Curang Bermula Dengan Simpati

Hye korang, aku tulis benda ni sambil-sambil tunggu orang bateriku datang nak tukar bateri kereta. Kong pulak time dah petang macam ni. Dan sebab tu aku terpanggil nak menulis benda ni kat sini.

Aku berstatus janda. Tahun lepas bercerai dengan suami disebabkan orang ketiga. Officemate bekas suami. Muda lagi budaknya, umur lebih kurang 27 tahun. Beza 7 tahun daripada bekas suami.

Suami aku (ketika itu) sepanjang perkahwinan kami memang baik. Tanggungjawab Alhamdulillah sentiasa dipenuhi mengikut kemampuan. Duit nafkah dia tak pernah pun bagi tapi kami berdua faham, suami memang tanggung makan, sewa dan bil.

Cuma kereta yang kami kongsi guna (kami cuma ada satu kereta sahaja) aku bayar kerana kereta tu memang aku beli sejak sebelum kahwin. Pakaian atau barang keperluan aku pun aku beli sendiri saja, suami akan belikan baju raya setahun sekali.

Tapi hal-hal tersebut tak pernah jadi isu, sebab aku pun bekerja dan ada pendapatan sendiri. Barang keperluan anak pula kami bergilir-gilir beli. Aku tak sampai hati biarkan suami tanggung sendiri sebab waktu anak kecil, pampers, susu dan barang-barang harian anak boleh cecah RM400 sekali belanja.

Nak dijadikan cerita, setelah 6 tahun perkahwinan, suami aku curang. Macam yang aku cerita kat atas, kekasihnya ketika itu adalah officemate sendiri. Muda, manja, sumandak gitu hahaha. Waktu aku mula tahu tu, memang aku siasat sana-sini.

Macam-macam nama naik untuk disyaki, semua kawan office perempuan dia aku syak, haha sebijik macam drama korea. Tapi N (skandal) ni yang paling aku tak sangka sebab suami memang tak save no dia dan tak pernah ada history chat dengan dia.

Tapi itulah, tuhan tu nak tunjuk. Akhirnya bukti keluar satu persatu dan suami memang tak boleh nak sangkal lagi. Rupanya awal mereka rapat kerana N takut drive malam. Mereka ni bekerja di jabatan kerajaan (beruniform) macam gerak-gerak gerak khas tu tapi lainnnn sikit :) dan waktu bekerja shift.

Jadi suami pula gentleman offer untuk hantar dan ambil N pergi balik kerja. Aku tak tau lah macam mana depa arrange shift depa bagi sama. Tapi itulah yang terjadi. Sejak tu memang rapatlah, awalnya niat nak tolong dah jadi lain.

Kereta rosak bawakkan ke bengkel, kereta nak tinted, bawakkan ke kedai eksesori, baju kotor, bawakkan ke dobi, haih macam-macam lah, alasan suami cuma nak tolong. Alasan si N pula sebab dia di semenanjung ni tak ada siapa-siapa.

Bila benda ni semua dah terbongkar, aku pun tanya suami betul-betul. Udah, memang suami dah jatuh cinta. Yang si N ni pulak dua tiga kali janji nak undurkan diri tapi asyik kantoi masih berhubung.

Benda ni berlarutan sampai setahun lebih. Dan sebab tak tahan aku jelah yang undurkan diri. Senang, sambung jela cinta romeo juliet kome tu.

Jadi berbalik kepada kereta aku rosak tu, aku cuma nak pesan pada adik-adik, kakak-kakak, orang perempuan. Kereta rosak sebenarnya tak susah pun. Google je bengkel terdekat. Tengok review kat facebook, kat Ig, kat X.

Kalau memang review ok, try contact. Bincang dengan foreman elok-elok. Bukan bincang dengan officemate yang status dia suami orang.

Kalau rasa takut drive malam, cuba tanya officemate perempuan lain, try carpool, takpun grab, takpun try bincang dengan HR untuk tukar shift sambil-sambil tu berlatih la drive malam sebab kau yang pilih kerja tu, itu benda yang kau kena buat nak taknak. Bukannya minta laki orang ambil hantar kau.

Jadi, apa yang aku tulis ni sekadar nak memberi pengajaran pada diri sendiri dan pada orang lain. Jangan cuba-cuba tarik perhatian suami atau isteri orang lain dengan cara mencari simpati. Cubalah berdikari sedaya upaya.

Dalam hidup ni banyak gila pilihan, tambah-tambah zaman internet hujung jari ni. Janganlah harapkan orang sangat. Kecualilah memang ada suami, sebab aku dulu pun masa kahwin tak pernah aku fikir pasal milleage kereta, tapi sekarang dah tak ada suami aku buat jela semua sendiri.

Janganlah tunjuk lemah terutama pada suami orang. Curang tu boleh wujud dengan asalnya simpati. Bila pasangan curang, rumahtangga pecah belah, bukan kesian pada pasangan yang ditinggalkan je, kesian pada anak-anak, pada mak ayah.. haiihhh tak tahulah nak kata.

Itu jelah nak tulis, abang bateriku pun dah sampai dah ni. Semoga apa yang aku tulis ni walaupun macam entah hape tetaplah memberi pengajaran.

Sekian…

– Fayen (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *