Dari Puncak Ke Jurang

Aku mula berniaga secara agresif masa PKP. Masa tu semua duduk rumah, tak boleh keluar Wife aku bagi idea untuk jual barang online, aku follow.

Aku mula belajar pasal Shopee / Lazada dan kembangkan bisnes online tu melalui jadi ejen jualan produk. Bila jadi ejen, margin diskaun lebih banyak. Aku cari produk yang jalan paling laju—produk perempuan, yang nak kurus. Bengkung, air detox, slimming pants semua aku jual.

Bisnes masa tu memang power. Profit aku cecah RM10k sebulan. Tu tak masuk lagi gaji sebagai pekerja ofis.

Aku ingat lagi yang aku kena berjaga hampir 20 jam sehari untuk bahagikan masa. 8-9 jam sebelah pagi, aku fokus pada kerja utama sebagai pekerja syarikat. Sebelah petang pula aku siapkan parcel untuk lori datang collect kat rumah aku.

Bayangkan order punya banyak, sampai lori Shopee pun datang rumah aku untuk pick up. Malam pulak aku akan continue kemaskini site jualan, restock order, join campaign, beli ads dan belajar untuk kembangkan site ecommerce aku. Jadi memang dalam sehari, aku tidur 4 jam je selama setahun.

Alhamdulillah, hasil daripada keuntungan bisnes online, aku mula ambil langkah besar. Aku beli kedai air francais dalam mall. Itu pun setelah aku buat kajian dalam masa berapa lama aku boleh dapat ROI aku.

Jadi dalam masa 1 tahun je, aku dah miliki 2 kedai air dengan sales tahunan mencecah hampir RM700k setahun. Ada sekali masa tu aku rasa gigil sebab pegang cash lebih RM10ribu untuk pergi bank in.

Dengan hasil duit berniaga tu jugak la aku dapat beli rumah, beli kereta baru dan mengerjakan umrah. Aku rasa waktu tu hidup aku tengah naik. Semua yang ada kat sekeliling, aku belanja tanpa kenal siapa. Tapi aku tak jangka tahun 2024 jadi tahun yang ubah segalanya.

Jualan jatuh. Pelbagai halangan aku kena hadap, staf silih ganti, complaint dari pelanggan dan mall itu sendiri. Mall yang dari parking percuma, tiba-tiba kena bayar mengikut jam, menjadikan jualan bulanan aku hilang 40% macam tu je.

Kemudian di penghujung tahun yang sama, kemunculan produk air dari China yang murah gila. Kedai aku yang kat Setiawangsa hilang 50% jualan akibat kemasukkan persaingan baru.

Kalau dulu ada 3 kedai yang jual air, sebelum aku tutup, ada hampir 8 kedai air bersaing dalam 1 mall, berebut market yang sama. Orang sekarang nak murah, tak kisah sangat kualiti.

Aku pulak tak boleh bersaing harga sebab kos barang aku tinggi. Pernah aku all out buat promosi beli 1 percuma 1 tapi gagal juga sebab aku yang akhirnya kena tanggung kos rugi tu.

Masa tu baru aku tersedar satu lagi silap aku—aku terlalu fokus bisnes fizikal sampai aku lupa bisnes online yang dulu bagi aku nafas. Aku biarkan sepi tak terlayan. Bila aku patah balik, semua dah senyap. Hilang momentumnya.

2025, aku jatuh terus. Kedai tutup. Bisnes semua bungkus. Aku tinggal kerja makan gaji tapi kali ini dengan komitmen hutang yang tinggi. Komitmen melebihi pendapatan. Negatif 40%.

Ada mall masih baik, terima bayaran ansuran walaupun aku dah tak berniaga di situ. Tapi ada juga yang tekan, ugut bawa ke mahkamah kalau aku tak lunaskan dalam tempoh tertentu.

Aku cuma mampu angguk. Aku terpaksa redha sebab aku memang dah tak ada apa dalam poket. Asal ada makanan kat dapur, aku dah bersyukur.

Sekarang ni aku cuba susun kewangan aku semula. Aku mohon AKPK untuk kurangkan komitmen bulanan dan dapat juga sedikit nafas.

Aku jugak cuba ke MAIWP untuk mohon bantuan menyelesaikan hutang, tapi entah kenapa, setiap kali nak naik ke Tingkat 3 kaunter bantuan, mesti ada halangan. Selalunya kaunter penuh atau Guard suruh datang hari lain.

Aku yang tengah nak meminta, jadi aku kena menurut perintah. Kalau dulu aku pembayar zakat perniagaan tegar, tahun 2025 ni aku nak bayar zakat fitrah pun terpaksa catu.

Dengan komitmen yang menekan setiap bulan, apa je lagi yang aku termampu nak buat. Setiap hari aku fikir agar ada jalan keluar yang lebih cepat. Yang lagi kelakar, masa aku senang—ramai datang pinjam. Masa aku jatuh, nak minta balik macam mengemis.

Aku pernah fikir nak cerita kat family, tapi aku tahu, silap cakap boleh makan diri. Jadi sekarang, selain isteri aku, tak ada siapa tahu cerita sebenar. Semua orang tengok aku “okay”.

Dan masa jatuh ni, memang betul la semua orang kata, kau boleh nampak sejelas-jelasnya masa senang siapa ada, masa susah siapa yang jauhkan diri.

Sampai saat aku menulis ni, selain isteri aku, aku tak tahu nak luah kat siapa tentang kejatuhan aku. Nampak macam tenang tapi hakikatnya, dalam kepala ni serabut, dalam hati ni berat.

Ada masa aku termenung lama, bukan sebab tak ada kerja, tapi sebab otak dah penat sangat. Tekanan hutang ni tak main-main. Sekali kau tersilap, boleh bertahun menghantui.

Sekarang aku masih cuba susun balik hidup. Aku trauma nak berniaga. Tapi aku tahu, aku kena cari jalan.

Aku cuma tulis semua ni sebab aku rasa mungkin kat luar sana, ada yang senasib. Tak semestinya aku minta simpati, aku cuma nak orang tahu—jatuh tu wujud, dan kita semua boleh jadi mangsa, walaupun dulu pernah naik tinggi.

Kalau kau ada kawan yang tiba-tiba senyap, yang asyik termenung—tegur-tegurlah. Kadang dia tengah lawan ribut yang kau tak nampak.

Dan bila aku jatuh, aku akhirnya sedar waktu doa aku lebih lama dari waktu aku bersolat.

– Naraqi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

  1. Sy tau susah nak mula balik, tp pengalaman dah ada, tu yg mahal. Cuba la buat online balik, tp had kan jugak masa tu, tido, masa utk keluarga… Jgn paksa sgt, jgn pulun sgt, lepas skit2 sudah. Dah rasa boleh habis komitmen, rasa just nak makan gaji, kerja mcm tu je, awk skang kan hidup pn berjimat, hidup je kan, so, tak yah jauh sgt nak kejar dunia. Pasal bantuan kat org, lepas ni, berpada2, bukan tak bg buat baik, tp, kalau ada, mana yg betul elok, tolong, kalau tak, pandai la…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *