Cukuplah Allah Bagiku

Assalamualaikum. Apa yang ingin saya kongsikan ini semoga menjadi sempadan dan ingatan bersama. Saya sudah mendirikan rumahtangga hampir 10 tahun. Kehidupan saya serba cukup daripada semua segi. Dan kerana itu saya menjadi kufur nikmat.

Allah itu Maha Penyayang dan pengasih. Saat saya makin jauh dari Nya Allah datangkan teguran dengan kecurangan suami. Kami sama-sama bekerja. Kami sama-sama jauh dari Allah kerana melalaikan solat.

Seperti yang saya sebut tadi, kerana saya lupa dan tidak mensyukuri nikmat yang Allah pinjamkan, saya ada sakitkan hati suami. Akhirnya suami ada skandal dengan isteri orang di tempat dia bekerja.

Mulanya perbuatan mereka tidak langsung dapat saya hidu. Tetapi mungkin dalam saya lalai, saya masih solat dan sentiasa memohon semoga Allah jaga kami sekeluarga. Maka Allah buka mata saya dan dapat tahu perbuatan mereka berdua.

Suami mengaku setelah saya tunjuk gambar dia bersama perempuan tersebut. Dan pada ketika itu dia berjanji akan cuba melupakan perempuan tersebut dan meminta maaf dengan saya atas apa yang terjadi.

Rupa-rupanya itulah episod drama yang akhir nya hari ini mendekatkan saya pada Allah yang Maha Kuasa.

Berbulan-bulan suami dalam diam masih menjalinkan hubungan dengan perempuan tersebut. Dan yang amat melukakan hati saya, perempuan itu tahu saya maklum dengan hubungan terkutuk mereka, tetapi tetap menjalinkan hubungan dengan suami saya.

Berbulan-bulan saya hadap sendiri kecurangan mereka kerana saya tidak mahu ibubapa yang uzur di kampung tahu dan risau. Saya juga tidak mahu ibu mertua saya sedih. Saat iblis bersorak dengan hubungan terkutuk mereka, saya mula mendekatkan diri pada Allah.

Hinggalah akhirnya saya dapat menghubungi nombor telefon suami Perempuan tersebut. Dan yang paling menyedihkan saat itu suami perempuan tersebut salahkan saya kerana tidak pandai menjaga suami sehingga menyebabkan suami saya mengganggu isterinya.

Sedangkan hakikatnya isteri nya lah yang merayu-rayu suami saya untuk kembali bersama tiap kali suami saya cuba memutuskan hubungan sulit mereka. Bagaimana saya boleh tahu semuanya? Kerana Allah itu Maha Berkuasa. Setiap ujian yang datang, hanya dengan izin Nya.

Saya tidak perlu mencari tetapi setiap kali juga Allah tunjuk depan mata saya WhatsApp, Fb messenger, ig messenger. Semua saya dapat baca dengan kelalaian suami. Allah sahaja yang tahu luluhnya hati saat membaca drama dan kata-kata tidak sedar diri mereka.

Anak-anak saya lah penguat saya sepanjang tempoh kecurangan suami. Allah uji kami apabila saat suami dan perempuan tersebut sedang hanyut dengan dosa, saya mengandung kan anak saya yang bongsu.

Dan betapa Allah itu pengasih, sepanjang mengandung Allah jaga saya dan kandungan. Tiada alahan dan masalah.

Malah hampir dua kali saya cuba membunuh diri kerana perempuan itu dengan bangga nya tidak mahu meninggal kan suami saya. Ya sungguh saya sangat berdosa saat itu kerana hampir membunuh diri.

Tetapi pegang dalam hati, dunia ini cuma pinjaman. Akhirat lah tujuan kita. Dari September 2019 hingga Januari 2021 dalam diam suami dan perempuan tersebut masih berhubung. Cumanya hubungan mereka bagai retak menanti belah.

Bermula saat saya melahirkan anak saya, Allah makbulkan doa saya sedikit demi sedikit. Semasa saya bersalin, kerana saat itu pandemik Covid sedang memuncak, suami tidak dibenarkn menemani saya di labor room.

Tetapi rupanya saat itu perempuan tersebut melarang suami saya menemani saya bersalin dan menemani saya selepas saya melahirkan.

Namun siapa kita untuk melawan hukum Allah. Mungkin kelemahan saya, saya terlalu cepat memaafkan.

Setiap kali bila saya jumpa bukti baru, suami akan minta maaf dan berjanji akan berubah. Sehingga suami sanggup berhenti kerja kerana cuba mengelak daripada perempuan tersebut.

Pertengahan Oktober lalu, sekali lagi Allah tunjuk depan mata saya, Maha Suci Allah semua yang berlaku hanya dengan izinnya. Kantoi suami rupanya ada berbalas WhatsApp dengan perempuan tersebut.

Perempuan tersebut marah dan menyalahkan saya kerana suami berubah dan memungkiri janji antara mereka. Dia memaki suami dan saya kerana tindakan saya WhatsApp dia dan menghantar screenshot perbuatan nya merayu suami, dan gambar-gambar kecurangan mereka.

Bila saya tunjuk semua bukti yang suami masih berhubung dengan perempuan tersebut, sedangkan selama ini suami bersumpah sudah berubah mungkin telah akhirnya dengan izin Allah telah membuatnya sedar dan malu atas kesilapan nya.

Saya sudah tidak menangis seperti sebelumnya. Malah saya bersyukur Allah makbulkan doa saya selama ini.

Perempuan tersebut memaki dan menghina saya dengan macam-macam perkataan,

Tetapi saya hanya cakap sekiranya dia masih tidak mahu bertaubat, saya akan hantar semua screenshot dan gambar kecurangan nya kepada anak sulungnya yang sudah berumur 16 tahun (sudah tentu saya tidak akan buat sebab saya masih ada iman).

Dan malam ini sekali lagi Allah tunjuk pada saya rupa-rupanya selama ini perempuan itu pernah ditegur oleh rakan sekerja tentang hubungan terlarang nya bersama suami saya. Tetapi dek seronok dengan dosa, suami dicurangi dan nasihat rakan-rakan ditolak ke tepi.

Benarlah hidayah itu milik Allah.

Saat ini saya dan suami masih bersama. Semoga Allah terima taubat saya dan memberikan hidayah buat suami agar menjadi hambaNya yang taat dan soleh.

Saya doakan perempuan tersebut sempat bertaubat sebelum terlambat dan berhenti menyalahkan saya atas apa yang berlaku. Bahagia itu biar seiring dengan redha Allah. Bukan menghancurkan rumahtangga orang lain.

Buat suami di luar sana, seburuk mana isteri anda, didik lah dia menjadi isteri solehah dan bukannya membuka aib isteri hanya untuk mencari kasih perempuan lain yang dilarang oleh Allah.

Buat perempuan yang bergelar isteri, jangan sesekali curang dengan suami walaupun ada lelaki yang datang dengan 1000 janji.

Semoga apa yang saya kongsikan menjadi pengajaran kita semua. Dunia hanya ujian buat kita. Doakan saya sentiasa dalam redha Allah.

Assalamualaikum.

– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *