Assalamualaikum buat semua pembaca. Terbaca satu confession, https://iiumc.com/anak-yang-
lalu mengingatkan saya kepada arwah Emak yang juga telah pulang bertemu Pencipta yang Esa 5 tahun lalu.
Kebetulan secangkir kopi yang diminum tadi menyukarkan saya melelapkan mata, maka saya mengambil keputusan untuk menulis perihal yang sama seperti confessor tadi lalui.
Maaf jika tulisan sedikit panjang. Moga-moga bermanfaat.
Saya dibesarkan oleh Emak selepas kematian arwah Abah, ketika masih bersekolah rendah.
Berasal daripada keluarga yang susah pada masa itu, segala pekerjaan Emak lakukan demi membesarkan saya dan adik-beradik yang lain.
Dari berjual kuih di tepi jalan, mengambil upah membasuh pinggan di dewan makan, hinggalah menjadi tukang sapu, semuanya Emak buat asalkan memberi pendapatan buat menampung kehidupan.
Masa terus berlalu, saya dan adik-beradik yang lain menginjak dewasa. Abang dan kakak pun sudah berkahwin. Emak juga semakin dimamah usia.
Disebabkan kesihatan Emak yang tidak mengizinkan, saya berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk menjaga Emak.
Sering kali saya dengar orang tua-tua yang memberi nasihat kepada pasangan berkahwin pasti akan menyebut, “dah ada anak nanti, kau tahu lah macam mana.”
Saya yang masih belum berumahtangga apatah lagi mempunyai anak pada masa tersebut, kata-kata itu berlalu begitu sahaja. Sekadar singgah di pendengaran, seolah tak memakna apa.
Jadi, saya meneruskan kehidupan seperti biasa. Kondisi kesihatan Emak yang bed-ridden, memerlukan saya menguruskan Emak sepenuhnya.
Namun sebagai manusia biasa, kadang-kala landasan kesabaran saya tergelincir jua.
Melayan orang tua yang sakit, sama seperti melayan seorang anak kecil yang dahagakan perhatian.
Tidak mahu menjamah makanan, tidak mahu makan ubat-ubatan, terberak terkencing di saat pampers belum sempat dipakaikan, tidak mahu bercakap seharian, merupakan antara ujian yang perlu kita lalui tatkala menjaga ibu bapa yang sudah uzur.
Di saat inilah tangki emosi saya mulai kering. Maka, syaitan pun mula berbisik segala perkara yang tidak baik. Bukannya tak pernah saya tertinggikan suara kepada Emak. Bukannya tak pernah saya berputus harap.
“INGAT, SABAR!! Jangan dibiarkan godaan syaitan menghapuskan segala kebaikan yang telah aku lakukan. Tu Emak tu! Kan dah memang tanggungjawab aku sebagai anak.” Saya memujuk diri sendiri.
Jangan dibiar emosi menguasai, hingga terumbang-ambing keihlasan dalam diri! Mereka yang pernah melaluinya pasti akan faham apa yang saya cuba sampaikan.
Saya bersyukur kerana adik-beradik yang lain serta ipar duai tidak sesekali melupakan tanggungjawab terhadap Emak. Mereka akan bergilir-gilir pulang ke kampung untuk menjaga Emak.
Kata mereka, bagi adik berehat sementara mereka menguruskan Emak sepanjang kepulangan mereka ke kampung. Waktu inilah saya akan recharge tenaga dan tangki emosi yang hampir padam.
Saya percaya, kerana Emak benar-benar melaksanakan tanggungjawab dan amanahnya sebagai seorang Ibu sepanjang hidupnya, Allah rezekikan dia anak-anak yang menjadi.
Hubungan kami adik-beradik sangat rapat. Kami saling menghormati, saling memahami, dan saling melengkapi.
Mana ada hubungan yang sempurna, begitu juga dengan kami. Namun segala kekurangan ditolak tepi, kerana masih banyak kebaikan untuk kami sama-sama kongsi dan nikmati. Saya amat berterima kasih kepada Emak, atas nikmat kasih-sayang ini.
Jadi kepada sesiapa yang sedang melalui fasa ibu bapa terlantar sakit, tolonglah buat yang terbaik. Jenguk-jenguklah adik-beradik yang menguruskan orang tua kita. Sokongan moral anda sangat diperlukan.
Janganlah rasa kita dah kirim duit, maka tanggungjawab menjaga pun settle. Setiap daripada kita punya peranan sebagai anak, jadi laksanakan dengan baik sejajar dengan perintah Allah dan Rasulullah.
Janganlah rasa terbeban, sebab ini sebahagian daripada ujian yang Allah nak bagi, tanpa kita tahu apa hikmah yang bakal menanti.
Berbalik kepada pesanan orang tua-tua yang saya nyatakan tadi, dulu memang saya tak faham. Ya, kita takkan pernah faham bagaimana kasihnya seorang ibu, sehingga kita sendir yang menjadi ibu.
Sekarang, Allah izinkan saya bergelar seorang Ibu. Tak dapat saya nak cerita bagaimana sakitnya perasaan yang sedang saya lalui. Hingga ke saat ini, bibit-bibit penyesalan tetap berbekas di hati.
Kalau lah masa tu saya dah faham macam mana rasanya jadi Mak, mesti saya akan lebih menghargai keberadaan Emak di sisi. Mesti saya lebih tahu bagaimana selayaknya seorang Emak untuk disantuni.
Jasa dan pengorbanan seorang insan bergelar ibu memang takkan terbalas hatta dengan seisi dunia. Patutlah Syurga tu di bawah tapak kaki ibu.
Andai masa boleh diulang kembali, terlalu banyak yang saya nak perbaiki. Saya nak jaga Emak dengan lebih baik lagi. Saya nak peluk cium Emak hari-hari. Saya nak minta maaf dengan Emak setiap hari.
Saya nak borak-borak dengan Emak sepanjang hari. Dulu, buat. Tapi belum cukup. Ya Allah, rindunya pada arwah Emak.
Sebagai seorang anak yang dah pun melalui fasa kehilangan kedua ibu-bapa, saya sekadar ingatkan. Moga-moga jadi pedoman.
Hargailah setiap hela nafas yang Allah bagi kepada Mak Abah kita. Jadi anak yang baik, yang menyenangkan hati Mak Abah.
Jangan sampai kematian mereka menjadi sesalan. Masa tu, hanya nisan yang terlihat di pandangan. Jasad dan nyawa mereka tidak akan kembali lagi. Hanya doa yang dapat dikirimkan.
Lakukan sebanyak kebaikan dan sedekahlah ke atas roh mereka. Jangan sesekali mengharapkan balasan atas kebaikan yang kita lakukan kepada Mak dan Abah. Cukuplah Allah yang membalasnya. Tidak di dunia, pasti di akhirat sana.
Ikhlas,
– Aku seorang anak (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit