Assalamualaikum Wbt. Terima kasih kepada admin andainya bicara hati ini dapat disiarkan kepada umum. Pertama sekali, cukuplah saya memperkenalkan diri saya sebagai Ainan dan saya berusia 21 tahun.
Saya merupakan anak bongsu dari 7 beradik dan saya seorang saja anak perempuan yang belum berkahwin, kami adik beradik umur rapat-rapat. Keluarga saya semua tinggal dikawasan lembah klang dan saya seorang saja jauh diutara tanah air.
Saya berasal dari keluarga yang susah, disebabkan itu saya hanya dapat menyambung pelajaran diperingkat sijil tahap 2.
Walaupun keinginan hati saya nak pergi lebih jauh dalam pelajaran tapi saya tanamkan saja impian itu kerana saya sudah mula berkerja dan ibubapa bergantung dengan duit bulanan dari saya, ianya agak sukar untuk berhenti kerja dan sambung belajar lagi.
Itu bermakna tiada lagi duit tambahan bulanan kedua ibubapa saya. Didalam usia saya ini pelbagai kesusahan saya sudah lalui.
Pada umur 19 tahun saya sudah merantau mencari kerja di negeri utara, pergi seorang diri menaiki bas.
Alhamdulillah kerja saya sekarang yang jumlah gajinya orang lain pandang rendah pun masih terasa mewah kerana saya tidak mengambil sebarang pinjaman dan tidak berhutang membeli kereta atau telefon pintar.
Duit saya banyak dilaburkan untuk ibubapa dikampung seperti membesarkan dan menghias rumah, membeli perabot rumah, membayar bil-bil dan air tapisan setiap bulan.
Tapi, saya rasa kedua ibu bapa dan adik beradik tidak menghargai apa yang saya buat dan mengendahkan pengorbanan saya.
Saya sudah hampir setahun tak balik kerana PKP sedangkan adik beradik saya yang lain hampir setiap minggu balik kampung kerana mereka hanya lain daerah.
Sepanjang setahun saya tak balik, tak ada seorang pun serius bertanya mengenai saya disini cukup duit ke, kerja macam mana. Ada pernah salah seorang dari mereka berkata saya ada atau tidak ada sama saja.
Saya terasa sangat, kadang-kadang saya tertekan dan banyak masalah pun saya tak tahu nak meluahkan pada siapa dan pendam je sebab saya tahu mereka tidak peduli. Kadang-kadang saya takut kerana terlalu pendam akan menjadi barah, barah penderitaan.
Bukan niat saya ingin mengata yang buruk tentang keluarga saya. Tapi tiap kali saya ada masalah saya rasa kosong, keseorangan tiada siapa dibelakang saya dan tiada bahu yang boleh dipinjam untuk bersandar merehatkan otak yang banyak berfikir dan hati yang banyak terasa.
Kakak-kakak saya yang sudah berkahwin semua jadi suri rumah tangga dan kadang-kadang mereka meminta pertolongan saya untuk membeli barang yang mereka suka.
Saya mengikut saja kehendak mereka walaupun ketika itu saya kesempitan dan apa yang saya impikan untuk saya beli pun saya lupakan. Dulu saya ingat jadi anak dan adik bongsu saya yang boleh minta mereka apa yang saya nak, tapi bukan rezeki saya untuk rasakan itu.
Apa yang paling membuat saya terluka adalah, saya pernah menyuarakan keinginan saya ingin menukar kerja kerana hampir hari-hari saya tertekan dan menangis kerana kerja.
Saya sedar didalam era pandemik ini ramai yang terjejas pendapatan dan susah nak cari peluang pekerjaan lain.
Tapi setidaknya bagi lah saya semangat atau bertanyalah mengapa dan apa yang saya lalui dalam harian saya, bahagia ke saya disini, dah makan ke sakit ke, sudahlah saya jauh seorang diri.
Tapi apa yang saya dapat hanya umpatan dari kedua ibubapa dan adik-beradik yang lain kata saya ini mengada dan tak bagi saya berhenti dan mengugut kalau berhenti kerja jangan balik kampung selagi tak dapat kerja lain. Seolahnya saya hanya perlu lalui semua seorang tanpa bantuan keluarga.
Kadang-kadang saya cemburu dengan mereka yang ada keluarga yang boleh bergantung harap dan meminta pertolongan.
Baru bulan lepas tangan saya retak kerana kemalangan semasa ingin melintas jalan. Berulang alik kehospital, semasa saya memberi tahu didalam group Whats’App keluarga, mereka hanya kata sikit saja sebab mampu menaip lagi, sedangkan bukan kedua-dua tangan saya yang retak.
Ibu bapa saya berdoa supaya cepat sembuh. Tapi hanya sekali itu saja, selepas itu tak ada lagi pertanyaan mengenai keadaan saya sampai saya rasa saya yang “over” bagi gambar dan “update” mengenai keadaan saya sedangkan tiada seorang pun yang bertanya.
Bagi mereka ia hanya luka kecil sedangkan bagi saya ianya serius kerana saya tidak pernah mengalami kecederaan begini dan saya cuti sakit sampai sekarang masih tak ada soalan cemas dengan keadaan saya.
Biarlah saya rawat dan ubati sendiri dengan bantuan nasihat doktor pakar dan google. Cedera dihati? Biarlah Allah SWT dan diri sendiri yang ubati.
Saya ada tiga abang, tapi hanya seorang saja rajin bekerja yang dua lagi hanya kerja kampung dan berkerja sesuka hati mereka. Kalau saya menyuarakan pendapat dan bagi nasihat mereka saja yang betul.
Saya ada beli kereta proton saga second hand cash tahun lepas, sebab itu saja yang saya mampu buat masa sekarang. ada sekali tu abang saya nak pinjam katanya nak ambil barang kat johor, saya pun bagi pinjam.
Tapi sampai sekarang kereta tu macam dah jadi hak dia, walaupun semasa saya beli kereta itu memang dah sedia buruk, setidaknya jaga lah dengan baik harta dan amanah saya tapi sekarang makin bertambah teruk dan banyak kerosakkan.
Sedangkan saya yang mengumpul duit berbulan untuk beli kereta itu hari-hari pergi ke kerja menapak ke stesen bas untuk menaiki bas. Tapi mengenai kereta tu saya dah redha dan menghalalkannya, InshaAllah.
Pernah suatu ketika dulu, saya susah asyik tak cukup duit. Semua menjauhkan diri dari saya, ibu pun bila saya balik kampung layan saya cukup syarat je tak seistimewa adik beradik yang lain, tak tahu apa yang istimewanya yang lain dan apa kurangnya saya.
Saya tahu ibu pun sedih dengan nasib keluarga saya dengan ayah saya yang tidak berkerja lagi atas faktor usia. Bila mengharapkan anak, anak-anak asyik gagal saja untuk maju.
Walaupun saya tahu adik beradik saya juga berusaha, tapi apa yang saya rasa terkilan sebab mereka kahwin awal dan jadi suri rumah sepenuh masa.
Ya, benar jodoh Allah dah tentukan saya tahu itu tapi macam mana sama-sama nak mengubah nasib keluarga sedangkan mereka juga sudah ada keluarga sendiri untuk diubah.
Bila mereka berkumpul mengumpat pasal saya pemalas taknak cari kerja yang bagus. Sedangkan siapa saja yang tak mahu kerja yang bagus, lagipun saya ni hanya berbekalkan SPM dan SKM saja,
Saya dah cukup cuba dan berusaha yang terbaik tapi kalau dah tertulis rezeki saya begini saja buat masa sekarang nak buat bagaimana lagi.
Akan datang, tidak tahu. Disebabkan saya seorang saja lagi anak yang tiada tanggungan, saya jadi tertekan sangat untuk tidak gagal.
Saya lupakan untuk bersuka ria dengan kawan-kawan sampai kawan-kawan asrama saya pun dah lupakan saya sebab saya tidak membalas pesanan ringkas mereka kerana sibuk berkerja dan emosi selalu tidak stabil.
Tapi bila saya sudah senang sikit layanan keluarga saya berubah walaupun sedikit saja tidak ketara, itu pun dah cukup. Disebabkan itu saya takut sangat ingin tukar kerja sebab saya takut kerja yang akan datang akan menggagalkan langkah saya untuk lebih maju.
Walaupun kita kena percaya dengan rezeki dari Allah SWT dan tawakkal, tapi saya tetap mengambil langkah berhati-hati dalam membuat keputusan. Apa pun yang terjadi, tekanan apa pun yang saya dapat dalam bekerja saya telan saja.
Walaupun kadang-kadang rasa dah macam tak mampu sangat dan ingin lari dari semua, saya pujuk hati sendiri untuk bertahan juga, tapi saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan dan sampai bila hati saya boleh dipujuk.
Saya takut akan dapat layanan dan umpatan yang buruk dari keluarga sendiri lagi kerana saya sudah rasa sebelum ni. Ya, memang sakit.
Ibubapa dan abang-abang saya pernah berpesan, jangan kahwin awal sebab saya seorang je belum berkahwin dan berkerja untuk bagi kesenangan keluarga.
Umpama saya yang kena berkorban walaupun saya hanya anak perempuan, jujur dari sudut hati saya redha dan doakan ia redha yang berpanjangan dan ikhlas seikhlas-ikhlasnya.
Tapi mengenai jangan kahwin awal itu tak ada masalah untuk saya memang saya tak ada keinginan untuk kearah itu lagi buat masa sekarang dengan keadaan keluarga saya macam ini, biar lah saya bekerja untuk bagi apa yang kudrat saya mampu dan selagi masih ada tenaga muda.
Walaupun didalam adik beradik saya yang paling ada rupa dan cantik (ibubapa dan orang keliling yang cakap bukan saya yang perasan hehe),
Saya tetap untuk memilih tidak seperti remaja lain yang memulakan hubungan percintaan diusia muda walaupun ramai yang cuba mendekati saya termasuk orang atasan saya.
Kalau saya jenis yang melayan, lebih dari itu saya boleh dapat kerana orang dikeliling saya semua yang muda berkerjaya tapi bukan itu yang saya nak.
Ibubapa saya pernah berpesan cari pasangan yang hidup senang walaupun kalau diizinkan dan dianugerahkan jodoh seperti itu saya dan semua orang diluar sana mahu,
Tapi risau tidak sekufu dan tidak masuk dengan gaya kehidupan keluarga saya yang kekampungan dan susah, yang mungkin akhirnya akan menjadi isu dan punca perbalahan.
Biar lah dengan yang pernah hidup susah, bukan memang dah hidup senang dari azali, supaya andai ujian Allah SWT melanda, tidak ada rasa janggal untuk hidup susah dan bangkit kembali untuk membina kehidupan yang senang dan berkat.
Tapi bagi saya, cukup lah berjodoh dengan orang yang berusaha untuk sama-sama kejalan Allah SWT dan penyabar dalam usaha mengubah kehidupan. Tapi biar lah saya simpan itu semua sehingga saya betul- betul yakin dengan dimana arah nasib keluarga saya.
Lilalhi Ta ‘ala, saya hanya memikirkan keluarga saya dari diri saya sendiri.
Keluarga saya baik, mungkin saya yang tidak tahu bersyukur dengan layanan mereka. saya hanya ingin meluah supaya hilang beban dihati, harap saya juga tidak bosan untuk meminta dan meluah segalanya kepada Sang Pencipta.
Terima kasih kerana sudi membaca coretan dan luahan dari seorang perempuan yang tidak kuat fizikal dan mentalnya.
Walaupun saya tidak dapat capai impian saya untuk kemenara gading, izinkan saya untuk berjaya mencapai impian untuk membahagiakan kedua ibubapa dan keluarga saya, serta berjaya dunia dan akhirat.
Apa yang saya minta dan mohon dari anda yang sudi membaca adalah doakan saya dimurahkan rezeki yang mengalir yang tidak ada noktahnya dan dapat membawa keluarga saya keluar dari lembah kemiskinan.
Bukanku ingin kaya sekaya-kayanya tapi cukuplah kehidupan yang selesa dan mencukupi, kasih sayang yang mekar antara keluarga.
Itu lebih dari cukup. Kebahagiaan saya hanya dapat dikecapi apabila keluarga saya bahagia, berikan lah kebahagiaan kepada kedua ibubapaku serta seluruh keluargaku kebahagiaan yang berkekalan, hanya disitu dapatku rasakan bagaimana rasanya bahagia, kerana aku juga ingin bahagia.
Bismillahirrahmanirrahim,
“Ya Allah, bukakanlah untukku pintu-pintu kebaikan, pintu-pintu keselamatan, pintu-pintu kesihatan, pintu-pintu nikmat, pintu-pintu keberkatan, pintu-pintu kekuatan, pintu-pintu cinta sejati, pintu-pintu kasih sayang, pintu-pintu-pintu rezeki, pintu-pintu ilmu, pintu-pintu keampuanan dan pintu-pintu syurga. Wahai Tuhan yang maha pengasih lagi maha menyayang”.
“Ya Tuhan ku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, Ya Tuhan kami, perkenankan lah doaku. Ya Tuhan kami, ampunkan lah aku dan kedua ibubapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisap (Hari Kiamat)”
Aamiin Ya Rabbal Alamin.
Salam cinta dari ,
– Ainan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit