COVID-19: Apakah Pengajarannya?

Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera. Terlebih dahulu saya memohon maaf dengan segala kesilapan yang pasti ada pada tulisan ini dan jika terdapat kesalahan atau menyinggung sesiapa tanpa sengaja.

Saya memohon maaf dan harap ada yang sudi memperbetulkan kesilapan saya supaya tidak menjadi masalah di kemudian hari.

Dunia penulisan bukan bidang saya dan saya tidak mahir dalam mengarang. Seingat saya dunia penulisan (karangan) telah lama ditinggalkan sejak dibangku persekolahan.

Apa yang membuatkan saya terdetik untuk menulis adalah kerana keadaan kita sekarang. COVID 19 datang membawa seribu satu rahmat yang mungkin kita terlepas pandang.

Soal keluarga dan amal ibadat saya mungkin tidak menyentuh banyak kerana saya merasakan kebanyakkan dikalangan kita pasti lebih memahami dan sedang melaluinya.

Isu yang saya ingin sentuh disini ialah Covid-19 telah mengajarkan kita tentang PATRIOTIK. Kerana apa? Saat ini kita akan nampak siapa yang bantu kita dan siapa yang lebih banyak berbicara.

Teringat saya, saat kejatuhan kerajaan yang telah memerintah selama 60 tahun dahulu membuatkan ramai dikalangan warga emas bersedih hati. Kita yang muda tidak memahami dengan perasaan demikian.

Kerana apa? Kita tidak terlibat dalam memperjuangkan apa yang kita miliki kini. Tapi tidak kepada mereka.

Kini, kita lebih memahami mengapa mereka bersedih hati saat kerajaan yang bersama-sama mereka dalam memperjuangkan bagi mencapai kemerdekaan jatuh sekalipun yang berjuang bersama telah lama pergi.

Yang tinggal, legasi yang kurang memahami dan mencemari tetapi kenangan tetap dihati. Dan perkara ini mungkin terjadi pada kita suatu masa nanti.

Covid-19 menghalang sebahagian kita dalam mencari rezeki. Dan terlalu ramai yang mencari-cari sumber untuk pastikan perut terisi dan makanan tetap disaji. Dalam kesempitan, kita mula lihat siapa yang memberi dan siapa yang menyepi.

Kita mula lihat pelbagai agensi menghulurkan bantuan, PETRONAS (sedangkan harga minyak lebih murah dari Teh Ais), SAJI, GDEX, pengiat seni yang turun padang, pendakwah, pihak-pihak yang mengumpul dana dan sebagainya. Dan ramai yang memberi mengikut kemampuan sendiri.

Ini sesuatu yang patut kita contohi dan hormati. Bukan sahaja memberi dalam bentuk kewangan tapi tenaga, kemahiran dan sebagainya. Dari sebesar-besar bantuan sehingga sekecil-kecil bantuan. Semua ini mengajar kita memberi tidak perlukan beribu-ribu di dalam simpanan.

Kadang cukup sekadar kemahiran diri atau sekampit beras atau sebungkus roti atau sekadar doa yang tidak henti. Hakikat memberi tiada nilai besar atau kecil. Kerana yang menilai bukan kita kecuali Yang Maha Esa.

Tidak lupa pada Agensi Zakat yang dahulu sering dipersoalkan, kini aktif disetiap negeri untuk memberi tanpa melihat pada agama atau bangsa.

Dan segala hormat kepada semua ‘HERO-HERO’ Negara yang bertarung di medan hadapan melawan Covid-19, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Kebanyakkan dari mereka ini dulu, kita pernah merendah-rendahkan khidmat mereka, memandang rendah pada sebahagian dari mereka dan mempertikaikan tanggungjawab mereka. Kini, saat kita bersenang-senang dirumah, mereka ‘bertempur’ demi kesihatan dan keselamatan nyawa kita.

Akhir sekali, pastinya bagi rakyat seperti kita, memiliki pihak kerajaan yang kita tidak pernah undi, kelihatan lebih prihatin dan berjiwa rakyat terhadap kita seolah-olah rahmat dari Yang Maha Penyayang.

Andai kata, kita diuji dari Yang Maha Kuasa, tetapi tidak dikirimkan ilmuan agama untuk mengajarkan kita Maqasid Syariah dalam kewajipan menjaga nyawa serta sentiasa bersangka baik dengan takdir yang diturunkan,

tidak dikirimkan mereka yang sudi menghulurkan bantuan dan kita tidak diperintah oleh yang berjiwa rakyat, mungkin kita tidak setenang sekarang.

Ya, kita diuji dengan wabak, kekurangan harta, jauh atau kehilangan ahli keluarga dan diuji dengan nikmat masa lapang. Semua ini untuk kita lihat, siapa yang membantu disaat kita memerlukan, apa perasaan kehilangan atau berjauhan dan apa yang kita manfaatkan dengan kurniaan masa lapang.

Semoga dengan berakhir Covid-19 ini, kita lebih Patriotik dan mengerti dengan menyumbang kembali kepada yang memberi dan membaiki ekonomi dengan membeli buatan Malaysia. Menyokong tidak bererti kita bersetuju semuanya tetapi kita cuma tidak lupa siapa yang ada saat kita memerlukan.

Covid-19 juga mengajarkan kita, tiada khidmat yang tinggi atau rendah kerana setiap darinya punya peranan yang istimewa. Samaada kita sedar atau tidak.

Dan paling penting sekali adakah kita menjadi lebih baik dari sebelum ini atau sebaliknya?

Semua pilihan di tangan kita. Dan kita tidak pernah terlambat untuk berubah untuk menjadi hamba yang lebih baik, manusia yang lebih baik dan rakyat yang lebih baik.

Akhir sekali, ini hanya pendapat peribadi dan saya mohon maaf sekali lagi.

yang berada dirumah,

– izzati (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *