Assalamu’alaikum dan salam sejahtera. Nama saya Hawa (nama pena). Pelajar Perubatan tahun akhir di sebuah universiti luar negara, juga pemandiri depresi (depression survivor) yang sudah berada dalam remission state selama setahun dan diberhentikan ubat oleh doktor.
Kiranya sudah sihat tapi masih ada insomnia. Saya nak respon kepada confession “ Jauhkan diri dari pesakit depression”. (Confession berkenaan telah dipadam oleh admin di atas sebab-sebab tertentu)
Sebelum saya ulas tentang apa yang disebut Sasha, saya cerita serba sedikit apa itu depresi. Kiranya akan ada dua bahagian, tentang depressi dan ulasan saya terhadap saranan confessor yang bagi saya tidak patut serta saya mungkin cerita sedikit tentang kisah depresi saya juga.
Baik. Pertama, depressi ada penyakit mood (mood disorder) di mana seorang individu akan didiagnosa apabila mempunyai lima atau lebih gejala depresi setiap hari atau hampir setiap hari yang berterusan selama dua minggu atau lebih. Antara gejala depressi adalah:
1. Tiada mood atau rendah hampir setiap hari (kriteria major).
2. Hilang minat dan keseronokan kepada semua aktiviti hidup (kriteria major).
3. Berat badan turun atau nak secara mendadak.
4. Insomnia, tak boleh tidur atau hypersomnia, tidur banyak.
5. Badan lemah, tak larat dan tak berdaya.
6. Rasa tak berguna atau bersalah berlebihan.
7. Kerap berfikir mahu mati atau bunuh diri sama ada bersama rancangan spesifik atau tidak.
8. Cognitive impairment yang mana pesakit hilang atau kurang daya fokus, berfikir, atau berfikir negatif.
9. Menyendiri atau menjauhkan diri dari orang lain.
10. Ada sebahagian pesakit mengalami masalah ingatan. Kebanyakannya ingatan jangka masa pendek.
11. Gejala somatik seperti sakit fizikal tanpa sebab khusus contohnya sakit dada atau sakit belakang.
Saya nyatakan di sini gejala depressi kerana saya nak beritahu bahawa pesakit depressi tidak membahayakan orang sekeliling kecuali pesakit tersebut sudah develop (saya tak tahu nak tukar dalam bahasa melayu apa, haha) psikosis dan bertukar diagnosa ke penyakit lain atau sebenarnya depressi dan disertai penyakit lain.
Jarang sangat pesakit depresi mencederakan orang lain bahkan kami ini lagi berisiko untuk dicederakan kerana stigma masyarakat tentang penyakit ini. Ini adalah fakta. Boleh baca di page atau laman-laman web yang giat menyebarkan kesedaran tentang depresi dan kesihatan mental.
Saya sebenarnya terkejut bila ada orang yang mengaku dirinya depress menyuruh orang lain menjauhkan diri daripada pesakit depression sebab pesakit depression kebanyakan berharap dibantu dan disokong oleh orang sekeliling untuk meneruskan hidup dan menjalani rawatan. Jika fahaman ini disebar, akan ada kembali stigma menjauhkan diri dari pesakit-pesakit mental.
Bukan semua penyakit mental adalah gila yang tidak waras. Paling dekat dengan gila pun adalah skizofrenia itupun doktor yang mengajar kami beritahu.
Dalam banyak-banyak jenis skizofrenia hanya disorganized schizofrenia sahaja yang betul-betul tidak waras yang mungkin kita selalu jumpa di jalanan dengan penampilan yang comot, busuk, makan sampah dan sebagainya tetapi semuanya masih boleh dirawat hanya berbeza prognosis, ada yang baik dan ada yang buruk.
Kalau sampai tahap ada halusinasi menyuruh menceradakan orang lain, itu dipanggil psikosis. Psikosis ni sama ada delusi atau halusinasi. Apa pulak dua benda ni kan? Delusi adalah kepercayaan yang salah (false believe) bahawa sesuatu perkara wujud sedangkan perkara tersebut tidak wujud. Contohnya pesakit percaya ada seseorang nak bunuh dia.
Halusinasi pula pesakit dengar atau nampak perkara yang tak wujud contohnya dengar ada orang ajak buat itu ini. Psikosis ini diagnosisnya berasingan dengan depresi. Sebenarnya tempoh masa untuk pesakit sampai kepada psikosis sangatlah lama melainkan pesakit tak ambil lansung rawatan mungkin boleh jadi dalam masa yang singkat.
Seorang kawan saya MDD dan psikosis dan keadaan itu hanya terjadi selepas setahun dia didiagnos MDD. Jadi kalau tengok orang sekeliling ada gejala depresi tolonglah pujuk mereka untuk berjumpa doktor. Supaya boleh dicegah dari develop gejala ini. Ada pesakit yang ada stigma juga nak jumpa doktor psikiatri. Kalau nak ulas yang ini panjang lagi ceritanya.
Ya pesakit depresi boleh hilang kawalan kepada diri sendiri disebabkan cognitive impairment yang menyebabkan pesakit tak boleh berfikir dengan baik tapi kebiasaannya kepada diri sendiri bukan kepada orang lain.
Saya sendiri mengalami suicidal ideation. Saya tak terfikir pun nak bunuh diri, saya cuma rasa lebih baik saya mati dari hidup sebab saya penat nak menghadap semua benda. Tanpa sedar akhirnya saya ada suicidal ideation di mana datangnya bayangan dalam fikiran dengan kerap saya pergi ke dapur dan mengambil pisau dan buat cubaan mencederakan diri sendiri.
Saya suka kongsikan dengan para pembaca bahawa suicidal thought ini ada tiga peringkat:
1. Suicidal thought: pesakit rasa nak mati dan nak bunuh diri.
2. Suicidal ideation: fikiran pesakit sudah ada perancangan bagaimana melakukannya seperti cerita saya di atas. Fikiran ini bukan pesakit fikir dengan kehendaknya sendiri tetapi datang tanpa diminta jadi kalau anda kata jangan fikir kepada kami memang sangat tidak relevan.
3. Suicidal attempt: pesakit buat seperti dorongan fikirannya iaitu cubaan bunuh diri.
Jadi suicidal attempt ambil masa yang lama juga tambah kalau pesakit boleh dan usaha nak lawan diri sendiri. Ada pesakit yang buat bukan sebab nak bunuh diri sebab dia tahu bunuh diri tu berdosa tapi lebih kepada nak mendiamkan fikiran yang asyik datang suruh buat perbuatan tersebut.
Confessor menyebut tentang luahan-luahan di group sokongan yang wujud di FB. Memang ada. Saya juga masuk dalam satu group. Tak perlu dicari ya. Cukuplah keserabutan yang ada di group tersebut. Ada juga orang yang tak sakit tapi masuk dan ambil kesempatan kepada pesakit-pesakit ini.
Pesan saya kepada yang sakit seperti saya, jika anda masih rapuh fikiran dan emosi serta ada sokongan yang baik tak perlu masuk pun tak apa. Sebab memang banyak post luahan yang akan buat anda trigger. Saya masuk group tersebut selepas dah remission state. Jadi saya tak tergugat atau triggered dengan kisah-kisah yang diluahkan. Sekadar nak cari sokongan positif tetapi bila baca luahan di situ, banyak lagi keadaan yang teruk dari saya. Jadi saya ambil yang positif sahaja.
Yang bagusnya, ahli di group tersebut bagus, saling menyokong dan cuba bagi nasihat dan kata-kata yang positif. Cuma setelah masuk, baru saya tahu sebenarnya bukan pesakit depresi sahaja dalam group tersebut walaupun group untuk pesakit depresi. Ada yang skizofrenia, ada bipolar, ada borderline personality disorder, ada yang sihat tapi masuk sebab ada ahli keluarga yang sakit.
Tetapi, ada tetapinya ya. Kalau anda tak ada sokongan langsung dari orang sekeliling masuklah. Sekurang-kurang anda tidak rasa keseorangan dalam berjuang. Apa-apa pun dapatkan pertolongan dan rawatan dari doktor psikiatri dan patuh dengan rawatan. Jangan diagnos sendiri lepas tu tak cuba merawat diri.
Sebenarnya memang ramai orang yang depress disebabkan manusia sekeliling yang toksik dan teruk. Sebab itulah ada kisah basuh tandas dengan berus gigi housemate yang dia geram. Saya baca luahan tu jadi saya tahu group mana yang dikatakan confessor.
Kita tak tahu apa yang dilalui oleh orang, jangan hukum semua pesakit depresi. Sejak sakit saya jumpa ramai pesakit MDD dan bipolar. Semuanya ada kisah silam yang menyedihkan. Mereka jadi begitu kerana banyaknya penderitaan yang biasanya disorok dari mata umum.
Jadi bila dalam group sesama pesakit dia rasa nak luah sebab di situ saja yang dia rasa selamat untuk meluahkan. Kebanyakannya hilang percaya kepada orang sekeliling sebab merasakan tidak difahami. Jadi kalau yang ada dalam group begitu bagilah nasihat yang baik.
Saya tengok ada komen katanya orang depress ni negatif dan tak terima nasihat orang. Untuk pengetahuan semua, cognitive impairment di mana ada bahagian otak pesakit telah menurun atau hilang fungsinya menyebabkan pesakit hanya menerima perspektif negatif sahaja. Kalau anda cakap benda yang positif pun kadang mereka tak nampak. Sebab otak dah tak terima perspektif positif.
Jadi janganlah buruk sangka dan biasa mereka ini akan salah sangka dengan percakapan orang dan rasa mereka ini tidak difahami. Disebabkan ini juga mereka hilang percaya kepada orang dan makin teruk walupun hanya disebabkan perkara kecil. Mereka tak sedar ya yang mereka berfikiran negatif. Ada cara nak sedarkan mereka. Tapi kena dengar luahan mereka dan cuba positifkan balik kata-kata tu. Bukan cakap asyik negatif saja awak ni.
Saya tak tahu nak cakap bagaimana sebab saya sendiri pun sedar saya negatif lepas kakak saya tanya kenapa saya kena panick attack, dan bila saya fikir semula sebabnya sangat kecil hanya kerana saya dah lama sakit fizikal dan saya jadi malu berjumpa orang dan saya tak sedia nak cerita bila orang tanya pasal kesihatan tapi kesannya sampai saya kena panick attack. Dari situ saya dah nampak macam mana nak neutralkan balik fikiran saya.
Untuk kalian yang sihat, saya mohon bantulah kami. Kami juga mahu hidup normal seperti kalian. Saya sendiri pernah sampai berdoa kepada Allah, “Ya Allah tolong selamatkan aku dari diri aku sendiri”. Masa itu, saya dah tak kenal diri sendiri, takut dengan diri sendiri, takut nak jumpa orang, hilang harapan, tak rasa nak hidup dan rasa berada dalam lubang yang gelap tak tahu bagaimana nak keluar.
Syukur saya kepada Allah, walaupun jauh dari keluarga, Allah berikan saya sahabat-sahabat yang baik. Teman saya jumpa doktor, mendengar luahan saya, dokong saya, ajak saya solat, pergi kelas dan makan. Ada yang kadang-kadang tolong habiskan makanan saya di pinggan sebab saya tak lalu makan.
Jika dikenang semula memori setahun melawan depresi, selalu saja mata berkaca kadang tidak sedar pun air mata meleleh di pipi. Mungkin faktor berlatarbelakangkan jurusan perubatan yang belajar tentang penyakit ini menyebabkan mereka sangat menyokong saya selain kawan-kawan saya ini memang solehah belaka. Tanpa mereka saya mungkin masih terperuk di dunia saya yang gelap.
Keluarga juga sangat menyokong, alhamdulillah. Ummi dengan ayah selalu bagi nasihat dan dorongan walaupun jauh. Saya pernah tanya Ummi, “macam mana ummi boleh tenang dan yakin Wa akan sihat?”. Ummi saya cakap, ummi yakin bila kakak cerita pasal kemurungan ni dan kakak cakap boleh sihat. Kakak saya doktor juga dan orang pertama yang tahu saya sakit kakak saya.
Saya anggap sakit ini sebagai blessing in disguise. Sejak sakit saya berazam untuk bantu semampu boleh pesakit-pesakit depression khususnya dan pesakit mental yang lain. Saya katakan pada ummi, “Wa rasakan ummi, hikmah Wa sakit ni Allah nak Wa bantu orang.” Sebabnya saya jumpa ramai yang depress lepas saya sakit. Ada yang saya tolong bawakan jumpa psikiatri di sini. Saya tahu macam mana sakitnya, jadi saya tak mahu orang juga sakit seperti saya.
Depression sebenarnya boleh sembuh. Bahkan prognosisnya baik berbanding penyakit mental lain. Semakin cepat rawatan semakin baik prognosis. Jadi saya sangat berharap kepada kalian yang normal dan sihat untuk bantu yang sakit ni. Kalau kalian biarkan itulah yang boleh jadi sampai nak mencederakan orang atau bunuh orang sebab dah ada psikosis atau mungkin dah jadi skizofrenia.
Bayangkan jika semua orang berfikir perlu jauhkan diri dari pesakit mental sebab takut dicederakan apa akan jadi? Kami tak mungkin sembuh sebab rasa tak berguna bila orang menjauhkan diri.
Saya tak mungkin sembuh dalam masa setahun kalau tak ada sokongan dari orang lain. Kalau siapa yang duduk dalam bidang psikiatri atau pesakit tahulah, tak ramai pesakit boleh sembuh dalam tempoh yang singkat sebab ramai yang tak dapat sokongan dari orang yang terdekat. Ada yang sembuh pun berulang semula.
Pokoknya sokongan kita semua sebagai masyarakat penting untuk pesakit-pesakit mental. Akhirnya saya nak mengajak anda supaya jadi prang yang berbuat baik kepada orang sekeliling.
Mari kita beramal dengan hadis Nabi, “Seorang muslim itu yang menyelamatkan muslim lain dari (keburukan) lidahnya dan tangannya”. Jaga tutur kata dan perbuatan. Fikir baik buruknya pada kita dan orang lain dan ingatlah bahawa Allah Maha Melihat. Jadilah orang yang prihatin dan berempati.
Oh ya, kalau ada fakta yang saya salah boleh betulkan. Saya tahu ada pembaca yang doktor juga. Hehe Saya selalu juga nampak senior-senior saya komen di sini.
Sekian. Salam sayang dari depression survivor. Maaf terpanjang pula luahannya.
– Hawa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit