Demi Allah Aku Sayang Kamu

Assalamualaikum semua….

Confession aku ni tentang seseorang yang aku pernah sayang, dan akan terus sayang sampai akhir hayat aku, kerana Allah Taala. Aku namakan dia B, dan aku gelarkan diri aku S. Aku kenal B masa aku kerja part-time dekat satu company ni, tak payah sebutlah nama company eh…

Untuk pengetahuan korang semua, aku perempuan, dan B pun perempuan. Cumanya, B merupakan seorang pengkid. Jadi korang fahamlah kan perwatakan B macam mana. Jadi, nak disingkatkan cerita, aku tinggal serumah dengan B, dan 3 orang housemates yang lain.

Dari awal perkenalan, housemates aku yang lain tidak lupa mengingatkan aku dengan mengatakan, ‘S, B tu lain sikit. Dia tak sama macam kita. Tapi dia okay ja, sangat hormat dengan orang, jangan takut tau.’ Aku rasa diorang selalu pesan macam ni sebab penampilan B yang menyerupai lelaki. Dan aku, langsung tidak pernah ada pengalaman berhadapan atau berkawan dengan pengkid seumur hidup aku.

Mulanya aku agak kekok setiap kali terserempak dengan B, namun keadaan agak selesa bila aku tinggal sebilik dengan dia. Dari situ aku mula kenal B sebagai seorang yang bersih, kemas dan sangat mengambil berat tentang rakan serumah. Aku pun mula layan B macam aku layan kawan-kawan perempuan yang lain. Hubungan kami bertambah rapat apabila aku bekerja di bahagian yang sama dengan dia.

Beberapa bulan berlalu, hubungan aku dengan B semakin rapat. Ke hulu ke hilir berdua menaiki motorsikalnya. Pergi kerja, balik kerja bahkan pergi berbelanja bulanan pun kadang-kadang cuma berdua dengan B tanpa disertai housemates yang lain. Suatu hari, aku meminjam ‘handphone’ B untuk menghubungi ibuku kerana ‘handphone’ku rosak. Tiba-tiba, aku perasan di log panggilan ada nomborku dengan nama’ Crush’. Kebetulan, pada waktu itu, B masuk ke dalam bilik. Riak wajahnya bertukar cemas. Namun aku berpura-pura tidak menyedari perubahan riak wajahnya.

Malam selepas kejadian, tiba-tiba B mengaku yang dia ada perasaan padaku. Aku cuma membalas dengan mengatakan, ‘B, aku sayang dan hormat kau sebagai kawan aku. Jadi aku harap, kau pun boleh sayang dan hormat aku sebagai kawan kau.’ Silap aku, melayan B seperti kawan-kawan perempuan lain, bertepuk tampar, bergurau manja dan macam-macam lagi. Memang tidak salah, tapi itu sedikit sebanyak mempengaruhi perasaannya terhadap aku sebenarnya.

Hari-hari kami jalani seperti biasa selepas itu namun B semakin berani menunjukkan perasaannya terhadap aku sampailah satu tahap aku akhirnya tewas dengan dia. Tidak perlu ku ceritakan secara terperinci tentang perhubungan kami selepas itu, cukuplah sekadar menyatakan bahawa kami selayaknya seperti pasangan bercinta, namun bezanya aku, seorang perempuan, juga bercinta dengan seorang perempuan. Allahuakbar! Bergenang airmataku bila aku teringat saat-saat itu.

Semuanya indah pada mulanya, tetapi suatu malam aku bermimpi berjalan di atas sebuah tanah lapang, kosong, tidak berumput. Keluasannya sejauh mata memandang, dan aku bersendirian di situ. Tiba-tiba, tanah yang lapang tersebut bergegar dan merekah. Semakin lama rekahannya semakin besar. Aku berdiri kaku, menangis, dan berdoa dalam hati, ‘Ya Allah, bantu aku. Ya Allah, selamatkan aku. Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah.’ Tiba-tiba, dari jauh aku nampak kelibat seseorang, dia sedang berlari ke arah aku, sambil menyebut namaku. Semakin dekat, semakin jelas kelihatan wajah itu. ‘B!’ Teriakku dalam hati. Aku tidak tahu kenapa aku tidak mampu bersuara, aku menjerit dan menangis sekuat hati tetapi suaraku seolah-seolah hilang, seperti orang bisu.

Dan di depan mataku, aku melihat B ditelan bumi, terjunam ke dalam lubang akibat dari rekahan-rekahan tanah. ‘Giliranmu selepas ini’. Satu suara asing bergema di gegendang telingaku, tidak tahu dari mana suara itu datang. Dan selepas itu, aku turut menyertai B. Terbenam jauh ke dalam rekahan tanah yang seolah-olah tidak berpenghujung. Aku menangis, menangis dan menangis. Aku jatuh terjelepuk ke dalam suatu ruang yang gelap. Ku rasakan kulitku seperti disiat-siat, kepalaku berdarah dengan banyaknya. Aku terbaring kaku, hanya mampu menggerakkan bebola mata. Tiba-tiba, aku berasa panas. Panas yang teramat sangat sehingga badanku melecur.

Selepas itu, aku seperti diberi ‘flashback’ perbuatanku selama ini. Satu demi satu ditunjukkan kepadaku secara jelas di dalam kepalaku. Malu yang teramat sangat ya Allah! ‘Aku bertaubat, aku bertaubat ya Allah.’ Berulang kali ku sebut di dalam hatiku. Rasa perih dan pedih di dalam hatiku melebihi rasa sakit di seluruh tubuhku. Aku cuba beristighfar tetapi suaraku seperti tersekat di kerongkong sehinggalah mataku akhirnya tertutup rapat.

Pagi itu, aku bangun dengan perasaan takut dan aku bermandi peluh. Allahu Allah. ‘Astaghfirullahaladzim, ampunkan aku ya Allah.’ Aku terus bangun mengerjakan solat sunat taubat. Sujudku lama, aku menangis teresak-esak. Ketika aku mengangkat tanganku untuk berdoa, sekali lagi aku kehilangan kata-kata. Aku hanya mampu menangis dan menangis. Aku terbayang wajah ayahku, wajah adik beradik lelakiku yang akan turut diheret bersamaku kerana dosa-dosaku.

B yang baru selesai mandi ketika itu terkejut melihat aku. Mataku bengkak akibat menangis semalaman. ‘B, aku nak cutilah harini. Tolong maklumkan dengan bos. Aku tak sihatlah’. B tidak membalas apa-apa melainkan cuma menggangguk. Dia maklum benar dengan perangaiku yang tidak suka berkongsi masalah melainkan aku sendiri yang memulakan cerita terlebih dahulu.

Selepas hari itu, aku cuba menjauhi B. Walaupun kami masih sebilik, aku jarang bertegur dengannya. Aku jarang memberi respon jika dia cuba berbual-bual denganku. Aku sebenarnya rasa bersalah kepada dia, dan kepada diriku sendiri. Aku sepatutnya membawa dia ke arah yang lebih baik, bukan sama-sama hanyut dengannya. Aku berasa malu sebab tidak menjadi kawan terbaik untuknya. Tetapi lain pula di pihak B. Dia masih lagi dengan perasaannya terhadapku. Dia menyangka aku menjauhinya kerana aku cemburu dengan kawan-kawannya. Kebetulan waktu itu B juga berselisih faham dengan kawan-kawannya. Menurut mereka, semenjak kehadiranku, B seolah-olah mengetepikan mereka.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Diam-diam aku memohon kerja lain, yang jauh daripada B. B menangis memelukku pada hari terakhir aku bekerja. Dia juga menawarkan diri untuk menghantar aku pulang ke kampungku sementara menunggu waktu lapor diri di tempat baru. Mungkin ini jalan yang terbaik buat aku dan B. B tidak pernah lupa menghantar pesanan melalui aplikasi whatapps kepadaku setiap hari. Dia tidak pernah berubah bahkan tetap melayanku dengan baik cumanya kini kami jauh.

Kalau dulu ketika masih tinggal serumah, B selalu memasak untukku. Dia selalu menunaikan setiap permintaanku. Aku dilanda rasa bersalah. Sebenarnya sedikit demi sedikit aku cuba mengurangkan komunikasi dengan B. Mesejnya semakin jarang aku balas. Aku juga sering berkongsi tentang ayat-ayat Quran dan hadis mengenai martabat wanita, keistimewaan wanita dan ceirta motivasi mengenai ‘pengkid yang bertaubat’.

Tiba-tiba, suatu hari B menghantar mesej yang berbunyi, ‘Aku tahu sekuat mana pun aku cuba, aku tidak akan dapat memiliki hatimu lagi.’ Aku tidak tahu harus memberi respon yang bagaimana. Aku cuma katakan pada B, aku sayang dia lillahi taala, dan aku mahu dia kembali kepada fitrahnya sebagai wanita. Aku berjanji untuk membantunya.

Walaubagaimanapun, B menolak dengan alasan dia masih belum bersedia. Aku berulang kali meminta maaf kepadanya atas segala dosa-dosaku terhadapnya. Sebaliknya, B terus-terus menyalahkan dirinya yang mengheret aku masuk ke dunianya. B dapat menerima hakikat bahwa aku kini cuma menganggapnya teman, cuma dia masih menyatakan belum bersedia untuk berubah.

Beberapa bulan selepas insiden itu, B mula menjauhkan diri dariku. Hanya whatapps statusnya sahaja yang memberi update kepadaku tentang dirinya. Dia tidak pernah lagi menghantar pesanan ringkas, mahupun menelefonku untuk berbual-bual. Suatu hari, dia mengemaskini status whatapps nya, gambar mesra dengan seorang perempuan. Aku memberanikan diri untuk bertanya.

B akhirnya berterus terang, dia kini menjalin hubungan dengan wanita itu dan berharap aku tidak mengganggunya lagi. Hari itu merupakan hari terakhir aku berhubung dengan B. Aku sudah tidak dapat melihat whatapps story nya. Dia juga telah mem’block’ aku dari semua laman media sosialnya. Sehingga hari ini, aku masih terus berdoa untuk B, berharap agar dia kembali kepada fitrahnya sebenar.

B, aku sayang kau lillahi taala. Aku minta maaf sekiranya aku banyak menyakiti hatimu. Terima kasih B sebab pernah jadi kawan terbaik untuk aku. Asbab kau juga aku menjadi seperti sekarang, sentiasa berusaha memperbaiki diriku. Semoga Allah juga memberkati hidupmu dengan menghantar orang-orang yang baik untuk membimbingmu. Aamin.

– S

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *