Assalamualaikum wbt. Hai aku Elya Khadeeja, berumur awal 30-an. Tujuan aku buat confession ini sebab aku baru saja di discaj dari Wad Mental Hospital M. Jutaan terima kasih buat semua doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang bertugas di Bahagian Kecemasan dan juga di Wad Psikiatri Hospital M. Jasa mereka dan usaha mereka yang bertungkus-lumus untuk merawat aku membuatkan aku rasa terpanggil nak berkongsi apa yang aku alami.
Peristiwa ngeri tu berlaku 1 September lepas. Aku dah dekat 2 minggu tak boleh nak tidur malam. Masa tu aku masih tak rasa yang aku ada depresi. Aku cuma rasa susah nak tidur malam dan aku akan bangun pagi dalam keadaan letih, tak bermaya dan semangat aku nak lalui seharian tu macam suram je, tapi aku tetap buat kerja harian aku sebagai guru.
Kemuncaknya, bila tiba-tiba aku sedih dan menangis masa aku tengah siapkan persediaan mengajar di bilik guru. Aku ada up dalam status whatsApp aku tentang aku rasa sedih,marah pada orang yang pernah perli aku sebab hanya kerja cikgu ganti saja. Lepas aku dah reda dari perasan sedih tu, aku macam okey sikit. Tapi, aku masih rasa letih, tak bermaya dan aku mula hilang selera makan. Aku makan bila aku rasa nak makan saja.
Kemuncak yang buat aku jadi trigger dan depresi ialah bila aku kena hadiri kursus dekat satu tempat ni. Aku memang elak untuk ke sana sejak aku putus cinta dengan ex-BF aku. Ada peristiwa traumatik yang Ex-BF aku buat pada aku sehingga kan aku tak pernah bercerita dengan sesiapa pasal ini. Peristiwa traumatik tu memang memalukan aku dan aku mula rasa tak berguna, lost dan semangat aku down lepas ex-BF tinggalkan aku.
Setiap malam selepas ex-BF aku tinggalkan aku, aku akan nangis senyap-senyap dan kadang-kadang bila ingatan aku pada dia datang, aku susah nak tidur malam. Oh ya, ex-BF aku tinggalkan aku lepas dia kahwin dengan perempuan lain dan dia tuduh aku yang menggedik pada dia sedangkan dalam peristiwa traumatik tu, dia yang groom aku dan ada sedikit unsur aku dipujuk rayu dan dipaksa dalam hal tu.
Sejak aku putus hubungan dengan dia, aku tak pernah hubungi dia lagi. Tapi, aku sesekali intai FB wife dia. Macam-macam wife dia upload. Yela, orang tengah bahagia. Dan, aku merana dan sengsara dalam diam. Aku jadi seorang yang sangat susah nak bergaul, selalu rasa negatif, selalu rasa aku tak berguna dan rasa aku dah tak ada apa-apa dah dalam hidup aku. Sedangkan aku ada keluarga lagi. Dan ujian aku jadi bertimpa sebab majikan lama aku ada masalah kewangan. Akhirnya semua staf diberhentikan dan baki gaji yang tertunggak selama 3 bulan tu diorang tak mampu bayar langsung.
Aku cuba positifkan diri bila melalu 2 peristiwa ini & mula mencari kerja. Alhamdulillah, lepas 8 bulan berhenti aku dapat tawaran guru ganti di sebuah sekolah. Aku pun memulakan sesi mengajar di sekolah ini. Setakat mengajar ni, walaupun dah lama aku tak mengajar aku masih boleh melakukan dengan baik. Mungkin disebabkan minat mendalam aku pada dunia mengajar dan kanak-kanak.
Macam mana aku boleh depresi dan bagaimana akhinya membawa aku ke ED seterusnya ke Wad Psikiatri?
Aku sebenarnya tak sedar yang aku dah mula ada simptom-simptom awal depresi. Aku cuma dapat tahu bila aku hadir sesi kaunseling di LPPKN. Aku hadir ke sana sebab aku ada masalah keluarga dengan ibu aku. So, waktu tu baru aku tahu yang aku dah menunjukkan simptom awal depresi. Kaunselor yang aku jumpa tu ajarkan aku teknik untuk aku lebih relaks dan dia minta aku untuk amalkan gaya hidup sihat supaya aku tak stress sangat. Aku cuba ikut apa yang dia sarankan tapi disebabkan tekanan kuat dari keluarga dan sesekali peristiwa traumatik tu hadir dalam ingatan, aku mula ada simptom depresi.
Kemuncaknya bila kereta aku rosak dan aku perlu hadiri kursus di suatu tempat itu. Ex-BF aku bekerja berdekatan tempat tu dan dia selalu buat program dekat tempat tu. Tempat tinggal dia sekarang pun sekitar tempat tu. Aku namakan tempat tu S. Aku mula rasa anxiety, takut dan berdebar bila memikirkan yang aku akan ke sana dan berkursus sehari di sana. Dan dengan hati yang runsing sebab kereta aku tiba-tiba rosak menambahkan lagi rasa down pada diri aku. Aku cuba alihkan perhatian dengan mengemas rumah dan jaga anak buah aku yang kecil. Tapi peristiwa tu makin kerap datang dalam fikiran aku.
Sampai satu takat, aku menangis meraung sambil menjerit-jerit yang aku benci dia (Ex-BF), aku benci diri aku dan aku rasa diri aku tak berguna. Aku hantukkan kepala aku di lantai banyak kali dan aku bergelut dengan ahli keluarga aku bila diorang nak tahan aku dari buat macam tu. Semua ahli keluarga aku terkejut dan mula panik. Masing-masing ingat aku kerasukan. Dan akhirnya, aku ambil pencuci tandas dan minum seteguk sewaktu aku mandi. Lepas tu, aku letih dan aku kurung diri aku bergelap dalam bilik sampailah aku tertidur.
Aku terjaga semula pada pukul 12 tengah malam. Masa ini, aku dah reda sikit dan aku dah boleh berfikir cuma emosi aku masih tak stabil dan sedih. Aku mesej kawan aku & ceritakan A to Z apa yang berlaku. Kawan aku sarankan aku ke ED( Emergency Department) sebab dia takut kalau aku cuba buat suicidal attemption kali ke-2. Aku datang ED pukul 4 pagi dan sampai je ke sana, aku tak mampu bercakap apa-apa. Aku hanya mampu menangis.
Mujur kawan aku dah ajar dan suruh aku tulis dalam kertas apa yang berlaku dan aku letakkan sekali no.kawan aku sebagai emergency contact. MA dekat kaunter depan ED bawa aku jumpa doktor di Zon Kuning. Masa ni, aku masih menangis tapi aku dah boleh jawab sikit-sikit apa yang doktor tanya. Doktor minta no. ibu bapa aku, aku mulanya tak nak keluarga tahu tapi doktor gertak aku dan aku tulis no.mak aku.
Kecoh sekejap di Yellow Zone tu bila doktor dapat tahu aku telan pencuci lantai dalam suicidal attempt aku. Diorang mula buat beberapa assesment pada aku untuk lihat jika ada kesan toksik pada hati aku dan perut aku. Aku lalui urin test , ujian darah, cek dalam tekak aku dan buat ECG pada aku. Masa ini, Yellow Zone tak ramai pesakit dan diorang menunggu ibu bapa aku yang akan datang pagi tu sambil diorang tunggu juga pakar psikiatri yang oncall pada pagi tu.
Aku masih tak dedahkan punca sebenar aju triggered. Aku cuma cakap, aku gaduh dengan mak dan kakak aku saja. Diorang tahan aku di ED dari pukul 4 pagi sampai 3 petang. Sementara tunggu result assesment yang dibuat, 2-3 doktor datang tanya aku untuk pastikan kisah sebenar yang berlaku pada aku. Tapi, aku tak banyak bercakap dan hanya bila pakar psikiatri datang barulah aku kongsi peristiwa sebenar yang berlaku. Masa ini juga ibu bapa aku sampai dan diorang datang ke katil aku. Aku hanya paling muka ke tempat lain dan aku menangis. Mak aku peluk aku dan minta maaf pada aku. Aku diam dan tak bagi respon apa yang dorang cakap pada aku.
Bila result ujian keluar dan semuanya normal, para doktor berbincang dan sepakat untuk masukkan aku ke Wad Psikiatri.Pakar Psikiatri datang berbincang dengan aku dan sarankan aku rehat di wad Psikiatri. Aku terus setuju dan tanda tangan borang kemasukan atas kerelaan sendiri. Inilah pertama kali aku masuk ke sana walaupun aku banyak kali dengar pengalaman kawan-kawan aku yang ada MDD @ Bipolar yag masuk ke sana.
Pakar psikaitri awal-awal lagi dah maklumkan aku yang Hp tak dibenarkan bawa masuk dan barang-barang aku akan di simpan oleh pihak wad. Wad di sana berbeza dari wad biasa. Pintu wad dikunci macam pintu penjara dan di sekeliling wad juga penuh dengan besi seperti suasana penjara. Aku hanya mengangguk faham dan aku tak berfikir banyak bila dengar apa yang doktor terangkan pada aku. Yang aku tahu, aku hanya nak sembuh sihat seperti biasa.
Kalau dengar pasti mengerikan tapi bagi aku, pengalaman ini indah. Bila kali pertama aku melangkah kaki ke Wad Psikiatri, nurse yang sambut aku tu sambut aku dengan senyuman mesra. Aku perasan ada beberapa pesakit yang sedar aku masuk dan diorang pandang je aku. Waktu aku masuk tu, diorang tengah tengok TV.
Oh ya, dalam wad ni pesakit bebas untuk buat ativiti sendiri samada tidur atau tengok tv cuma dibenarkan keluar dari wad. Dalam wad ini, tak ramai pesakit hanya ada 9 orang termasuk aku. Wadnya sangat luas dan aku boleh pilih katil mana aku nak. Aku pilih katil paling depan sebab aku takut bila fikir malam nanti macam mana kalau aku jauh dari kaunter nurse. Aku memang penakut sikit,hehe.
Nurse terangkan aku peraturan dekat wad dan aku diberi pakaian untuk disalin. Oh ya, masa ini doktor belum datang jumpa aku lagi dan aku hanya berehat di katil. Aku tak berminat nak join dorang tengok tv dan aku hanya observe je setiap pesakit dan apa yang diorang buat. Sampai waktu melawat, family aku datang dan semua menangis tengok aku dalam wad ini.
Waktu ini, emosi aku dah stabil dan aku cuma cakap aku ok di situ. Mula-mula aku kekok sebab toilet dia terbuka, ada pintu toilet yang paras-paras badan utuk tutup waktu mandi dan tak berkunci. Tapi, aku tahu dah trick dia untuk pastikan time mandi orang tak nampak aurat aku. Aku pilih tandas yang paling hujung setiap kali nak mandi dan aku akan ke tandas bila tak ada sesiapa ke sana.
Dalam ini, semua pesakit mengalami depresi cuma jenis depresi yang berbeza. Dan masing-masing datang dengan sebab berbeza. Siapa kata masuk Wad Psikiatri mengerikan? Bagi aku, ia tempat yang tenang dan layanan nurse pun baik-baik saja. Bila kau perlukan apa-apa, kau beritahu saja pada nurse dan diorang akan sediakan kalau munasabah la permintaan kau. Nurse ada sediakan telekung dan sedikit ruang untuk solat.
Aku perasan hanya aku dan seorang pesakit ini je yang solat setiap kali waktu solat masuk walaupun ada saja pesakit yang dah stabil emosi dan sihat tubuh badannya. Wallahu’alam. Aku bersangka baik yang diorang cuti solat. Waktu solat ini, aku rasa inilah solat yang aku paling tenang,khusyu’ dan lama aku sujud berdoa mohon Allah sembuhkan sakit aku. Aku serahkan seluruh pengharapan aku pada DIA agar aku dapat melupakan peristiwa traumatik tu dan aku sembuh.
Aku sebenarnya rasa bersyukur sangat bila aku dimasukkan ke wad Psikiatri. Bagi aku, walaupun bunyinya mengerikan dan juga stigma masyarakat bahawa kami ni gila sebenarnya tak menganggu aku untuk dapatkan proses kesembuhan. Selagi masyarakat tak di didik bahawa depresi bukanlah gila, ia sama seperti penyakit lain seperti kanser, sakit jantung atau sakit diabetes yang memerlukan rawatan sebaiknya, selagi itulah masyarakat akan salah faham tentang kami. Buktinya, masa aku dalam wad ini, ada seorang pembantu perawatan kesihatan yang setiap hari akan datang waktu makan dan dia akan hidangkan makanan untuk pesakit.
Aku panggil dia Mak Cik M. Aku pesakit baru kat situ. Masa aku tengah makan, mak cik M ni pun datanglah sebelah aku dan bertanya sebelum aku masuk wad ni, aku keja atau belajar? Aku pun jawablah yang aku tengah sambung belajar dalam aliran bidang perubatan tapi bukan doktorlah. Mak cik M terus melaser aku dengan berkata, macam mana aku nak bantu merawat pesakit kalau aku pun sakit? Nasib baik percakapan tu tak berbekas di hati dan fikiran aku kalau tak aku rasa, doktor terpaksa naikkan dos ubat aku supaya aku tak bergaduh dengan mak cik ni.
Dan dah sampai masanya untuk masyarakat tak kiralah yang educated atau non-educated untuk belajar dan ambil tahu sedikit mengenai depresi. Jadi, bila berlaku pada kawan-kawan atau salah seorang ahli keluarga korang tak adalah korang ingat dia kena sampuk ke, kena rasuk ke @ dia ni ada saka. Sebab, orang selalu ingat yang selalu meracau tu sebab gangguan sihir. Tak juga sebenarnya, kadang bila seseorang tu dah terlau stress dan dia ada simptom awal depresi, kemungkinan dia untuk berkelakuan pelik dan menjerit meracau tu ada. So, bila korang faham korang boleh dapatkan rawatan yang sesuai untuk dia.
Rutin harian kat wad ini bermula pukul 5.30 pagi, semua pesakit akan dikejutkan untuk mandi. Sewaktu mandi, tak ada pun nurse teman kitaorang just dia perhati je kami ke tandas. Oh ya, pesakit dalam wad aku duduk ni tenang je, tak ada yang menjerit-jerit atau meronta-ronta. Tak ada pun yang kacau orang lain. Masing-masing dalam dunia sendiri. Aku rasa syok plak tinggal kat situ sebab tenang dia lain macam, haha.
Selepas siap mandi dan bersihkan diri, dalam pukul 7 pagi ada pelatih nurse dan doktor pelatih yang akan datang. Diorang akan ajar korang cara tukar cara cadar, sarung bantal , bed sheets dan kemaskan katil. Selepas itu, dia akan ambil BP dan suhu badan korang. Dalam pukul 7.30 pagi, doktor dan doktor pakar akan datang untuk melawat korang. Aku dikira beruntung sebab kes aku mendapat perhatian daripada pakar psikiatri. Selalunya, hanya doktor psikiatri sahaja yang jumpa pesakit. Pakar hanya akan turun sesekali bila dia ada masa kosong.
Masa aku dipanggil oleh doktor psikiatri soalan pertama yang dia tanya aku adalah, “Do you think you are belongs to this ward? ” Aku hanya jawab, “No. But I feel calm when I’m staying here.” Lepas tu, terus dia tanya apa yang berlaku. Setiap kali aku bercerita, air mata aku macam empangan pecah. A to Z aku cerita pada doktor dan dia mengangguk faham. Bagi aku, kalau lama lagi aku pendam aku akan suffer seorang diri. Lebih baik aku ceritakan.
Selepas mendengar cerita aku, doktor psikiatri ni berbincang dengan pakar psikiatri. Dalam pukul 8.30 pagi, kami diberi makan dan waktu ini pakar akan briefing dan passing over tugas pada nurse dan doktor serta pelatih yang ada di situ. Dalam pukul 9.30 pagi, pakar psikiatri panggil aku dan dia buat interview assesment sekali lagi dengan aku sambil ditemani doktor psikiatri yang merawat aku dan seorang doktor pelatih. Masa ni, sekali lagi aku menangis sambil ceritakan peristiwa traumatik yang berlaku pada aku. Dan doktor pakar tu, sangat memahami aku.
Dia berikan aku kata semangat dan minta aku anggap kemasukan aku ke wad psikiatri sebagai pengalaman supaya lepas ini, aku boleh bantu masyarakat kat luar pula sesuai dengan bidang yang aku tengah belajar. Selepas assesment, aktiviti kami bebas dan ada yang mewarna sambi ditemani pelatih nurse, ada yang ke Unit Carapulih Kerja untuk sesi terapi sampailah waktu tengahari. Rutin petang dan malam sama saja. Kita orang dibenarkan tengok televisyen dan semua akan masuk tidur pada pukul 10 malam selepas diberi makan ubat.
Pengalaman selama 2 hari 1 malam di Wad Psikiatri dan 1 malam di Ed banyak menginsafkan aku. Aku melihat bagaimana mereka bekerja. Semua nurse dan doktor termasuk pelatih di wad psikiatri melayan kami dengan baik. Tak ada yang marah-marah walaupun ada antara kami yang emosi masih belum stabil dan bergantung pada ubat. Mereka anggap kami sama saja normal seperti manusia yang lain. Kalau kami nak nangis, nak menjerit mereka tak halang. Mereka akan halang jika mendatangkan kecederaan pada diri kami atau orang lain.
Pesan aku untuk semua, jika kalian ada simptom ini mohon untuk dapatkan bantuan di Klinik Kesihatan yang berdekatan kalian. Simptom-simptomnya adalah seperti:
1. Susah nak tidur sampai berminggu-minggu.
2. Hilang konsenstrasi atau tumpuan.
3. Selalu sakit kepala,berpeluh dan rasa otot yang tegang.
4.Setiap pagi bangun rasa tak bermaya, kosong dan sentiasa berfikiran nak mati.
5. Hilang minat terhadap perkara atau hobi yang kau suka buat.
6. Rasa sedih berpanjangan dan berlaku hampir setiap hari.
Maklumkan pada doktor yang merawat bahawa anda stress dan minta dia buat surat rujukan kepada Klinik Psikiatri di mana-mana hospital. Hadir ke Klinik psikiatri untuk dapat rawatan seawal mungkin. Jika ada ahli keluarga korang yang mengalami depresi, mohon kalian berikan dia sokongan. Jangan menuduh atau melabel seseorang yang depresi.
Doakan aku sihat, ceria dan positif dalam menjalani kehidupan seharian. Terima kasih sudi menerima perkongsian aku.
Pejuang Depresi,
– Elya Khadeeja (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit