Terima kasih admin sekiranya confession ini disiarkan. Masuk tahun 2023 ni dah dikira genap 5 tahun saya menyandang gelaran OKU Penglihatan.
Dan sepanjang perjalanan 5 tahun dalam dunia OKU Penglihatan, banyak ragam pahit manis serta pengalaman baru yang saya pelajari. Yang baik, diteruskan. Yang kurang baik, ditinggal-tinggalkan.
Pada asalnya saya juga normal celik seperti insan lain.
Namun secara beransur-ansur mata keadaan penglihatan saya semakin merosot akibat penyakit yang didiagnos sebagai glaukoma.
Pada ketika itu saya masih menyambung pelajaran di peringkat ijazah di sebuah IPTA. Maka saya terpaksa menangguhkan pengajian atas faktor kesihatan yang kurang mengizinkan ketika itu.
Realitinya, dunia adult blind tidak sama dengan dunia mereka yang dilahirkan / OKU Penglihatan sejak kecil.
Saya akan cuba ceritakan secara beransur-ansur mengapa saya berpendapat sedemikian.
Selain itu, dalam dunia OKU Penglihatan juga tidak terlepas daripada 3 kategori IQ manusia iaitu IQ tinggi, sederhana, lemah.
Mengenai bagaimana saya sebagai OKU Penglihatan menggunakan teknologi / komputer / telefon, rasanya banyak dah dikongsikan di platform media sosial seperti TikTok, Youtube, dan sebagainya. Itu bukan point utama cerita saya dan boleh di Google sendiri ya.
Boleh dikatakan untuk tempoh permulaan sebagai OKU Penglihatan, saya bergelut dengan konflik emosi sendiri apabila tahap penglihatan yang kian merosot.
Rasa stress, down, terkongkong, menyusahkan orang lain, tak dapat buat apa yang kita inginkan, nak beli barang yang kita minat, dan lain-lain urusan kehidupan seharian.
Itu belum lagi soal menguruskan diri sendiri. Nak matching warna baju. Nak matching warna stoking. Nak pastikan ini baju apa, seluar apa.
Nak ambil makanan dalam pinggan pun tak tahu ada lauk apa. Berlanggar dinding, meja, kerusi. Barang itu jatuh, ini jatuh. Segalanya ibarat saya ni betul-betul useless.
Dalam tempoh 2 tahun di rumah, saya ibarat terputus hubungan dengan dunia luar. Tak dapat lagi nak berjalan-jalan & berjumpa kawan zaman belajar. Mungkin mereka rasa malu nak keluar dengan saya.
Walaupun ada laptop dan telefon sendiri, namun itu semua bagi saya langsung tiada gunanya lagi.
Maklumlah masa tu mata dah buta. Jadi macam mana nak guna benda-benda teknologi ni.
Laptop kena guna mata. Telefon pun kena guna mata.
Nak makan pun kena guna mata. Semua nak kena guna mata.
Masa tu rasa betul-betul kosong. Tak tahu nak tanya siapa untuk selesaikan satu-persatu isu.
Dan tak ada sesiapa yang dapat saya luahkan pada ketika saya betul-betul perlukan seseorang untuk disandarkan segala kepahitan hidup.
Orang selalu kata, ada support daripada family, adik-beradik & kawan-kawan.
Family saya ni pula jarang ada di rumah. Keluar kerja pagi, balik malam.
Adik-beradik lain masing-masing bawa haluan sendiri. Kawan-kawan pun tenggelam timbul, tenggelam timbul… Kawan-kawan yang dulu pun semakin hari semakin berjauhan.
Ada juga yang bertanya khabar. Tetapi mereka pun tak tahu apa yang boleh mereka tolong dengan situasi yang baru saya alami.
Masing-masing tiada ilmu & pengalaman berdepan OKU Penglihatan. Walaupun di Google, tetapi kebanyakan daripada mereka lebih pada saranan dan cadangan sekian sekian sekian.
Masa tu family sendiri pun mengalami culture shock. Tak tahu nak handle macam mana bila ahli keluarga sendiri jadi OKU Penglihatan.
Betul-betul masa tu rasa memberontak yang sangat tinggi sebab diri-sendiri dan orang sekeliling langsung tak tahu nak overcome isu OKU Penglihatan.
Memang terpaksa tahan telinga, kuatkan jiwa mendengar luahan simpati masyarakat.
“Kesian dia. Dulu nampak. Sekarang dah buta”
Tapi adakah setiap kasihan & simpati itu membantu menyelesaikan isu yang dihadapi?
Ahli keluarga dan adik-beradik sendiri pun rasa terbeban & malu untuk bawa kita ke hulu, ke hilir. Itu belum lagi pandangan sinis serta stigma masyarakat yang menganggap OKU ni menyusahkan.
“Dah buta macam ni pun ada hati nak jalan-jalan lagi ke?”
“Menyusahkan orang betul dia ni”
“Kau ni bukan boleh tolong apa pun dalam keluarga ni”.
Dan ada juga rungutan serta keluhan walaupun pada masa yang sama mereka ‘membantu OKU’. Misalnya, konon-konon nak tolong bawa pergi beli barang.
Tapi bila bawa OKU, mula mengeluh itu, mengeluh ini. Lambatlah… Cepatlah….. Terlalu memilih baranglah….. Cerewetlah… Saya rasa betul-betul terkongkong sebab terpaksa ikut kehendak orang.
Langsung tiada kebebasan memilih rentak hidup. Kalau ada pun, teramatlah sedikit peluang pilihan yang diberi kepada kita.
Semua itu saya dah lalui. Berendam air mata tu dah menjadi teman setiap hari.
Rawatan yang saya terima pun hanyalah pada awal-awal diagnos. Itu pun sebab usaha pak cik yang bawa saya berjumpa pakar mata sebab kampung saya agak jauh daripada kawasan hospital pakar.
Menunggu berjam-jam untuk berjumpa doktor pakar dari tiba jam 7 pagi hingga giliran jam 6 petang. Ditinggalkan sendirian dalam wad oftalmologi selama sebulan dua dah menjadi kebiasaan bagi saya.
Kalau ada yang datang ziarah pun Cuma dua tiga orang termasuk family sendiri. Isu telefon dicuri, dimarahi petugas hospital, semua itu saya layankan.
Saya tak dapat nak sambung follow-up di hospital masa tu sebab keadaan kewangan family yang tidak mengizinkan. Oleh sebab itu keadaan mata saya kian merosot dan menjadi buta sepenuhnya.
Ibu ketika itu pernah mencuba mendapatkan bantuan perubatan serta meminta pertimbangan doktor membenarkan ubat di pos ke rumah kerana kami tidak memiliki pengangkutan persendirian untuk mengambil ubat di hospital.
Tetapi doktor tidak mampu berbuat apa dan terpaksa memberhentikan ubat mata ketika itu kerana ibu enggan menghantar ke sesi follow-up atas faktor kekangan kewangan.
Hospital dan klinik dulu tak macam sekarang yang ada awareness untuk OKU Penglihatan.
Sekarang saya dapat info dari rakan OKU Penglihatan yang para doktor di Hospital Selayang siap bantu untuk uruskan proses belajar kemahiran di Pusat Latihan Gurney / MAB.
Siap tolong lagi untuk uruskan kad OKU di JKM. Ubat pun boleh dipos ke rumah yang jauh.
Dulu mana ada pengurusan macam ni di tempat saya. Doktor & jururawat pun tak tahu nak bantu apa untuk meneruskan kehidupan. Yang mereka tahu cuma merawat pesakit.
Apabila saya bertanya tentang masa depan sebagai OKU Penglihatan, mereka hanya mampu bersimpati dan suruh bersabar.
Itu semua langsung tak membantu untuk meneruskan hidup sebagai OKU Penglihatan. Langsung tiada info & cakna daripada masyarakat sekeliling hatta daripada golongan profesional.
Hari demi hari, saya sentiasa memikirkan cara dan berusaha untuk keluar dari rumah dan berhijrah ke satu tempat yang mana komuniti di situ betul-betul boleh terima saya sebagai OKU. Seperti manusia biasa lain yang inginkan kebebasan hidup.
Suatu ketika, sepupu saya yang belajar dalam bidang pendidikan khas di UKM datang menziarahi rumah kerana baru sahaja memulakan cuti semester.
Dia merupakan orang pertama yang tidak akan terbalas jasanya pada permulaan perjalanan kehidupan saya di dunia OKU Penglihatan.
Dia menceritakan sering berjumpa dengan golongan OKU Penglihatan yang berdikari sendiri di kawasan Kuala Lumpur & Selangor. Mereka bebas ke mana sahaja sama ada bersendirian mahupun berteman beramai-ramai sesama mereka.
Saya bertanya kepadanya bagaimana mereka berjalan sesama OKU Penglihatan tanpa risau keselamatan diri di tempat awam.
Balas sepupu saya, kebanyakan mereka telah diajar kemahiran orientasi mobiliti selain dibantu oleh kemudahan teknologi.
Dan katanya lagi, kebebasan bergerak lebih mudah diperoleh di kawasan bandar berbanding kawasan kampung. Pemikiran masyarakat sangat terbuka dalam berkomunikasi & menghulurkan bantuan kepada OKU Penglihatan.
Kalau di tempat saya, golongan OKU dipandang sebagai pembawa sial dan malang selain menyusahkan orang.
Di kawasan bandar, kebanyakan mereka tidak terlalu bergantung pada orang celik dalam urusan seharian melainkan terdapat beberapa keterbatasan.
Banyak juga yang diceritakannya pada saya memandangkan dia juga terlibat sebagai sukarelawan untuk komuniti OKU Penglihatan di UKM dan NGO luar. Maaf susunan cerita saya mungkin agak memeningkan.
Di lain kesempatan, saya ceritakan lagi konflik yang saya lalui sepanjang perjalanan menjadi adult blind.
Seperti yang telah saya nyatakan di atas, perjalanan sebagai adult blind ada sedikit berbeza berbanding mereka yang dilahirkan / OKU Penglihatan sejak kecil.
– Bunga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit