Pernah dengar frasa; orang-orang jahat adalah orang-orang baik yang tersakiti? Mungkin ada benarnya apa yang dimaksudkan oleh frasa ini.
Kebaikan yang disalahguna, akhirnya membawa kepada pemendaman emosi yang berat. Ia tidak terluah dengan kata-kata, tapi mampu membunuh tanpa darah.
Pernah dengar perkataan “toksik”? Ya; toksik. Selain bahan kimia yang berbahaya, manusia juga boleh menjadi toksik yang paling membinasakan.
Orang-orang baik dan perbuatan baik yang selalu disalahguna, dijadikan kuli, dipukul emosi mereka hingga remuk hancur tergantung tak bertali. Mati. Perlahan-lahan mati.
Di rumah, di tempat kerja, di sekolah, di alam maya atau di mana-mana, toksik itu ada.
Orang-orang baik yang selama ini dilayan dengan sangat kejam, diherdik, dimaki, dijadikan hamba abdi, dibuli, dihina, difitnah, diusir, dibuang, ditendang dan macam-macam lagi kejahatan yang ditimpakan ke atas mereka.
Lama-kelamaan, emosi yang baik akan bertukar menjadi kemurungan yang berpanjangan, perasaan dendam, perasaan marah, trauma dan ingatan peristiwa hitam yang membunuh kewarasan. Perlahan-lahan kebaikan tadi sirna diganti dengan kemarahan dan dendam kejahatan.
Orang-orang baik yang selama ini diam; memendam segala kesakitan yang menimpa diri berkali-kali, diam yang berpanjangan. Tidak mampu meluahkan rasa, tidak kuat menceritakan sebab.
Akhirnya jiwa mereka menjadi sakit, fikiran menjadi berat dan otak tidak lagi mampu bertahan untuk tetap waras. Akhirnya berakhir kepada kecelaruan emosi; kecelaruan mental dan… depresi.
Ya; depresi mampu membunuh kewarasan diri. Orang-orang depresi yang bertindak keterlaluan itu, mungkin cuba mempertahankan dirinya dari kisah silam yang menyakitkan. Mungkin sewaktu dia sihat, dia sering kali berhadapan dengan peristiwa hitam termasuklah :
1. Lahir dalam keluarga toksik.
2. Dibuli di tempat kerja (kerja lebih masa).
3. Dibuli di sekolah, asrama atau kolej.
4. Pernah dicabul atau menjadi mangsa rogol.
5. Difitnah sehingga buruk nama.
6. Dibenci oleh darah daging sendiri.
7. Diperas ugut macam-macam.
8. Dipukul dan didera.
9. Rumahtangga berantakan.
Serta macam-macam lagi peristiwa hitam yang menghancurlenyapkan kebahagiaan dalam jiwa mereka. Pendam dan terus memendam demi menjaga keaiban diri, akhirnya mematikan kewarasan diri sendiri.
Orang depresi ini, emosi dan mental mereka tidak sihat. Mereka sakit. Mereka perlukan sokongan moral dari orang sekeliling agar pemikiran mereka terhadap peristiwa hitam yang pernah dilalui itu perlahan-lahan berkurang,
Dan menjadikan mereka lebih yakin dan berani untuk berhadapan dengan orang luar tanpa perlu berasa terancam, takut dan akhirnya bertindak kejam.
Sukar untuk dijelaskan. Tapi itulah kenyataan. Apa yang berlaku hari ini, jika menyakitkan pasti akan membekas dalam, bertahun-tahun lamanya. Obor kebencian akan terus menyala selagi api dendam belum terpadam.
Kebaikan tidak wajar dibalas dengan kejahatan. Kerana kejahatan belum mampu dibalas dengan kejahatan melainkan sakit yang berulang-ulang.
Orang depresi; bukan gila, tapi sakit.
– Mysoul (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit