Daddy II: Pergi Dengan Tenang

Untuk part I, (https://iiumc.com/daddy-bertarung-nyawa/).

Hai aku Rosé. Untuk pengetahuan korang semua, daddy aku dah kembali kerahmatullah. Daddy bukan sekadar ada masalah buah pinggang, daddy jugak ada masalah jantung yang lambat dikesan.

ADIK

Alhamdulillah daddy pergi dengan tenang pada pukul 3.06 pagi, daddy pergi dengan aku, adik dan mama disisi.

Adik aku sangat kuat, tatkala kami semua menangis adik hanya diamkan diri. Adik banyak membantu uruskan jenazah daddy.

Masa tunggu orang dari masjid datang adik baring sebelah jenazah daddy. Bila dah siap semua urusan, adik masuk bilik bagitahu nak tidur sebab adik sudah satu hari tak tidur tolong apa-apa yang patut.

Tapi sikitpun aku tak nampak air mata adik jatuh. Rupanya adik kat bilik menangis seorang diri.

MAMA

Mase daddy sudah dipenghujung nafas, mama tak henti bacakan yaasin untuk daddy sambil mengusap dahi daddy. Keadaan mama sangat tidak terurus, mata mata mama lebam dan merah.

Mama tak henti cakap, “b halalkan laa makan minum sayang dan anak-anak, ampunkan dosa sayang kat b”.

Walaupun daddy sudah tak boleh berkata, tapi tangan daddy mengenggam erat tangan mama.

Bila daddy sudah tidak bernyawa, mama meraung memanggil daddy dengan panggilan istimewa mama dengan daddy. Adik segera memeluk mama waktu itu.

AKU

Seminggu sebelum daddy pergi tinggalkan kami aku sedikit tidak tentu arah kerana aku banyak salah dengan daddy dari aku kecil sampai aku dewasa.

Waktu aku kecil aku selalu memerli daddy, depan daddy sendiri aku bandingkan daddy dengan ayah kandung aku.

Tapi daddy tetap tersenyum dan melawak seperti selalu.

Pernah waktu aku belajar di universiti daddy tegur aku sebab aku ada kenal dengan seorang lelaki, aku jawab, “daddy tak payah nak tegur kakak la, ayah pun tak tegur kakak”.

Dalam hati aku mase tu cakap “kau tu bapak tiri je, tak payah nk acah-acah sangat”. Reaksi daddy seperti biase, senyum.

Tapi lepas tu adik mesti muncul menegur aku. Yang aku hairan mama tak pernah menegur aku bila aku bersikap sedemikian dengan daddy.

3 hari sebelum daddy pergi, giliran aku menemani daddy kat hospital. Daddy nampak ceria seperti tak sakit. Kami melawak sama-sama terkenang cerita dulu, waktu aku kecil dulu.

Bila dah habis cerita, daddy letakkan tangan diatas bahuku, daddy cakap,

“Kakaklah orang pertama yang buat daddy ni rase macam daddy ni seorang bapa, kakak banyak mengajar daddy untuk jadi bapa yang baik walaupun kadang-kadang daddy buat salah juga.

Nanti kalau daddy dah takde, kakak tengokkan mama ya, kakak lagi rapat dengan mama, kakak tenangkanlah mama, janji jangan tinggal mama”.

Aku dah nak menangis masa tu, tiba-tiba daddy mencelah,

“Kalau mama nak kahwin lagi jangan bagi tau, hahaha, takde laa kak, daddy tak kisah dah urusan kat dunia ni bila daddy dah tak ada nanti, yang kakak kena tahu hidup daddy bahagia, daddy bangga dengan kakak dan adik”.

Terus bercucuran air mata aku sambil pegang tangan daddy.

Selepas daddy pergi, hampir setiap malam aku lihat mama menangis. Adik dah jadi macam daddy selalu hiburkan kami, buat lawak macam daddy pernah buat.

Selalu buatkan kopi untuk mama. Teringat waktu daddy ada, kalau mama bermasam muka daddy mesti buatkan air kopi kesukaan mama dan daddy cakap, “sayang, jom ngopi dulu sayang “. Kesudahannya berjam mama dan daddy bersembang.

Mama ada bagitahu aku, mama banyak salah dengan daddy, mama risau daddy tak maafkan mama. Dari sini aku rasa macam ada sesuatu yang aku tak tahu pasal daddy dengan mama.

Aku akui kalau dari segi kekerasan, mama tersangatlah keras, menjerit pada daddy pun pernah.

Pernah juga mama minta cerai dengan daddy dulu. Mama bagitahu aku, “Dari kakak dengan adik kecil sampai laa daddy dah tak ada, adik dan kakak tak pernah tengok daddy marah yang amat, tinggikan suara kan?

Daddy ni pada asalnya bukan orang macam tu kak, daddy jadi macam tu sejak kenal kakak, daddy janji dengan mama tak akan marah, tinggi suara depan anak”. Aku sedikit terkejut kerana aku tak pernah tahu pasal ni.

Mama sambung lagi “daddy ni kak, kalau kat luar dia lain, daddy jenis cepat marah dan cepat sejuk jugak. Kalau ada yang tak kena kat luar daddy terus bersuara. Kakak dah lupa ke masa adik kena buli dulu ?”.

Aku terus teringat waktu adik dibuli sewaktu adik berumur 13 tahun. Daddy memang tak cakap banyak, tahu-tahu daddy tak ada kerumah.

Mama cakap daddy pergi rumah budak yang buli adik.

Mama juga ada bagitahu aku, yang waktu kanak-kanak daddy tak seindah diri daddy pada anak-anak.

Daddy seorang pemuda tertekan, tapi daddy berubah bila daddy kahwin dengan mama. Aku terkejut sebab semua daddy cerita zaman kanak-kanak daddy penuh dengan gelak tawa.

Selepas daddy dah pergi, mama selalu lepak di balcony tempat mama dan daddy ngopi. Kadang-kadang mama tersenyum sendiri. Kadang-kadang berjurai air mata mama. Aku turut sedih lihat mama.

Kadang-kadang sebelum aku tidur, aku cakap seorang diri aku mengadu “Daddy harini mama menangis lagi, kalau daddy ada kat sini daddy peluklah mama”.

Hampir setiap malam sebelum tidur aku akan “bercakap” dengan daddy, mengadu pada daddy apa yang jadi kat rumah.

2 hari sebelum daddy pergi, kami bertiga ada disisi daddy. Daddy puji mama cakap mama cantik sangat, masih nampak muda. Daddy cakap daddy bahagia sangat dengan mama. Bergenang mata mama waktu itu.

Daddy bagitahu aku “Kakak pun cantik, muka macam macam mama”. Pastu adik pun menyampuk, “adik takde ke daddy ?” sambil adik gelak.

Daddy cakap adik pun macam mama jugak, air muka mama, kalau merajuk tu muka sebiji mama. Kami berempat ketawa dengan gelagat adik dengan daddy. Dan keesokan hari, daddy sudah tak sedarkan diri, daddy nazak.

P/s: Guys, doakan daddy tenang disana ye. Tolong doakan kami semua kuat ya. Doakan mama supaya mama kuat. Daddy tinggalkan semua dengan cukup cuma kami yang masih lagi mengumpul kekuatan.

Untuk daddy, moga daddy tenang disana, moga Allah luaskan kubur daddy, ampuni dosa daddy dan kurniakan daddy syurga.

Walaupun daddy tak boleh menjadi wali kakak, kakak sayang daddy melebihi segalanya, daddy lah pinjaman Allah paling bermakna untuk kakak. Ampunkan dosa kakak ye daddy.

– Rosé (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *