Derhakakah Aku Sebagai Anak?

Salam semua. Saya anak sulung dari 8 beradik. Ayah merupakan bekas pesara kerajaan dan ibuku seorang surirumah sepenuh masa.

Nak dijadikan cerita segalanya berubah bila ayah nak kahwin lain. Ibuku pula sanggup bermadu. Hubungan saya dan ayah tak seperti dulu.

Kami kurang bercakap, jarang bertegur. Saya pernah tengok status whatsapp ayah mengatakan jika ibu bapa sudah mula takut untuk menegur anak, sudah dianggap derhaka.

Saya bukanlah suka-suka nak melayan ayah saya sebegitu, tapi bila terkenangkan apa yang jadi sebelum dan selepas dia kahwin baru itu yang menyebabkan saya jadi begini. Banyak perkara yang buat saya jadi tidak redha dengan cara dia.

Walaupun ayah saya kerja kerajaan, kami bukanlah orang yang senang. Hidup kami sederhana sahaja. Ayah saya masa mudanya kaki judi, kaki perempuan. Mungkin sebab itulah hidup kami tak pernah senang.

Ibuku pula jenis seorang yang penyabar. Segala masalah dia suka pendam seorang diri.

Kami sekeluarga pernah dengar cerita buruk ayah daripada orang lain. Segala macam cerita yang kami dengar, kami pula yang rasa malu.

Bila ibu tegur, ayah tengking ibu. Ayahku seorang yang panas baran tetapi dia bukanla kaki pukul. Tetapi selepas dia bersara, ayah mula “slow down” dengan sikapnya itu.

Ibuku pula seorang yang sangat pendiam. Seorang yang jarang tinggal solat, rajin, pemalu. Tapi pemalunya sangat teruk sehinggakan ingin menjejakkan kaki ke laman hadapan rumah pun jarang sekali.

Apatah lagi bila ayah ingin mengajak keluar berjalan atau ke rumah saudara mara, ibuku akan menggelengkan kepala menyatakan tidak.

Bukan sebab dirinya tidak mahu, tetapi dirinya malu untuk berjumpa dengan orang lain. Seakan bila berjumpa orang, ibuku akan jadi seolah tak tentu arah. Bila diajak keluar ke mana-mana, ibuku akan cepat mengajak kami pulang ke rumah.

Mungkin sebab itulah ayahku mencari pasangan baru. Manakan tidak, kenduri saudara mara apatah lagi hari raya ibuku tidak akan turut serta. Hanya kami adik-beradik saja yang akan mengikut ayah.

Ayah jadi malu sebab sikap ibuku itu yang tidak suka bergaul dengan orang lain.

Sebelum perkahwinan dengan isteri yang kedua ini, ayah berjanji akan berlaku adil. Saya pada mulanya saya menentang perkahwinan mereka kerana saya tahu ayah saya bukan mampu untuk menyara dua keluarga.

Manakan tidak, semasa kami adik beradik masih bersekolah, ayah selalu tidak cukup duit sampai meminjam sana-sini. Sampaikan makan pun berhutang dengan kedai runcit. Inikan pula ingin bernikah baru dengan janda anak tiga. Mampukah dia?

Saya selepas habis sekolah ada mendapat tawaran belajar di universiti. Memikirkan kesusahan ayah bekerja seorang diri menyara kami 8 beradik, saya putuskan untuk tidak sambung belajar demi menolong ayah.

Saya sanggup merantau ke negeri lain untuk mendapatkan pekerjaan dan gaji yang lebih.

Setiap bulan saya akan hantar duit ke akaun ayah untuk perbelanjaan tetapi ayah mesti akan minta lebih nak bayar yuran adik sekolah.

Kadang-kadang kereta rosak dan sebagainya untuk belanja. Saya tidak pernah berkira kerana itula niat saya bekerja ingin membantu apa yang patut.

Saya masih ingat jasa ayah membesarkan kami adik beradik walaupun masa mudanya perangai tak semenggah. Akan tetapi segala duit belanja yang diberi tidak pernah ke tangan ibuku.

Apabila dapat tahu ayah ada menjalin hubungan dengan janda itu, saya jadi tidak redha dengan apa yang saya dengar.

Saya rasa menyesal membantu ayah. Saya rasa macam diri saya dipergunakan. Ayah gunakan duit yang saya beri setiap bulan untuk dihabiskan dengan perempuan lain.

Keadaan jadi tegang apabila ayah menyatakan niat ingin berkahwin dengan perempuan itu. Saya sudah mula jadi marah dan menentang. Ibuku pula turut apa kemahuan ayahku sedangkan ibuku tidak berfikir apa akan jadi selepas ayah berkahwin lain.

Saya sudah risau ayah akan abaikan kami adik beradik, duit belanja sudah tidak diberi, abaikan tanggungjawab sebagai ayah. Ternyata apa yang saya fikirkan memang terjadi. Semenjak itu saya sudah tidak pedulikan ayah.

Saya pernah bercinta dengan seorang perempuan yang saya kenal hampir 10 tahun. Kami hampir bertunang tetapi setelah keluarganya dapat tahu ayah sudah berkahwin dua.

Keluarga dia melarang untuk teruskan pertunangan dengan alasan risau jika saya ikut perangai ayah yang tidak semenggah itu. Saya amat sedih tapi apakan daya jodoh tiada. Sampai sekarang saya tidak berkahwin lagi dek kerana ingin membantu keluarga.

Kadang terasa ingin mengalah sampaikan terfikir untuk pentingkan diri sendiri berbanding keluarga.

Mahu tidak mahu saya harus kuatkan diri sebab saya ada tanggungjawab. Kalau pasal keluarga sendiri saya sudah mengalah apatah lagi bila sudah berkahwin kelak. Saya tidak mahu jadi seperti ayah.

Saya cuba menerima “ibu tiri” saya itu dalam hidup kami. Perangai dan sikapnya bagi saya baik-baik sahaja.

Cuma selepas berkahwin baru ini, apa yang dijanjikan ayah sebelum kahwin tidak seperti apa yang dijanjikan. Saya makan hati dengan sikap ayah.

Masanya banyak dihabiskan dengan isteri baru berbanding kami yang selama ini bersusah payah bersamanya. Dulu kami adik beradik ajak berjalan makan angin ayah selalu memberi alasan tiada duit dan malas katanya.

Tetapi bila melihat status whatsapp ayah selalu membawa isteri barunya makan angin. Kami adik beradik kecil hati dengan sikap ayah.

Sekarang saya yang mengambil alih tugas ayah jagakan adik-adik dan ibu.

Semenjak dari itu kami sudah kurang ambil berat dengan ayah. Ayah balik rumah pun kami rasa dia seperti orang asing. Terasa janggal bila dia ada di rumah.

Saya bukanlah mahu jadi anak derhaka. Cuma sikapnya itu membuat saya menjadi benci akan dirinya. Saya ingat segala jasa yang ayah pernah buat untuk saya dan saya beryukur.

Tapi entah mengapa saya jadi begini. Saya rasa kosong dengan apa yang berlaku. Sekarang saya lebihkan adik-adik dan ibu sahaja.

Sampai di sini sahaja luahan saya. Terlalu banyak ingin diceritakan tapi cukuplah sampai di sini. Ada orang lain yang lebih besar masalah mereka daripada saya. Saya doakan agar kita semua kuat dalam menghadapi segala cabaran. Terima kasih.

– Dekwan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *