Definisi Kejayaan

“BERJAYA” itu banyak perspektifnya. Terpulang kepada anda untuk memilih yang mana satu. Adakah anda pergi ke bulan baru anda dikira berjaya? Atau berjaya membeli boxer Renoma di Berjaya Timesquare? Ataupun cukup hanya dengan berjaya menghentikan tangisan seorang kanak-kanak? Berjaya menjawab soalan SPM dengan menggunakan kaedah menembak? Hanya mempunyai wang RM25.60 tiga hari sebelum gaji dan berjaya belanja kawan lama anda megi goreng dan ayam uncle bob? Berjaya bangun lambat dan berjaya tiba lambat di pejabat dan berjaya dimarahi bos berkepala botak? Atau anda pernah berjaya menyelam di kolam renang dengan berjaya mendapat tepukan gemuruh dan standing ovation oleh 8 orang anak saudara anda? Berjaya merembat pen kilometrico di kaunter bank sebanyak 13 kali tanpa gagal?

Atau anda berjaya mengambil gambar tangan diatas stereng kereta dengan logo BMW sedangkan itu kereta boifren kawan adik anda? (Itupun sebab dia kerja salesman used car kat Cheras). Berjaya memberitahu jumlah gaji dan harga jeans levis anda kepada rakan yang masih mencari kerja? Anda juga mungkin pernah berjaya kentut dengan menggunakan teknik silencio pada bacaan -25dB di dalam lift yang berkapasiti 18 orang dewasa? Berjaya berbahas tentang hukum memakai inai haram atau makruh sedangkan anda berjaya meninggalkan solat asar dan maghrib pada hari tersebut? (syaitan turut meraikannya) Emmm apa lagi ya?

Berjaya menjadi pelajar terbaik sekolah, sedangkan di usia 20-30an anda dibenci dan dilaknat oleh rakan sekolah dan guru yang mengajar anda kerana sikap takbur dengan jawatan anda di Petronas dan kereta Vios anda di laman sosial? Atau anda berjaya memperoleh keputusan SPM 9G, dan diumur 20-30an anda sangat disayangi rakan dan taulan serta guru kerana sikap budi bahasa anda dan sering belanja mereka setiap kali terserempak? Okay, kita luaskan lagi skop. Berjaya merosakkan industri muzik tanahair dengan hanya menaja program stesyen televisyen dan memenuhkan setiap saat dengan berzikir menyebut nama produk anda? *Hirup kopi…. Duit berjaya membuatkan anda salah menyanjungi seseorang. Mungkin anda juga berjaya menjadi seorang jutawan selebriti kosmetik dengan sekelip mata, tiada yang dapat dikagumi melainkan hanya takbur, takbur, dan takbur serta mempamerkan koleksi jam mewah tanpa harga dibuang? Oh… Mohon Allah hindari dengan kejayaan sehina itu. Jadi….. Dimanakah tahap kejayaan anda?

Ya, anda perlu percaya anda seorang yang berjaya walaupun sekeliling anda tidak berjaya memahami. Kerana apa? Kerana berjaya itu mempunyai banyak sudut untuk dipandang dan dinilai. Terpulang kepada masing-masing untuk menilai dengan menggunakan kanta akal, nafsu, mahupun hati. Bagi saya yang kerdil dan tak punya apa-apa ini, berjaya itu diukur tatkala anda mensyukuri nikmat yang diberikan dan memimpin liku perjalanan dengan keikhlasan. Anda mempunyai banyak sebab untuk berjaya! Terima kasih kepada yang berjaya menghabiskan bacaan. Dan tahniah kepada yang berjaya membaca separuh! Kejayaan naskah ini di tulis hasil daripada kejayaan sesi teh o ais limau bersama rakan. sekian..

– ~ Budak Printer

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit