Cukuplah W4nita Dibuli

Assalammualaikum semua. Aku wanita. Aku tak minta dilahirkan sebagai wanita. Tiada satu pun makhluk yang boleh pilih jantina.

Aku percaya Tuhan. Aku percaya Tuhan menyayangi hambaNya. Aku percaya Tuhan tidak zalim.

Sedikit pengenalan. Aku dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan agama.

Aku bersekolah di sekolah agama. Aku bukan pelajar yang lemah. Aku faham apa yang aku belajar. Aku menjadi pelajar yang cemerlang baik dalam agama mahupun sains dan akademik.

Tetapi apabila kau seorang perempuan. Apa sahaja daripada kau adalah salah. Walau kau belajar tinggi mana sekalipun kau tetap adalah salah dan bodoh selama-lamanya.

Jangan ingat suasana hidup dalam beragama ini indah.

Mak aku adalah ibu tunggal apabila arwah ayah aku meninggal. Mak aku seumur hidupnya dulu aku melihat sebagai seorang yang kasihan.

Tidak diberi kesempatan menyambung pelajaran walaupun pandai. Taat dan patuh pada arwah ayah. Menghidang makan suami seperti raja.

Sudahlah sebelum berkahwin, berkhidmat bagai orang gaji di rumah sendiri. Sudah berkahwin, berkhidmat pula untuk suami.

Aku tak nampak karakter mak aku sebagai isteri. Aku nampak mak ibarat robot tidak berperasaan. Aku sangat jarang melihat mak senyum.

Aku tahu mak banyak memendam perasaan.

Apabila arwah ayah meninggal, sampai sekarang mak tak ingin berkahwin lagi. Sudah 30 tahun. Kata mak, tidak mudah menjadi isteri, mak tak sanggup dah dan mak sudah merasa semuanya.

Tidak sikitpun mak buka apa-apa aib kehidupan suami isteri. Namun aku kini sebagai isteri, aku memahami apa yang mak ungkapkan.

Berbalik pada keluargaku. Mak aku masih melayan anak-anak lelakinya seperti raja. Kami yang perempuan disuruh melayan abang dan adik lelaki seperti raja.

Kata adik beradik lelakiku, perempuan banyak di neraka. Dalam apa sahaja isu yang di bincangkan, semuanya salah perempuan.

Tak ada yang pelik dan hairan. Kerana itulah yang mereka dimomokkan oleh sekolah tempat mereka belajar. Perempuan harus begitu begini.

Bukan sahaja oleh ustaz/ustazah mungkin, tetapi juga sesama rakan sebaya.

Bayangkan seumur 13 tahun sudah berani menerakakan perempuan. Bergelak ketawa meremehkan perempuan.

Perempuan dilihat seperti objek. Dan bukan sebagai manusia yang merdeka.

Walaupun ternyata aku pandai dari segi pelajaran, mak aku masih melihat apa saja anak-anak lelaki nya berkata itu benar. Apa saja keluar dari mulut seorang perempuan adalah salah.

Mak aku sendiri tak mempercayai anak perempuan. Sedangkan aku hanya menyampaikan apa yang aku belajar di sekolah.

Apa faedahnya kami perempuan diberi pelajaran, tetapi kami tak dibenarkan menyampaikan perkara yang benar.

Aku tahu, mak tak tahu kerana mak sudah lama berhenti belajar. Sampailah di umur tua, mak mula belajar agama, mak sendiri belajar bahasa arab, mak belajar Al-Quran.

Seperti aku katakan mak aku adalah pintar orangnya. Keupayaan mak berbanding rakan seusianya yang lain tampak berbeza.

Mak mencari ilmu daripada pelbagai sumber. Pandangan mak menjadi lebih luas.

Awal belajar dahulu, mak juga menjadi ekstrem dan taksub. Ya apa sahaja golongan ustaz bercakap ini ibarat ada kuasa, dan ada pengikut.

Tetapi mak bukanlah jenis tak berfikir.

Lama kelamaan mak boleh melihat daripada sudut yang pelbagai.

Aku pun sudah lama tidak mahu terlibat dalam apa-apa perbincangan keluarga.

Alhamdulillah kini adik beradik lelaki ku tidak terlampau ekstrem. Mak kadangkala dilihat menasihati mereka.

Suasana ini bukan dalam keluarga ku sahaja ya. Aku bergiat aktif dalam persatuan islam. Baik di sekolah dan universiti.

Wanita ibarat tidak dibenarkan memberi pandangan atau bercakap. Jangan ingat tiada budaya membuli dalam agama. Wanita yang bersuara akan diremehkan oleh orang lelaki.

Orang lelaki yang biasanya suka dan pandai bercakap, ibarat dominan dan menjadi suara majoriti.

Kebanyakan lelaki walaupun mereka tidak bersetuju apa yang dicakap oleh rakan mereka, mereka diam. Akibatnya yang suka bercakap, walaupun ternyata salah, seolah-olah menjadi betul.

Nak harapkan perempuan bersuara, maaf aku katakan perempuan dalam bidang agama ini lemah. Takut dan tak mampu bersuara. Kalau bersuara, confirm la dicop dan tak dapat la jadi calon isteri solehah.

Lagi-lagi oleh pimpinan persatuan yang dilihat berkarisma walaupun cakap tak semestinya betul atau tak seperti bikin.

Belajar agama tapi pemikiran menjadi tumpul kerana tidak boleh berfikir. Hidup mereka ibarat hanya menerima dan menghafal sahaja.

Tetapi tiada proses.

Dalam agama, seringkali kita tidak dibenarkan bertanya. Padahal ia sangat berlawanan dgn ayat Quran yang mengasak kita untuk berfikir.

Aku tak suka suasana dalam beragama yang begini.

Aku juga menetapkan untuk tidak berkahwin kerana aku merasakan wanita sentiasa malang, masih ada banyak pintu lain ke syurga. Aku bimbang aku tak boleh taat pd suami andai berkahwin.

Dan sekiranya ada jodoh sekalipun, aku tak mahu calon suami yang berada di bidang agama.

Aku pernah di approach oleh bukan seorang, tak perlu aku nyatakan jumlah lelaki yang approach.

Aku bukan sombong. Tetapi aku tak berkenan. Mesej wanita tengah-tengah malam, mengingatkan supaya tahajud. Hantar tazkirah dan quote islamik.

yang ajak couple islamik bukan sikit. Nak nikah gantung pun ada. Bila aku menolak dgn baik, ugut-ugut aku dgn dosa. Tak jadi suami pun boleh ugut, apa lagi kalau dah kahwin nanti.

Kisah jodohku. Aku yang pilih dan approach suami, aku cuma menghantar signal kewujudan aku di dunia ini kepada dia. Aku berdoa pada Tuhan. Itu sahajalah usaha aku, aku kira.

Selang beberapa tahun, suamiku menghantar niat untuk berkahwin dgn ku. Kami langsung tak pernah berjumpa, atau berdating. Kali pertama bertentang mata selepas nikah.

Kata suami, dia memilih untuk berkahwin dgn ku kerana dia tidak pernah jumpa wanita seberani aku. Dia menanti masa yang sesuai untuk berkahwin. Dan bila dia dah bersedia untuk berkahwin, nama aku yang muncul di ingatan.

Dia bukan dari bidang agama. Tetapi dia beragama. Dan ada basic agama. Dia juga pandai.

Dia tak malu menerima pandangan aku, kerana dia pun bijak, dia tahu apa betul dan salah. Dia takkan menyanggah kerana dia juga berpendapat sama seperti ku.

Dan jika dia tak bersetuju, aku juga menerima pandangan nya kerana aku salah.

Begitulah. Bukannya apa saja kau cakap kau adalah betul, sebab jantina kau lelaki, atau jantina kau perempuan.

Kami saling menghormati satu sama lain. Saling bekerjasama. Saling melengkapi satu sama lain. Jika kau bersikap rendah diri dan bukan bersikap raja, masih tetap kau sebagai lelaki dihormati oleh isteri.

Untuk anak-anak, aku mahu mereka tetap belajar agama di bangku sekolah. Walaupun aku tak suka suasana itu.

Cari lah ilmu agama. Jangan jadi pengikut yang tak tahu arah. Jangan jadi manusia yang tak tahu betul atau salah.

yang anak perempuan, aku tak mahu mereka dibuli suami hanya sebab jantina. Aku mahu mereka tahu hak mereka. Belajarlah, cari ilmu.

Jangan takut untuk menyanggah dan berfikir.

Aku harapkan rumahtangga mereka nanti dalam kerukunan dan harmoni. Boleh gembira berketawa bersama-sama.

Cukuplah wanita dibuli.

– Zara (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *