengan takdir Allah ini.

Doakan aku untuk terus berubah.

– Medina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *