Culas Nafkah

Kami telah berkahwin selama tempoh 23 tahun. Sepanjang perkahwinan, saya telah membantu suami dalam perniagaannya dan juga bekerja.

Namun, setelah beberapa lama, dia meminta saya bekerja untuk membantunya. Saya akur.

Pada mulanya, suami memegang kad bank, wang gaji dan mengendalikan segala urusan keluarga. Hanya sesekali dia memberi wang terhadap saya.

Dalam kata singkatnya, saya jarang berpeluang merasa duit gaji sendiri untuk membeli keperluan saya. Jika ada pun, hanya sesekali.

Saya tak ambil kisah sangat tentang perkara tersebut.

Namun, lama-kelamaan setelah gaji saya bertambah dan perniagaannya ditutup, dia akhirnya mengharapkan wang perbelanjaan keluarga daripada saya sahaja.

Saya serahkan hampir 60% gaji untuk tujuan dia membayar utiliti.

Saya pula dipertanggungjawabkan menanggung perbelanjaan makanan, duit belanja sekolah anak, dan pelbagai lagi tuntutan yang dibuatnya.

Malangnya, dia kerap juga meminta wang dari saya untuk tujuan mengisi minyak kereta dan lain-lain lagi.

Saya menjadi rimas. Saya mula jadi tidak redha dan ikhlas. Saya rasa teraniaya.

Untuk makluman, dia merupakan seorang yang panas baran dan mempunyai ego yang sangat tinggi.

Saya tahu yang dia sedar tentang kewajipannya memberi nafkah. Namun, dia seolah-olah tidak mahu memahaminya.

Saya sedih apabila melihat adik beradik dan rakan-rakan yang mempunyai pasangan yang bertanggungjawab dalam memberi nafkah dan meraikan isteri mereka.

Saya benar-benar rasa tidak dihargai. Saya merasakan yang dia hanya menggunakan saya bagi tujuan mendapat wang dan menyara hidupnya.

Dia tidak menyayangi saya pun. Saya pula terpaksa bertahan demi kebaikan anak-anak. Sedangkan diri menjeruk rasa.

Sejak perniagaannya tutup, dia hanya mengharapkan duit gaji saya yang tidak seberapa.

Adiknya memanggilnya bekerja namun, katanya dia tak mengharapkan gaji semata dan menolak pemberian adiknya atas sebab adiknya kerap membantunya dari sudut kewangan sejak dari dahulu.

Dia lebih kasihankan adiknya daripada saya.

Saya sendiri tak tahu adakah dia sedar akan kewajipannya sebagai ketua keluarga. Antara kasihankan adiknya dan tuntutan nafkah kepada keluarga. Yang mana satukah yang wajib?

Sekiranya, duit perbelanjaan saya tidak mencukupi untuk bulan tersebut dan saya meminta daripadanya, dia terus akan naik angin. Seolah-olah duit gaji tersebut adalah hak mutlaknya.

Saya rasa sangat kesal dengan golongan suami yang culas begini.

Kadang-kadang saya rasa sangat menyesal mengenalinya. Dia seolah-olah beban dalam hidup saya. Sudahlah tidak memberi saya duit, malah duit gaji saya juga yang diharapkannya.

Saya tak pasti sampai bila lagi boleh bertahan. Dia seolah-olah membuli saya.

Oleh yang demikian, saya kerap berpesan kepada sesiapa sahaja kenalan atau saudara yang belum berkahwin supaya tidak tersilap memilih pasangan hidup,

Yang mana ianya akan memberi kesan yang sangat hebat dalam kehidupan berkahwin.

Sekian, terima kasih.

– Nuri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *