Dana Kebabom Untung Juta-Juta

Assalamualaikum. Aku harap sangat entri ni dapat dikongsikan di IIUM Confession. Kepada pembaca yang merasakan post ni bermanfaat mohon sharekan juga.

Mungkin ada yang pernah sentuh isu ni, tapi takpe aku sharekan lagi sekali dengan harapan ia sampai kepada orang yang mengharapkan bulan jatuh ke riba, atau durian runtuh tapi satu apa pon tak jatuh-jatuh lagi…

Terutamanya kepada individu-individu yang aku kenal (rakan-rakan yang kusayangi) tapi masih tak nak buka hati dan mata.

Kalian masih ingat bukan mengenai dana Haji Jasman yang pernah keluar di dada akhbar dulu (Berita harian yang kononnya ada dana milik raja-raja melayu tersimpan di England bernilai RM2,400 TRILION okay, tak main dah juta atau billion ni terus trillion.

Disebabkan ini, ramailah orang kita yang tertipu kononnya melabur RM1 boleh dapat RM1000, RM100 boleh dapat balik pulangan sebanyak RM1.5 juta. Wow, amazing! Senang betul buat duit.

Berapa yang tertipu? Nak dekat 160,000 ORANG MELAYU yang terpedaya dengan sindiket ni.

Secara ringkasnya, para pelabur diminta untuk menandatangani surat aku janji dan membayar kepada ejen yang digelar sebagai ‘PAY MASTER’.

Modus operandi dana-dana macam ni biasanya menggunakan sentimen agama. Lepas bayar buat apa? Tunggu, tunggu, tunggu dan teruskan menunggu.

Walaupun sindiket ni berjaya didedahkan, tapi anak pinak cucu cicit dia dalam erti kata lain legasinya masih ada lagi tetapi menggunakan nama yang lain. Taktik masih sama. Maka, bermulalah kembali kitaran penipuan.

Dalam “World of Buzz” pon ada ulas mengenai isu ini. Selepas DANA HAJI JASMAN, sindiket lain menggunakan nama BPIP (Barclays Private Investment Project) pula muncul.

Menjanjikan pulangan sebanyak RM75,000 – RM5 juta untuk pelaburan sebanyak RM100. Nampak tak persamaan tu? Tapi bila tiba masa yang dijanjikan, satu habuk pon tarak. Duit lesap hilang entah ke mana.

Yang paling bestnya, ahli-ahli tertinggi sindiket ni siap kaitkan dana diorang dengan ahli politik untuk meyakinkan rakyat marhaen. Kebanyakan yang tertipu pon bukan calang-calang orang, professional yang berpelajaran tinggi.

Dalam twitter pon dah pernah ada orang yang ulas isu ni dengan lebih detail. Kalau ikutkan dah ada banyak nama tapi modus operandi masih sama.

Mungkin ada yang mengatakan ini cerita lama, tapi percayalah selagi ada yang sanggup melabur, selagi itulah mereka masih aktif sebabnya ada individu yang aku kenal masih berharap.

Di sini juga aku kongsikan keratan cara-cara untuk kenal pasti penipuan dalam pelaburan (https://www.sinarharian.com.my/article/22346/BISNES/Ketahui-empat-cara-untuk-kenal-pasti-penipuan-pelaburan)

Ataupon tuan-tuan, puan-puan yang lebih arif mungkin boleh kongsikan laman sesawang yang bermanfaat untuk semua.

Tujuan aku post entri ni adalah dengan harapan supaya orang dapat buka mata luas2, fikir sedalam-dalamnya, kaji selidik dulu sebelum nak melabur.

Tuhan bagi kita akal fikiran untuk digunakan sebaiknya. Sayang ramai sangat yang dah tertipu, hasil duit bekerja 10, 20, 30 tahun hilang macam tu je..

Ramai pasangan dan ahli keluarga yang bergaduh, ada yang sanggup berhenti kerja mengharapkan benda yang tak pasti.

Kepada individu yang terkena atau terjebak, fikirlah dengan rasional. Jangan biarkan perasaan tamak, ingin cepat kaya menguasai diri anda.

Tak salah nak kaya, semua orang pon nak kaya tambah-tambah lagi dengan keadaan ekonomi masa kini. Tapi biarlah di saluran yang betul.

Akhir kata, bagi aku “There is no such thing as easy money, no shortcuts to wealth.”

– Adam (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *