Hai semua. Hari ni aku nak bagi pendapat sikit tentang perangai fake. Ramai yang berpendapat kita kena jadi diri sendiri depan orang terutama sekali depan keluarga mertua untuk yang dah berkahwin.
Tapi pada aku, kadang-kadang perangai fake tu memang kena ada. Bukan untuk menunjukkan kita bagus, tapi untuk menjaga nama baik kita juga. Bukan nama baik sendiri sahaja, tetapi suami dan keluarga.
Lumrah manusia, kita memang dilahirkan tidak sempurna. Setiap orang ada buruk dan baiknya. Tapi perlu ke kita nak tunjuk perangai buruk kita semata-mata demi menegakkan prinsip nak jadi diri sendiri?
Dekat sini aku bagi contoh antara sikap buruk yang kita boleh tutup bila berdepan dengan orang.
1. Bangun lewat.
Ini biasanya untuk kaum wanita sebab kaum wanita memang akan dipandang serong kalau matahari dah tegak atas kepala baru nak bangun terutama anak dara.
Aku faham, kadang-kadang kita bukan belum bangun tapi cuma malas nak keluar dari bilik dan masih nak bermalas-malasan atas katil.
Tapi tolonglah, buat perangai ni kalau dekat rumah sendiri yang isi rumahnya dah faham perangai kita macam mana. Bila ada saudara-mara bertandang atau bila kita dekat rumah orang, tolong bangun awal.
Normalnya, tetamu tak lama berada di rumah kita dan kita pun tidak bertandang lama di rumah orang. Jangan anggap orang diam bermakna orang tidak bercakap atau mengata.
2. Tidak pandai memasak.
Ini juga normal terutama di kalangan wanita. Pada aku walaupun tidak pandai masak, tidak salah tunjukkan diri di dapur dan bertanya apa yang perlu di buat.
Setidaknya, duduk di sinki dan tolong basuh perkakas memasak yang telah digunakan. Boleh juga bertanya pada sesiapa yang ada berkenaan menu yang dimasak sekadar untuk berbasa-basi.
3. Basuh pinggan.
Pernah tak kalau kita bertandang di rumah orang, selepas makan kita nampak hanya orang yang sama atau seorang sahaja yang berdiri di sinki membasuh segala pinggan mangkuk? Rasanya apa perasaan orang yang sedang berdiri itu?
Kalau aku, aku rasa geram dan marah dengan orang yang tak pandai basuh pinggan lepas makan ni.
Kalau kita penghuni rumah berkenaan, tolonglah bantu. Ingat tak penat ke diri lama-lama, basuh satu-persatu pinggan mangkuk dan semua alatan memasak?
Sekurang-kurangnya tolong susun semula alatan yang telah di basuh walaupun selama ni kita tak pernah buat.
Kalau kita di rumah orang, tolong basuh pinggan yang kita makan walaupun tuan rumah melarang. Ingat, walaupun kita lelaki tetap tak tercemar maruah kalau kita basuh sebiji pinggan.
4. Mulut menjawab.
Kalau kita ni selalu menjawab bila kena marah atau ditegur, tolonglah jangan buat perangai ni depan orang luar. Elok ke kita buat perangai macam tu?
Mulut yang ada ni mulut sendiri, boleh kawal sendiri. Cuba tahan selama beberapa hari untuk tidak menjawab.
Kalau rasa nak maki, maki saja dalam hati. Bila tetamu dah balik, terpulanglah pada kita. Ingat, jangan tunjuk sangat perangai buruk kita.
5. Lambat mandi.
Ini pun sama. Normal kalau kita lambat mandi. Kadang-kadang petang baru mandi. Terpulang pada diri sendiri, yang kotor dan busuk badan sendiri.
Tapi bila ada orang luar atau kita dekat rumah orang, tolonglah mandi awal. Bangun awal dan mandi awal. Janganlah buat perangai sama macam kita dekat rumah. Setakat dua atau tiga hari mandi awal tak akan mengancam nyawa kita.
Kesimpulan yang aku nak cakap dekat sini, jadilah fake untuk sementara waktu. Fake untuk menjaga nama baik depan orang luar. Tak salah untuk jadi fake selama beberapa hari.
Percayalah, orang tak akan bercakap depan kita tentang betapa buruknya perangai kita. Walaupun kerja-kerja rumah atau sesuatu amalan tu bukan benda yang kita biasa buat, cubalah buat depan orang.
Benda macam ni mencerminkan siapa diri kita dan juga keluarga kita. Biasa tak dengar anak buat salah, tapi mak bapak yang dipersalahkan. Ini normal, sebab asuhan dan didikan bermula dari rumah.
Kadangkala ibu bapa dah berikan yang terbaik, tetapi kita yang masih degil. Tapi tak salah kita jadi fake untuk jaga nama baik ibu bapa kita kan?
Tolonglah, jaga adab dan tunjukkan sedikit hormat pada orang luar walaupun itu bukan diri kita. Kita tak akan rugi.
– Puan A (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit