Ya apatah lagi Diploma. Hanyalah sijil SPM yang tertera TIDAK HADIR pada dua subjek yang aku ketika itu tidak sedar bahawa ini semua yang akan menentukan nasib aku kelak.
Tidak matang dalam melakukan sesuatu keputusan. Sibuk mengejar duniawi yang bersifat hanya sementara. Bila sudah sedar di usia yang hampir menginjak angka 30 ini, aku mula menyesali semahu mahunya.
Assalamualaikum semua. Aku perkenalkan diri aku Luna dan tentunya bukan nama sebenar.
Belum berkahwin dan dalam dua tiga tahun lagi aku akan menjengah ke usia 30 yang mana pada pendapat aku sudah terlalu jauh untuk aku sedar akan kekhilafan dan sikap tidak berdikari sedari dulu.
Sering dimomokkan dan ditakutkan untuk tidak memandu kereta punca sehingga sekarang aku takut, tidak pandai memandu dan tidak pernah mendapatkan lesen kereta. Aku terlalu takut bila memikirkannya.
Tetapi sekarang aku sedar yang aku kena berdikari untuk diri aku dan juga untuk keluarga aku kerana aku anak sulung dan punya adik beradik yang masih bersekolah. Susah untuk kami kemana mana dan hanya mengharapkan orang di sekeliling.
Dalam keluarga hanya arwah ayah sahaja yang pandai memandu kereta. Tetapi sejak arwah ayah baru pergi baru baru ini aku baru tersedar betapa susahnya kami kerana tiada yang pandai memandu dalam keluarga kami.
Aku bertekad mahu mendapatkan lesen untuk menyenangkan ibu dan adik beradikku yang lain. Kerana sampai bila aku mahu menyusahkan saudara mara yang lain bukan?
Doakan dan berikan aku kata kata semangat agar aku dapat melawan rasa takut untuk memandu kereta.
Aku baru berhenti dari kerja yang selama 6 tahun aku berkerja di situ.
Dek kerana suasana yang penuh toxic dan hidup berpuak puak malahan aku disisihkan hanya kerana aku setakat kontraktor yang tidak akan diserap sampai bila bila,
Dan aku terpaksa mendengar kata kata manusia yang di depan kita bermulut manis tetapi di belakang mengata kita yang bukan bukan.
Perasaan dibandingkan dengan permanent staff dan hanya sebagai kontraktor sangat sangat menyakitkan.
Aku terkadang menangis bila memikir hari Isnin di mana aku harus bermuka muka menunjukkan yang aku okay padahal jauh di sudut hati aku menangis dengan layan staff di situ. Kesihatan dan mental aku agak terjejas kerana memikirkan keadaan itu.
Selama hampir 6 tahun bertahan bekerja di situ, aku terpaksa melepaskan jua jawatan sebagai penyambut tetamu di situ.
Aku ada teman lelaki yang aku namakan dia sebagai Isa. Dan baru baru ini juga dia bertanya kepada aku. “You degree ke diploma eh?”
Aku tersentak sekejap dan tidak tahu nak respon apa kepada soalan dia tu. “Kenapa you tanya?” Aku ajukan pula soalan tu kepada dia dan dia mengatakan bahawa isteri kepada sepupu dia bertanya kepada dia,
“Awek kamu tu degree ke diploma?” Isa pun jawab tak tahu kepada soalan isteri sepupu dia tu sebab Isa sendiri pun tak pernah tanya aku.
Dan Isa mengandaikan yang aku punya degree padahal aku tidak punya degree apatah lagi diploma hanya kerana dia fikir aku pernah berkerja di sebuah syarikat swasta.
Aku jadi tidak keruan dan tidak tahu mahu menjawab apa, aku cepat cepat berdolak dalih dari menjawabnya.
Soalan soalan tu buat aku jadi stress dan buat diri aku down sangat sangat. Waktu malam je aku akan berfikir dan menangis seorang diri kenapa baru sekarang aku baru sedar semua tu. Kenapa tidak dari dulu?
Sudahlah aku tak punya kereta sendiri, tidak punya rumah sendiri pula tu untuk membahagiakan ibu dan arwah ayah aku. Aku seorang anak sulung yang tidak berguna langsung. Tidak mampu membahagiakan kedua orang tuaku apatah lagi arwah ayah aku.
Aku tidak dapat membanggakan beliau langsung. Aku tersangatlah terkilan bila di usia sekarang aku baru tersedar akan hal ini. Aku di sini hanya perlukan kata kata semangat untuk aku bangkit dan kuat sebab aku tidak tahu ingin meluahkan di mana lagi.
Aku berfikir yang aku akan mendapatkan lesen kereta terlebih dahulu dan seterusnya mencari kerja baru dan bab yang aku hanya punya spm Isa tidak tahu lagi.
Aku ingin berterus terang tetapi aku mula berfikir tanggapan dan penerimaan keluarga dan saudara mara Isa, adakah mereka pun seperti staff staff di syarikat lama aku?
Apakah aku akan disisihkan sekali lagi? Semua ini berlegar legar di kepalaku. Apakah aku perlu menyambung pelajaran? Dengan aku yang baru sahaja berhenti kerja buat aku hanya mampu melupakan sahaja hasrat tu.
Kurang keyakinan diri yang melampau punca aku jadi begini sedari dulu. Doakan yang terbaik untuk aku ya wahai pembaca semua. Aku hanya perlukan kata kata semangat kerana aku betul betul down saat ini.
Terima kasih semua kerana sudi meluangkan masa membaca luahan diri ini. Assalammualaikum.
– Luna (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit