Selamat sejahtera pembaca confessions.
Nama aku Hani(bukan nama sebenar). Umur aku 27 tahun dan menetap di ibu kota. Masih lagi tinggal di rumah mak ayah. Sedang melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang (pendidikan) bimbingan dan kaunseling pengajian secara separuh masa. Pernah melakukan banyak jenis pekerjaan.
Boleh dianggap aku ini sebagai seorang dewasa yang masih lagi sedang mengejar impi. Impian aku hanya satu iaitu melunaskan cita-cita yang aku tanam sejak dari usia 13 tahun. Impian yang aku tanam pada usia itu adalah untuk berbakti menabur budi kepada komuniti sebagai seorang kaunselor bertauliah yang akan memberi manfaat suatu hari nanti.
Namun perjalanan aku untuk menggengam impian tidak lah mudah. Aku gagal satu matapelajaran iaitu Matematik walaupun keputusan matapelajaran lain lulus kepujian. Masa itu aku rasa ralat sangat dan masa hadapan aku dirasakan tidak ada sinarnya dek gagalnya aku dalam matapelajaran matematik.
Aku ambil keputusan untuk masuk ke Tingkatan 6 dari aku ambil jurusan yang tidak aku minati di kolej atau universiti swasta. Target aku hanya satu. Melunaskan cita-cita usia 13 tahun aku.
Disebabkan aku tidak ada perasaan belajar di Tingkatan 6, aku gagal STPM. Masa ini aku rasa berputus asa. Suatu hari selepas keputusan STPM dikeluarkan, ada iklan di surat khabar berkenaan pengambilan pelajar pada peringkat Diploma dalam bidang kaunseling di sebuah kolej swasta di selatan tanah air. Ibu dan ayah aku memberi peluang kedua kepada aku. Malah ayah aku menanggung sepenuhnya pengajian 3 tahun aku di sana. Pucuk dicita ulam mendatang, aku terus membuat permohonan masuk atas talian. Permohonan aku berjaya. Tiba hari pendaftaran, saat kereta ibu dan ayah aku keluar dari perkarangan kolej, aku tidak memandang ke belakang lagi. Aku lulus agak baik dengan CGPA akhir di atas 3.
Aku mohon UPU untuk sambung belajar pada peringkat ijazah sarjana muda. Aku mohon semua jurusan kaunseling termasuk jurusan aku sekarang. Aku terlepas peluang untuk menghadiri ujian medsi kerana pada masa itu aku menunaikan umrah. Aku telefon pejabat yang menguruskan ujian medsi tetapi tidak berjawab. Ustaz mutawif berpesan,”Tak apa adik. Allah nak beri peluang yang lebih baik untuk adik”.
Sementelah aku kembali ke ibu kota. Dari seorang kenalan diploma aku tahu mengenai program pengajian secara separuh masa yang aku sedang ambil ini. Aku ‘hasut’ sekali sahabat-sahabat baik zaman diploma aku untuk sama-sama sambung pengajian secara separuh masa. Aku juga memulakan kerjaya pertama aku selepas tamat diploma. Pada awalnya penat bekerja sambil belajar. Tetapi fikir cita-cita punya pasal segala penat lelah digantikan dengan keputusan peperiksaan setiap semester yang agak baik dengan GPA setiap sem melebihi 3.50. Aku juga terkejut dengan pencapaian ini.
Aku juga pernah dibuang kerja secara berjemaah menjelang beberapa hari sebelum peperiksaan semester aku. Aku juga pernah menerima gaji lewat malah pernah dibayar gaji sedikit demi sedikit. Tetapi itu semua tidak mampu untuk mematahkan semangat aku.
Bila difikirkan kembali, ada hikmahnya aku melalui jalan ini walaupun aku terlewat berbanding rakan-rakan sebaya aku yang kebanyakkannya sudah pun memiliki master, berkahwin dan ada anak, usahawan berjaya dan sebagainya.
Hikmahnya, aku lebih memahami diri sendiri, potensi dan nilai diri sendiri. Aku juga dapat memahami bagaimana orang dan perkara di sekitar aku berfungsi. Aku lebih menghargai kehidupan ini.
Aku percaya bahawa setiap orang ada time zone sendiri. Jadi usah berasa rendah diri dengan rakan-rakan yang lain. Dan lain orang lain ujiannya. Lain orang lain rezekinya.
Aku sedang melakukan persediaan untuk menjadi seorang yang akan memberi manfaat kepada komuniti. Doakan moga cita-cita aku tercapai. Aku juga mendoakan semoga yang membaca perkongsian ini sentiasa bersemangat dalam apa jua perkara yang sedang dikerjakan.
Usah takut untuk bercita-cita besar. Pasang impian dan cita-citamu setinggi langit. Selamat maju jaya semua!
Bakal kaunselor prominent
-Hani-
– Hani
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit