Cucu Yang Jahil

Salam.. Walaupun sudah hampir 5 tahun kejadian tersebut berlaku, aku masih tak boleh terima kejahilan aku pada waktu tersebut.

Aku dibesarkan bersama seorang nenek yang amat aku sayangi. Aku panggil opah lah senang. Lebih ringkas gitu.

Hanya opah je yang tinggal pada saat aku dilahirkan. Bermakna, opah atok di sebelah ayahku sudah lama meninggal dan atok belah ibuku juga sudah lama meninggal.

Bermula usia aku 3 tahun sehingga 5 tahun, aku duduk di kampung bersama opah aku. Ketika aku berusia 6 tahun, opah aku tinggal bersama-sama aku di rumah ibu bapaku di ibu kota.

Memandangkan opah aku hanya keseorangan di kampung, bapaku mengajak opahku untuk tinggal bersama-sama bermula saat itu. Pada hujung minggu sahaja kami akan pulang ke kampung sekiranya berkelapangan.

Opah aku dan aku sangat rapat. Lebih lagi opah aku tidur bersama denganku di dalam satu bilik. Semua rahsia tak kira yang baik atau buruk, opah aku lah orang pertama yang tahu.

Memandangkan aku dibesarkan di dalam keluarga yang agak tegas, aku lebih selesa berkongsi semua perkara dengan opah aku.

Pada cuti sekolah, sememangnya ibu bapaku akan membawa kami adik-beradik bercuti. Tapi, aku tak sampai hati untuk turut serta sekiranya opah aku tak nak ikut.

Aku lebih rela menemani opah aku di rumah daripada mengikut percutian tersebut. Korang boleh bayangkan tak betapa akrabnya hubungan aku dengan opah aku.

Itulah. Sekadar sayang dan akrab je, tak cukup kalau bodoh agama…Kan?

Nak dipendekkan cerita, keadaan kesihatan opah aku merosot pada tahun 2018. Tipu la aku tak takut kan. Lebih lagi opah aku mula merepek, dia kata dia nampak orang dekat luar rumah. Padahal takde siapa pun.

Di hospital pun, dia kata yang dia ada jumpa saudara mara dia yang dah lama meninggal dunia.

Orang kata, kalau ada tanda sebegitu, bermaksud hayatnya tak lama dah tu.

Walaupun begitu, aku berdoa banyak-banyak dekat Allah S.W.T agar berikan kesihatan yang baik dan panjangkanlah umur opahku. Aku tak bersedia nak menghadapi saat ni. Saat yang semua orang takutkan, iaitu kematian.

Lebih kurang 3 bulan opah aku berulang-alik ke hospital dan aku yang menguruskan semua tu. Bawa opah aku ke hospital untuk follow up, cuci berak kencing.

Tipu la kadang-kadang tu aku tak burnout. Tambah lagi aku dimarahi oleh opah aku. Kena maki pun ada. Biasalah, orang sakit..

Ada ketikanya aku pun tertinggi suara maybe disebabkan aku letih sangat dan kebanyakkan aku yang menguruskanya sendirian. Ada beberapa kali aku tertinggal waktu subuh dan dimarahi oleh orang tua ku.

Disebabkan opah aku sering kali memanggil aku pada tengah malam, pagi buta, supaya mengurut kakinya yang lenguh, dia nak minumlah, bagi opah aku makan ubat dan macam-macam lagi lah. Tapi.. aku tak kisah semua tu.

Nasib baik boss aku baik. Dia bagi aku wfh walaupun pada waktu tersebut belum dibiasakan lagi dengan terms wfh. Covid belum ada lagi kan.

Yang aku terkilan sampai sekarang ialah..

Aku tidak membisikkan dua kalimah syahadah ke telinga opahku yang sedang nazak…

Aku jahil. Aku jahil.

Aku perlu ke office semasa hari kematiannya. Oleh itu, aku minta tolong adik aku untuk jaga opah aku pada hari tersebut.

Sebelum aku ke pejabat, aku nak kejutkan opah aku supaya minum susu untuk sarapan dan aku melalui sesuatu keadaan yang pelik.

Opah aku bernafas dengan laju. Matanya kekal terpejam walaupun berkali-kali aku panggil “Opah… opah.. bangun opah.. minum susu ni opah” Kemudian ada cecair gelap meleleh dari mulutnya.

Aku pun cepat-cepat panggil adik aku. Adik aku pun tergamam dan cuba menepuk pipinya dengan lembut. Tiada respon. Aku pun terus call ambulance takut apa-apa terjadi.

Selang 40 minit, ambulance pun sampai dan disebabkan ambulance refuse untuk menerima whatsapp maps location dari aku (aku pun tak tau sebab apa dan sehingga kini aku rasa amat marah bila teringat semula),

Mereka tersesat dan disebabkan itulah ambulance lambat sampai walaupun sepatutnya less than 20minutes ambulance dah boleh sampai.

Mereka kata mereka hanya perlukan alamat sahaja dan tak perlu maps location walaupun dah berkali-kali aku cakap yang aku nak bagi location supaya lebih mudah untuk mereka mencari rumah aku.

Rupanya, sementara aku menunggu ambulance sampai di luar rumah, opah aku dah meninggal dunia.

Aku sepatutnya berada di sisinya dan membantunya mengucap supaya dapat permudahkan urusannya ke alam abadi. Tapi, aku tak buat semua tu!

Aku jahil sangat. Setiap kali selepas solat, mesti air mata aku mengalir menyesali perbuatan tersebut. Itu je yang aku tak boleh terima sepanjang aku hidup.

Aku tak membantu opah aku untuk mengucap dua kalimah syahadah. Bukan setakat selepas solat, bahkan setiap kali kalau aku keseorangan, termenung dan teringat akan insiden tersebut, pasti air mata jatuh ke pipi.

Yang membuatkan aku terkilan ialah, selepas setahun kematian opah aku, aku tertengok satu video yang dikongsi oleh seorang ustaz. Tak ingat apa nama ustaz tu.

Ustaz tu kata, sewaktu seseorang hendak meninggal dunia, syaitan akan datang untuk memesongkan umat manusia.

Boleh jadi sewaktu kita nak mati, kita boleh menjadi kafir sekiranya terpedaya dengan tipu daya syaitan sewaktu nazak. Allahuakbar…

Terus aku teringat insiden tu. Aku tak tolong opah aku mengucap. Opah aku baik sangat semasa di dunia. Opah aku jaga aku dengan baik, dengan penuh kasih sayang. Tapi, ini yang aku balas kepadanya?

Aku takut disebabkan perbuatan aku tu, terjadi sebaliknya. Nauzubillahminzalik…Minta dijauhkan.

Jasmine minta maaf opah. Jasmine jahil. Jasmine sepatutnya permudahkan urusan opah ke alam abadi.

Jasmine berdoa kepada Allah setiap kali selepas solat agar Allah menerima semua ibadah opah semasa di dunia, ampunkan dosa-dosa opah, terangkan kubur opah, luaskan kubur opah.

Terima kasih opah kerana membesarkan Jasmine dengan baik. Ajar Jasmine mengaji, ajar Jasmine supaya sentiasa berbuat baik dengan orang walaupun Jasmine ni pemarah orangnya.

Opah banyak bersabar dengan Jasmine. Tapi Jasmine buat opah macam tu.

Pernah beberapa kali aku berniat untuk bertanya persoalan ini kepada mana-mana ustaz. Tapi aku takut…Sampai sekarang aku masih terkilan.

Saja aku pilih platform ni untuk meluahkan kerana tiada siapa yang tahu kekesalan aku ini walaupun suami aku sendiri.

– Dang Jasmine (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *