Hai, pembaca semua. Boleh panggil aku Anne. Berumur 40 tahun, mempunyai dua orang cahaya mata yang masih bersekolah rendah dan kami kini menetap bersama ibu kandung di kampung halaman.
Aku selalu membaca pelbagai asam garam kehidupan rumahtangga di sini.
Terlalu banyak cerita di mana si isteri tidak mendapat layanan yang sepatutnya dari segi nafkah, pengurusan anak dan rumahtangga juga cara berkomunikasi yang diharapkan daripada seorang yang bergelar suami.
Yang menjadikan kita seorang wanita yang sebelum berkahwin ceria dan bahagia kepada seorang yang sentiasa disakiti hatinya.
Kuceritakan sedikit kisahku keluar daripada semua perkara di atas dan mencipta bahagia sendiri bersama anak-anak.
Iya, bagiku kita patut bahagia. Sampai bila kita harus ada rasa tersiksa begitu. Yang sentiasa makan hati dengan sikap suami sendiri padahal sebelum berkahwin dahulu kita rasakan kitalah wanita terbahagia yang akan dapat hidup bersamanya selamanya.
Namun, siapalah kita untuk menidakkan apa yang telah tuhan tentukan kepada kita.
11 tahun hidup di ibu kota bersama suami sehingga aku mengambil keputusan sendiri untuk pulang ke kampung dan teruskan hidup bersama ibu.
Langkah pertama yang aku ambil, memohon kerja di kampung dan mungkin rezekiku, dipanggil temuduga dan akhirnya aku berjaya mendapatkan kerja tersebut walaupun gajinya jauh lebih rendah daripada kerja di ibu kota.
Ku utarakan hajat kepada suamiku untuk berpindah ke kampung dengan alasan penatnya bekerja di pejabat sekarang.
Beberapa alasan lagi kuberikan sehingga suamiku bersetuju membenarkan aku tinggal di kampung yang jaraknya hampir tiga jam perjalanan dari ibu kota.
Keluarga mertua pada awalnya agak risau dengan anaknya yang ditinggalkan keseorangan namun aku terus nekad dengan keputusanku seolah-olah tiada siapa lagi yang dapat menghalang.
Bermulalah kisah kehidupan PJJ kami. Setiap hujung minggu aku akan pulang ke rumah kami di ibu kota. Iya, pada awalnya agak sukar.
Setekad-tekad kita wanita, tetap akan ada rasa kasihan yang tinggi kepada suami.
Namun bila difikirkan, setiap kali pulang dari pejabat ke rumah pada waktu rehat tengah hari, tiada lagi sakit hatiku melihat suami yang sedang tidur tidak bekerja.
Setiap kali pulang dari pejabat sebelah petang, hilang juga sakit hatiku melihat si suami yang apabila ditanya, hanya menjawab tanpa memandang ke arah kita kerana matanya sentiasa asyik memandang skrin telefon bimbit.
Dan tiada lagi sakit hati dengan sikap suami yang tidak membantu dengan kerja-kerja di rumah sama seperti yang selalu dibaca di ruangan ini.
Aku jenis yang tidak akan bercerita kepada orang lain hal rumahtangga kami. Bukan bermakna aku wanita yang hanya memendam. Kerap kali jugalah meletup kepada suami sendiri. Namun, begitulah dia.
Seperti hanya mencurahkan air ke daun keladi. Orang yang bukan jenis panas baran dan hanya cool memanjang seperti tiada salahnya daripada pihak dia. Dahulu hanya anak-anak tempatku mengadu.
Anak-anakku dari kecil sentiasa mendengar luahan mamanya. Hanya dua tiga tahun kebelakangan ini sahaja tidak lagi kuluahkan kepada mereka. Iya kerana aku telah rasakan bahagia yang aku ciptakan.
Kini aku bahagia. Aku ceria. Duduk bersama ibu sendiri di kampung sendiri. Bebas membuat pelbagai aktiviti bersama anak-anak.
Tidak mahu lagi aku berfikir tentang tanggungjawab suami. Biarlah hanya dia yang menjawab di sana kelak. Walaupun kehidupan di kampung tidak mewah, tetapi kami sentiasa bersyukur dengan kehidupan sederhana kami.
Buat suami, saya sentiasa berdoa suatu hari nanti awak akan dapat menunaikan tanggungjawab kepada kami. Dengan keputusan saya ini, saya terima segala apa yang akan berlaku pada masa akan datang.
Setakat mana bertahannya jodoh kita sebagai suami isteri, semuanya terpulang kepada awak. Mungkin sekarang penceraian bukan pilihan kita bersama. Mungkin nampak saya bukan seorang isteri yang baik, yang taat dan yang dapat berada di sisi suami.
Namun, setelah bertahun-tahun keadaannya masih di takuk yang sama, saya perlu mencipta bahagia saya sendiri bersama anak-anak di sini.
Makan minum, kesihatan dan keperluan mereka sentiasa menjadi keutamaan saya apabila ianya tidak mampu diberikan oleh awak.
Buat wanita di luar sana yang hatinya sentiasa disakiti oleh si suami dengan sikap-sikap di atas, mungkin sisi kehidupan kita berbeza.
Tidak perlu membanding-bandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Itu hanya akan menjadikan kita lebih kecewa.
Ciptalah bahagia sendiri dengan anak-anak dengan apa cara sekalipun. Anak-anak akan bahagia jika ibu mereka bahagia.
Aku doakan kalian agar sentiasa kuat dan dipermudahkan urusan dalam menghadapi kehidupan sehari-hari. Kita wanita kuat dan kita wanita hebat.
Percayalah.
– Anne (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit