5 tahun berturut-turut aku diuji. Allah betul-betul sayangkan Aku, Insya Allah.
Ujian demi ujian, aku bangkit tapi kali ni aku penat.
20 Ogos 2018 – Aku accident. Jatuh ditempat kerja. Parah di pinggul kiri dan tulang belakang. Hampir setahun aku dapat MC dari hospital.
Setahun tak dapat bekerja. Lantas, aku diberhentikan kerja. Tuntutan PERKESO dinafikan.
Nak mohon Zakat selangor, baru nak ambil borang, dah kena herdik dan hina dengan staff di kaunter sampai aku malu (yeah, sebab ramai yang nampak aku dimalukan. Baik pelanggan atau staff di situ)
Ayat paling memalukan, staff kaunter bertanya, “Encik ada bayar zakat tak untuk mohon Zakat ni? Encik dah tak de duit sangat ke sampai nak mohon bantuan? Mana duit insurans atau PERKESO atau simpanan Encik?”.
Bertubi-tubi soalan ditanya dengan riak wajah yang serong kepada aku. Disebabkan itu, aku menangis teresak-esak. Kalau aku mampu, aku tak kan minta bantuan.
Namun, alhamdulillah aku masih berjaya melalui 6 pembedahan/prosedur di tulang pinggul dan satu pembedahan utama tulang belakang. Terpaksa aku jual segala aset, minta bantuan mak ayah dan adik beradik dan sebagainya.
2019 – 2020 – Aku terlantar akibat kesan kemalangan dan kesan sampingan pembedahan. Masih tidak bekerja. Rayuan PERKESO tetap ditolak.
Time ni juga, aku dah sampai dirujuk ke Pain Clinic, HKL. Aku juga rasa sangat tidak mahu hidup. Sebab aku dah macam mayat hidup je.
Tapi Allah sayangkan aku. Ramai sayangkan aku.. aku tersedar dari perasaan putus asa. Namun aku masih bertongkat dan banyak aktiviti aku tak mampu untuk lakukan.
Bayangkan, nak angkat air dari cerek pun aku tak mampu. Sampai air panas dalam cerek tumpah dan melecur kaki aku.
2021 – Saat aku baru nak bangun, aku dilanda Covid-19, Stage 4, komplikasi jantung dan paru-paru. Aku terpaksa lupakan peluang pekerjaan dan peluang untuk aku pulih. Lama betul aku dalam wad.
Doktor selalu bagi sokongan. “Awak muda, awak kena lawan. Jangan tidur. Jangan putus asa. Jangan tinggalkan mak ayah awak yang harapkan awak pulang ke pangkuan mereka”.
Alhamdulillah, aku sembuh dari Covid tapi kesan sampingan atau Long Covid yang aku alami sangat menyusahkan.
2022 – Keluar masuk wad kerana long covid, dan masalah jantung dah umpama kisah harian yang aku harus hadapi.
Rumah kedua aku sama ada di HKL atau Hospital Selayang. Prosedur jantung dilakukan, dan alhamdulillah aku rasa tambah sihat.
2023 – Dalam masa aku meniti saat untuk bangkit, lagi sekali aku kena serangan jantung. Kali ni berbeza. 19/1/2023 sehingga 21/1/2023 aku berada dalam ICU.
Aku keluar wad, cuba berehat tapi mungkin aku Masih belum berdaya sehingga aku rebah semula pada 20/2/2023 dan masuk ke wad kritikal. Aku rebah kerana terlalu penat dan stress dengan masalah hidup.
Semasa dalam wad, bila dengar penjelasan doktor-doktor pakar mengenai jantung aku, aku macam, tak pela. Lantaklah. Aku tak pasti reaksi apa perlu aku berikan.
24/2/2023, doktor pakar cakap dari muka aku je – riak wajah dan kekusaman, dan mata panda aku, boleh nampak aku tak cukup rehat walaupun aku dalam wad.
Selain masalah jantung, mungkin aku stress dan takut. Doktor sahkan aku ada uncontrollable hypertension.
24/2/2023, petang, doktor cakap, “Saya lepaskan awak balik.. balik ni, awak rehat. Spend masa dengan family supaya ada kenangan antara awak dan mereka”.
Alhamdulillah. Aku dibenarkan pulang. Tapi Aku tau, keadaan aku amat rumit. Aku lemah.. aku penat.
Aku bagi tahu mak ayah mengenai sekiranya hari aku pergi tiba. Aku bagi tahu mak ayah yang simpanan kwsp dan sedikit wang simpanan aku, semuanya aku letak atas nama mak ayah.
Ayah mak yang selama ni berdiam dengan keadaan aku, tapi kali ni mereka menjawab,
“Mak ayah lahir dan besarkan kau untuk tengok kau bahagia, kuat dan mudah segalanya. Bukan nak tengok kau sakit atau mati atau juga mahukan duit dari kau. Kau kena lawan semuanya.”
Tapi Aku memang penat, lesu dan tak mampu dah nak hadapi semuanya. Aku nak rehat lama. Penat. Aku tak mampu nak buat banyak aktiviti.
Pakar beritahu, walaupun tiada satu pun salur jantung aku tersekat/blocked, tapi jantung aku bergerak lemah, nak pam darah pun lemah, dan blood flow aku agak lemah.
Adakalanya pakar cakap, akan jadi “turbulence blood flow”. Dalam masa yang sama, aku ada masalah kekejangan otot jantung, salur darah jantung yang membengkak dan sempit dan ada penebalan otot jantung.
Aku ada cita-cita, aku ada impian. Tapi aku tak pasti sama ada mampu untuk dicapai atau tidak.. Nasib baik juga aku masih lagi bujang. Aku hanya terpaksa susahkan mak ayah aku sahaja.
Doakan aku dipanjangkan usia, berfikiran positif, disembuhkan segala penyakit serta doakan mak ayah aku sihat dan dipanjangkan usia sebab aku nak mereka lihat aku sembuh dan berjaya dalam kehidupan. Aamiin…
– Acoi (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit