Dah Tawar Hati

Assalamualaikum dan hai. Aku Tia. Aku menulis ni untuk minta nasihat.

Dalam ramai-ramai warga maya, mesti ada seorang dua yang kata-katanya dapat menusuk terus ke hati. Jadi aku harap kalian dapat bantu aku, dengan beri aku nasihat. Dan juga teguran.

Aku dah kahwin. Baru setahun jagung, ada seorang anak.

Sebelum kahwin, aku ada ‘berkawan’ dengan seseorang. Tapi mak bapak aku reject, sebab tak nampak islamik. Jadinya, aku dikahwinkan dengan suami, yang nampak islamik di mata mereka.

Aku akur. Aku lepaskan segala-galanya tentang ex, dan bukakan luas-luas pintu hati untuk terima suami. Mungkin sebab tu jugak aku cepat dapat anak.

Tapi kasih yang aku semaikan, racun yang suami siramkan. Kata-katanya, perbuatannya selalu buat aku makan hati. Dia sering merendah-rendahkan aku dan keluarga.

Rupa aku tak menarik mana, pakaian aku old school, kolot. Tapi tak pulak dia belikan aku pakaian yang up to date macam yang dia nak. Dan banyak hal keluarga aku dia kritik.

Aku terkelu. Tak sangka sebegini rupa sebenar dia. Dia komplen pasal aku, aku biarkan saja. Tapi ya, aku dah hilang rasa kasih. Cuma terus bertahan sebab title isteri.

Bila dia kritik hal keluarga, memang aku ada tegur. Kerana kata-kata dan perangai dia, sedikit demi sedikit, mula bercambah rasa tak suka dalam hati aku.

Makin serabut, dua-dua keluarga sibuk nak mengatur, sibuk komplen urusan kami. Berada di rumah keluarga dia, aku tahu keluarga dia tersangat cerewet bab makanan.

Jadinya, aku tak memandai-mandai. Hanya sekadar sentiasa ada di dapur tolong mak dia. Dan ya, aku selalu kena perli tak pandai masak.

Prinsip aku, kalau sekadar tahu sikit-sikit, itu bukan level ‘pandai’. Terasa, tapi aku diamkan saja.

Berada di rumah keluarga aku, orang tua komplen pasal layanan aku. Kata aku tak masak untuk suami, tak layan elok-elok di meja makan, biarkan suami kelaparan. Dan banyak lagi hal yang mereka perhatikan untuk ‘basuh’ aku.

Aku diamkan jugak. Padahal aku dah beringat bab ni. Aku buat. Cuma mungkin ada sekali dua terlepas.

Ditakdirkan Tuhan, aku alahan teruk sepanjang mengandung. Dalam keadaan mengandung ni, lagi teruk aku kena basuh. Sampai ada sekali tu, suami keluar.

Bapak panggil aku, tegur lagi. Mungkin dah tak tahan sangat, aku menjawab. Terus kena jerkah, dan dikata macam-macam. Salah satunya, kata bapak, kalau ada layanan suami yang tak kena, itu sebab kifarah atas dosa-dosa aku.

Masa ni, aku dah tak fikir rahmat dalam perkahwinan ni. Aku fikir ini bala terbesar dalam hidup aku.
Tiap-tiap hari makan hati.

Ada ketika aku rasa nak slow talk dengan suami, aku cuba luah. Tapi bila dia asyik mencantas bila aku bercakap, malas dah aku nak cakap lagi.

Tertekan dengan dia, tertekan dengan campur tangan keluarga belah aku, tambah lagi campur tangan keluarga belah dia.

Hidup aku tak pernah sunyi, ada saja yang tak kena. Lepas bersalin, aku lambat recover. Tak terjaga sangat pantang. Masih lagi serabut.

Sakit bersalin belum habis, sakit masalah membuang, sakit kena komplen tak peduli suami, sakit orang sibuk komplen hal anak.

Mujur Tuhan jagakan aku, aku tak meroyan. Bayangkan, selepas bersalin aku hanya sempat berurut 4 kali saja. Makan minum pun ada kalanya kena fikir sendiri.

Ya, aku rasa macam ‘mati’. Tak ada harapan, tak ada cita-cita lagi. Kalau ada lagi esok, ada lah. Lalu saja lah.

Syukurnya, kami pjj. Jadi, aku rasa ada sedikit ruang untuk aku. Kurang sedikit tekanan. Badan aku masih lemah. Sampaikan kawan sekerja aku kata, pucat sangat muka. Ni mesti tak habis pantang.

Aku rasa nak meraung masa tu jugak. Betapa seksanya hidup aku. Tapi mujur la aku mampu kawal lagi. Kalau tak, nanti jadi bahan bualan pulak.

Aku jadi sangat emosi. Ada masanya aku termarah anak. Ada masanya cepat sangat menangis. Dan yang buruknya, aku yang tak pernah-pernah menyumpah sebelum ni, akhir-akhir ni dah jadi tabiat.

Baru-baru ni, ada seorang kawan yang dah lama lost contact tiba-tiba mesej. Bertanya khabar serba sedikit, dia kata dia kagum dengan aku. Lembut, tabah, kental.

Jatuh terduduk aku. Masa tu jugak berhamburan air mata. Itu aku yang dulu. Yang dah lama ‘mati’. Aku yang sekarang dah ‘hancur lebur’ ditelan kejamnya dunia.

Dan lagi aku rasa terhenyak bila aku cari balik pasal ex, aku dapat tahu dia sudah jumpa jodohnya. Sangat cantik, sangat mempesona.

Sekali lagi aku meraung-raung. Betapa aku cemburu dengan semua orang. Sedangkan aku di sini hilang diri aku sendiri.

Dah lama aku cari info pasal cerai. Ya, hanya ini yang selama ini berdengung dalam kepala.

Pernah satu ketika, terjadi satu insiden. Aku luah perasaan, betapa kecewanya sebab aku dah banyak kali bertanya, berpesan sebagai persediaan. Senang saja dia jawab, dah memang sikapnya ambil mudah segala hal.

Masa ni, buat pertama kalinya aku katakan, cukuplah setakat ni. Kali ni aku sebut, sebab aku rasa dah tiba masanya. Dia terdiam.

Bila mana aku sebut cerai, dia kata dia sayang. Baru ada nampak usaha sikit. Dia akan minta maaf. Tapi hujung-hujungnya dituding salah pada orang lain.

Aku dah tawar hati. Apa patut aku bagi masa lagi, atau teruskan dengan permohonan cerai?

– Tia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *