Dah Kahwin, Tapi Masih Berharap Pada Mak Ayah

Assalamualaikum dan hai, semua. Aku Bulan (bukan nama sebenar). Aku nak luahkan sesuatu yang sudah lama aku perhati, makan hati dan simpan.

Sebelum menelusuri topik dengan lebih mendalam, aku akan cerita serba sedikit tentang family. Aku anak kedua daripada 4 orang adik beradik dan semuanya perempuan. Keluarga aku sederhana saja.

Aku masih bergelar seorang pelajar di sebuah kolej yang kini sudah berada di semester akhir. Aku sambung belajar guna biasiswa/pinjaman sahaja. Dapat elaun bulanan.

Okay, hmm aku selalu rasa terpinggir dalam keluarga sejak kecil lagi. Sukar untuk ibu dan abah aku turutkan kemahuan atau keperluan aku ketika cikgu minta bawa barang untuk aktiviti dalam kelas.

Tapi, kalau adik beradik lain yang minta, laju saja mereka tunaikan. Aku tak boleh keluar dengan kawan-kawan. Kadang aku pujuk sampai dapat, sebab aku pun mahu rasa sedikit bebas pada zaman sekolah.

Selepas SPM, aku kerja part time di sebuah francais fastfood. Percaya atau tidak, ibu dan abah perlahan-lahan tidak beriku duit belanja. Aku fikir, okey tak apa. Aku dah biasa. Bila aku sambung belajar, aku pernah tak ada duit nak beli makanan.

Rasa perit bila terpaksa pinjam duit kawan. Bila mereka call tanya khabar, aku terpaksa menipu bahawa aku masih ada duit sebab aku rasa aku seperti bebanan kepada mereka.

Aku ada side income tapi itu hanyalah sekadar sampingan. Bukannya duit selalu masuk.

Berbalik kepada topik aku pada hari ini. SUDAH KAHWIN TAPI BERHARAP PADA IBU DAN ABAH.

Kakak aku dah berkahwin pada tahun aku SPM. Bila dia kahwin, aku fikir ibu dan abah aku akan tumpu kepada aku tapi fikiran aku meleset sama sekali.

Aku fikir aku boleh minta duit belanja atau kemahuanku. Aku bukan mahu barang mewah. Selalunya aku hanya mahu makanan heheheh walaupun makanan kampung. Walau sekecil pemberian, aku hargai kerana ia besar di mataku.

Tapi apakan daya, setiap bulan kakak aku sering minta duit dengan ibu. Katanya, tak cukup duit la apa la.

Oh ya, kakak aku suri rumah saja atas permintaan suaminya sendiri. Kadang dia minta duit kepada aku, berharap pertolongan daripada aku.

Aku ni bukan bekerja, malah hanya bergantung dengan elaun bulanan. Makan pun biasa-biasa saja. Pada awal tu, aku tolong sajalah. Bagi berapa yang aku mampu. Katanya, akan pulangkan semula duit itu.

Perkara itu berlarutan… Kadang dia tak pulangkan pun duit yang dipinjam. Aku pula, selalu lupa sebab banyak perkara dalam kepala ni.

Dia pula, mungkin pura-pura lupa. Aku ni tolong kadang terpaksa tanpa rela. Simpati. Yalah, orang kata adik beradik kenalah tolong sesama diri. Tak gitu?

Tapi, kalau dah berlarutan macam ni dan semakin parah sampai dah ada anak pun masih minta duit kepada ibu dan abah. Siapa aku dalam keluarga ni?

Adik-adik aku tak perlu kata, ibu dan abah selalu manjakan mereka. Aku? Dipinggirkan. Aku cari duit sendiri. Tanggung sendiri jelah. Oh ya, aku banyak online study kat rumah. Kadang aku serabut juga masa study haha.

Barang dapur, pampers anak la apa la, tu semua alasan kakak aku ketika minta tolong nak duit. Dia boros. Boros sangat. Dia selalu beli barang online.

Pernah sekali tu, aku kecil hati sangat dengan abah aku. Masa orang ramai kecoh duit simpanan boleh keluarkan, abah ada keluarkan. Aku fikir, abah ada la nak belanja aku macam makan-makan ke?

Tapi aku silap. Tak ada langsung. Malah, aku dapat tahu kakak aku minta duit dan belanja itu ini daripada abah.

Helo pembaca, apa abah aku buat? Abah aku tunaikan. Abah belanja dia macam-macam, seperti baju. Aku ni dah lama tak beli baju. Jarang la aku nak beli melainkan terdesak.

Waktu birthday kakak aku, abah bagi dia duit. Birthday aku? Haram la abah nak ingat. Hadiah sesen pun tak ada. Tak apa, aku sabar.

Birthday je kan? Tapi sedikit sebanyak, jauh dalam lubuk hati, hati kanak-kanak aku meraung. Aku sedih, aku mahu memberontak tapi aku sedar bahawa aku sudah dewasa. Dewasa, tapi masih terkurung dalam raungan kanak-kanak.

Sampai ke hari ini perangai kakak aku masih sama. Tak boleh ditegur, tak boleh dimarah. Nanti kakak aku sentap dan ugut tak nak bawa anak dia datang rumah ni lagi. Ibu pula? Mesti la turut akan permintaannya.

Aku nak sangat kakak aku berhenti meminta duit kepada ibu dan abah serta aku dengan menggunakan alasan yang sama. Berhenti.

Aku tak mampu berkata “TIDAK” kerana aku seorang yang mudah bersimpati. Aku kasihan tapi kadangkala aku benar-benar kata “TIDAK!” kerana ketika itu juga aku kesempitan wang.

Sampai ke hari ini, tiada lagi sesen ibu dan abah beri kepada aku untuk memanjakan aku. Tiada.

Setiap kali kakak aku pulang ke rumah, pasti ibu akan tunaikan permintaannya untuk masak apa-apa. Anak dia nak makan itu ini ke, ibu yang bayar. Aku? Hanya jadi pemerhati. Simpan sedih dalam hati. Hahahaha.

Pendidikan aku? Ibu dan abah tak pernah kisah dan tanya, “Okey ke aku belajar?” “Stress ke tak?” “Buku ada ke?” TAK PERNAH. TAK PERNAH. Aku banyak kali stress sampai nangis-nangis sebelum tidur.

Aku cuba buat yang terbaik sebab aku nak ibu dan abah PANDANG aku. Aku nak buktikan yang aku boleh berjaya. Aku nak kejar impian dan kerjaya aku biar mereka pandang aku. Bangga dengan aku. Sedar kewujudan aku.

Ini hanyalah secebis luahan hati aku. Masih banyak lagi yang aku simpan. Masih banyak lagi tangisan di sebalik empangan air mata.

Aku tak berharap untuk pembaca komen atau apa-apa. Cuma, aku berasa lega aku dapat luahkan sesuatu yang sudah lama aku simpan.

Jika ada masa lagi, aku akan kongsi lagi secebis luahan aku disini. Terima kasih kerana membaca luahan yang biasa-biasa. Maaf, kalau aku sudah curi masa kalian dan maaf jikalau ada kesalahan ejaan.

Aku mohon untuk para pembaca komen baik-baik saja. Aku tidak berharap ini akan ‘blow up’, aku juga tidak meminta komen negatif kepada keluargaku. Entahlah. Sekadar luahan saja.

Aku cuba bahagia, walaupun ketawa aku hanyalah satu penipuan.

– Bulan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *