Untuk part I, (https://iiumc.com/coretan-
Untuk part II, (https://iiumc.com/coretan-
Terima kasih barisan admin untuk penyiaran confession terakhir saya pada kali ini.
Berkaitan dengan penyakit glaukoma yang saya hidapi, pada awalnya saya berasa sakit pada kedua-dua bebola mata seperti rasa mencucuk-cucuk. Ada ketika kesakitan itu berdenyut-berdenyut berlarutan hingga ke telinga dan ke kepala.
Selalunya apabila saya stress, terlalu sejuk (aircond), cuaca panas berbahang, ataupun melakukan aktiviti lasak yang melibatkan beberapa bahagian otot badan yang menegang, mata saya akan mula berdenyut-denyut sakit.
Dan dari situ mata saya beransur-ansur menjadi rabun dan akhirnya hilang penglihatan sepenuhnya setelah di diagnosis oleh doktor pakar oftalmologi.
Tapi tempoh berlakunya kemerosotan penglihatan itu memakan masa yang lama bergantung kepada individu. Dan glaukoma ni pun ada sedikit perbezaan pada sesetengah individu.
Ada yang hanya sakit pedih pada bebola mata. Ada yang sakit hingga ke kepala. Ada yang terpaksa pantang makan minum tertentu seperti kopi, daging lembu, makanan laut, dan lain-lain.
Saya juga terpaksa bergantung kepada beberapa ubat titis mata selain gel pelembap dan ubat makan.
Setakat ini memang tiada cara khusus dalam menghentikan kesakitan glaukoma yang tidak menentu masa melainkan mengenali batasan sistem badan sendiri & kawalan melalui ubat-ubatan.
Ada situasi rakan saya menahan sakit glaukoma di waktu malam hingga terpaksa mencengkam tilam hingga cadar tilam koyak akibat terlalu menahan sakit.
Maklumlah masa tu duduk asrama dan rumah warden pun jauh. Kalau dimaklumkan pada warden sekalipun, hanya akan diberi ubat tahan sakit, suruh tidur dulu, esok pagi baru pergi hospital.
Dipendekkan cerita, saya berpeluang belajar di sebuah pusat latihan kemahiran bagi golongan OKU Penglihatan. Mengapa saya memilih kemahiran vokasional berbanding akademik?
Jawapannya, saya nak mencuba sesuatu yang tak pernah saya lakukan sebelum ini. Saya dah melalui zaman yang berorientasikan akademik sejak peringkat sekolah rendah hingga universiti semasa saya masih celik suatu ketika dahulu.
Jadi, saya fikir tak salah cabar diri untuk berkecimpung dalam bidang kemahiran. Antara impian saya ialah saya ingin membantu sesama komuniti OKU Penglihatan untuk mempunyai peluang pekerjaan bagi meneruskan kehidupan.
Sebab saya perhatikan sewaktu saya bergaul dengan golongan OKU Penglihatan bermula semasa saya di pusat latihan kemahiran hinggalah sekarang, hanya segelintir kecil yang sebenarnya betul-betul perform dalam memajukan diri-sendiri.
Selebihnya ramai yang masih tiada hala tuju kehidupan yang jelas dan sekadar mengikut kawan tanpa ada pendirian sendiri.
Memang tidak saya nafikan kebanyakan golongan OKU Penglihatan selalu dilabel oleh masyarakat sebagai ‘celik hati’.
Tapi apa yang saya lalui bersama komuniti ini adalah terdapat juga golongan mereka ini yang dikategorikan sebagai slow learner (lembab), kurang yakin diri (disebabkan family / masyarakat yang over protective) selain isu kesihatan yang lain.
Oleh sebab itu, saya terfikir dapat mewujudkan satu peluang kerjaya yang mana saya dapat memberi peluang pekerjaan kepada golongan yang IQ lemah & sederhana ini untuk terus memperoleh sumber rezeki yang berbaloi dengan keupayaan mereka.
Pernah juga saya dan beberapa rakan OKU Penglihatan lain duduk berbincang mengenai masa depan hala tuju kami.
Ada yang bercadang untuk mempelajari kemahiran berkaitan hospitaliti. Sebab tiada masalah sebenarnya bagi mereka dalam menguruskan perkara seperti membasuh cadar, melipat selimut, mengemas bilik, dan sebagainya.
Ada juga yang ingin membuka perniagaan makanan secara kecil-kecilan kerana minat terhadap masakan. Memasak juga boleh dilakukan sekiranya adaptasi teknik yang selamat walaupun dalam keadaan mata tertutup.
Gunakanlah deria pendengaran dan deria hidu serta deria sentuh untuk memaksimumkan potensi diri. Sudah menjadi adat kehidupan kita pasti akan melakukan kesilapan bagi peringkat permulaan pembelajaran.
Namun ingatlah bahawa pepatah Melayu menyatakan, alah bisa, tegal biasa. Jangan amalkan over protective kepada golongan ini kerana perkara itu sebenarnya ‘membunuh’ mereka untuk terus hidup.
Sebaliknya, kita semua harus belajar untuk mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap sesuatu isu yang timbul.
Rujuk para guru pendidikan khas penglihatan, pensyarah pendidikan khas penglihatan, NGO blind, serta lain-lain sumber rujukan di media sosial dan media massa.
Saya memilih untuk berhijrah ke Kuala Lumpur setelah menamatkan pengajian di pusat latihan kemahiran di sebuah negeri. Kenapa pilih Kuala Lumpur?
Jawapan saya ialah kerana kemudahan OKU begitu mudah didapati dan masyarakat sangat membantu golongan OKU di kawasan bandar berbanding kampung.
Saya tidak menyalahkan masyarakat kampung yang banyak bersimpati kepada nasib OKU kerana mereka kurang pendedahan cara menguruskan OKU Penglihatan.
Dan di bandar pula tidak juga masyarakat 100% memahami OKU Penglihatan. Tetapi kelibat OKU Penglihatan yang ke hulu, ke hilir di bandar menjadikan masyarakat sudah biasa dan bersedia membantu mereka pada bila-bila masa.
Tambahan pula seperti yang saya telah nyatakan, kemudahan pengangkutan terutamanya yang mudah didapati menjadikan golongan OKU Penglihatan lebih berdikari dan tidak terlalu mengharapkan bantuan ahli keluarga, adik-beradik, saudara-mara semata-mata.
Di Kuala Lumpur ini, saya bebas ke sana, ke sini menggunakan perkhidmatan e-hailing seperti Grab, Maxim, In Drive, Airasia Ride, dan lain-lain.
Kemudahan pengangkutan awam juga mudah digunakan seperti LRT, MRT, monorel, ETS, ERL, dan KTM. Semua ini memerlukan kemahiran komunikasi kita dalam berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat selain rajin bertanya.
Penguasaan ilmu orientasi & mobiliti serta ilmu ICT juga penting.
Secara ringkas akses OKU Penglihatan kepada penggunaan telefon pintar seperti iPhone & pelbagai telefon Android lain boleh dilakukan dengan bantuan pembaca skrin (screen reader seperti Talkback & Voice Over).
Boleh Google & tengok di Youtube / Facebook / Tik Tok ya.
Secara peribadi, golongan adult blind lebih mesra untuk menerangkan perkara-perkara sebegini berbanding mereka yang OKU Penglihatan sejak kecil.
Sebab golongan adult blind pernah merasa hidup di dunia celik dan dunia buta. Jadi cara penerangan mereka adalah lebih bertoleransi dan tidak mudah melenting.
Ini cuma pendapat peribadi saya ya. Kenikmatan kebebasan bergerak dan membuat pilihan sendiri adalah antara salah satu nikmat terbesar yang hilang selain hilangnya keupayaan penglihatan bagi golongan adult blind.
Namun, keberanian itu tetap perlu dipupuk dengan mencari rakan senasib agar dapat sama-sama berpijak teguh di atas bumi dan melebarkan sayap terbang sama tinggi di atas langit.
Saya biasa mendengar pendapat ahli keluarga yang mempunyai anak OKU Penglihatan berkata lebih kurang begini, “Tak perlu risau. Lepas habis belajar, duduk rumah. Adik-beradik / anak buah ada untuk jaga dan uruskan makan minum”.
Tapi persoalan yang terlintas di benak fikiran saya ialah, “Sampai bila nak terus bergantung pada orang untuk uruskan diri sendiri?”.
Sebab saya juga pernah mendengar pengalaman beberapa rakan OKU Penglihatan yang dianiaya keluarga sendiri. Dan kisah yang benar-benar berlaku ini membuatkan saya berasa amat sedih dengan ujian perjalanan kehidupan mereka.
Ada situasi yang melibatkan duit elaun JKM mereka diambil dan digunakan semuanya untuk kepentingan ahli keluarga tanpa mempedulikan kebajikan hak anak OKU tersebut.
Apabila melawan, mereka akan mengungkit soal tidak mengenang budi, OKU tak pandai urus duit jadi biar keluarga yang urus, dan pelbagai alasan lain.
Itu belum lagi isu pegawai JKM yang tidak amanah dalam menjalankan tugasan pembayaran elaun kepada golongan OKU. Ada sumbangan elaun yang masuk separuh / langsung tidak masuk ke akaun bank OKU tersebut.
Ada juga situasi ahli keluarga menjadikan anak OKU penglihatan ibarat hamba. Misalnya disuruh menjaga anak buah / melakukan kerja harian tanpa sebarang upah.
Ini bukan soal materialistik. Tapi kita sebagai manusia juga memerlukan sumber pendapatan untuk membeli barang keperluan serta barang yang kita inginkan.
Mungkin ada pendapat menyatakan,
“Bersyukurlah dah diberi makan minum dan dijaga di rumah sendiri berbanding di luar. Buat apa nak kena bayar upah semua tu. Anggaplah tolong tu sebagai balas jasa”.
Andai kata kita setiap hari 24 jam berpenat lelah buat semua itu tapi langsung tak diberi peluang merasa kenikmatan membeli sesuatu barang / makanan yang kita idamkan untuk kepuasan diri sendiri.
Apa rasanya? Gembira? Redha? Pasrah?
Bayangkan betapa nikmatnya kita dapat membeli pakaian kegemaran kita untuk dipakai walaupun pakaian tersebut hanya bernilai RM15. Tapi hakikatnya tidak semua keluarga akan memberi layanan dan peluang kepada anak OKU Penglihatan.
Bukan sahaja di kampung, di bandar-bandar juga tetap masih ada golongan keluarga yang over protective yang hanya menganggap anak OKU perlu duduk di rumah dan dijaga oleh adik-beradik / anak buah.
Seandainya OKU Penglihatan tersebut betul-betul bermasalah dari segi kesihatan fizikal & mental, mungkin saya boleh terima lagi.
Tapi kalau yang IQ elok macam kita semua, tapi hanya ketidakupayaan penglihatan semata-mata, itu sangatlah menyeksakan bagi diri mereka.
Ramai saya jumpa kawan-kawan yang berhijrah dari negeri asal mereka dan hidup bersama rakan senasib di Kuala Lumpur demi kebebasan berdikari.
Apabila di kampung-kampung / tempat asal, masing-masing langsung tiada kenikmatan kebebasan hidup. Dan lebih teruk tetap dihina masyarakat sebagai pembawa sial / pembawa malang.
Maaf, penulisan saya agak sedikit beremosi. Apapun, sama-samalah kita semua belajar dan merujuk pada pihak yang lebih berpengalaman.
Saya dengan rasa rendah diri memohon kemaafan seandainya sepanjang penulisan coretan saya ini mengguris hati banyak pihak. Tetapi itulah sebenarnya kepahitan yang perlu kita semua telan kerana yang benar itu akan selalu pahit.
Saya dan beberapa orang rakan sebenarnya sedang berusaha mewujudkan satu page di FB untuk memberi pendedahan mengenai motivasi serta perkongsian pengalaman sebagai OKU Penglihatan yang lebih berdikari. Bukan page persatuan tu ya.
Jangan cari saya kerana saya ni pemalu orangnya… Huhuhu~~~
– Bunga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit