Derita Bella

Assalamualaikum. Aku baru selesai merintih menangis di tikar sejadah mengadu perihal sakitnya hati kerana manusia, dan terbaca penulisan Aishah “RAPUH” (https://iiumc.com/rapuh/). Aku ukur dengan diri sendiri, kisah yang lebih kurang sama cuma kisah aku berkisarkan jodoh.

Aku berusia 34 tahun, tak cantik tapi mak selalu cakap anak dia ni comel. Anak-anak saudara pun selalu puji bila aku berdandan, masing2 dah menginjak usia 20 an dan dah ada buah hati. Aku bongsu perempuan, adik beradik 10 orang. Dalam ramai2, aku je lah yang belajar sampai Degree dan dapat kerja berpangkat sikit. Sikit je.

Dari masa umur aku 20 an, ramai lelaki yang cuba nak pikat tapi aku pilih Zack. Aku bertunang dengan dia lepas habis degree umur 25 tahun. Tapi tiada jodoh. Zack kantoi curang berkali-kali dengan aku, dia juga guna semua duit dalam bank aku yang kami collect sama2 sebagai tabung untuk kenduri nikah.

Ya, aku tolong Zack untuk kumpul duit hantaran. Dia guna tanpa maklumkan pada aku, bila aku minta kad bank, macam2 alasan diberi sampailah masa aku mengamuk bila dia kantoi bermaksiat dengan staff kat tempat kerja dia, siap ada love bite kat leher. Kami putus tanpa aku dedahkan pada kedua-dua belah keluarga asbab kami putus.

Yang pasti, mak Zack call aku marah-marah sebab tinggalkan anak dia, dan dia ungkit betapa menyesalnya dia layan aku seperti anak sendiri selama ini. Aku menangis terduduk, masa tu tengah meeting dan elok pulak aku kena amuk dek lady boss. Semua orang ingat aku menangis sebab kena marah. Biarkan, aku tak perlu explain.

Beberapa tahun selepas putus tunang hingga sekarang, ada sentiasa lelaki yang ingin menghulurkan salam tapi aku tak berani membalas. Aku kecewa beberapa kali. Selepas Zack, aku berkenalan dengan Ali. Tujuh tahun muda dari aku tapi dia matang. Dilayan aku cukup baik, pandai menjaga hati dan bijak membaca tingkah laku aku. Dibawa aku berjumpa ibunya. Gagal. Ibu tak restu kerana aku jauh lebih tua. Maka merana lagi setelah dua tahun kami bercinta.

Berkenalan dengan Jamal, aku katakan pada dia, aku tidak akan menerima sesiapa lagi selagi lelaki itu tidak berjumpa keluarga aku. Dan, Jamal berani datang berjumpa ibu di rumah kakak selepas 2 bulan kami berkenalan. Aku percaya Jamal serius, aku sangkakan ini kali aku dapat merasa kehidupan rumah tangga. Tapi sangkaan aku meleset.

Suatu hari Jamal hilang dari radar selama 4 hari, call dan whatapp langsung tak berbalas. Aku resah. Hari ke5 dia muncul dengan wajah sugul, katanya dia dimasukkan ke wad kerana demam. Kami bertengkar tapi aku kalah. Aku tetap percaya padanya. Suatu hari, Arif, kawan aku dari zaman sekolah yang tahu aku couple dengan Jamal memaklumkan yang Jamal baru menikah dengan gf dia dari zaman U. Allah, dugaan apa ini?

Aku tanyakan pada Jamal melalui Whatsapp namun Jamal menafikan sekeras2nya dan memujuk agar aku tidak percaya kepada fitnah. Aku forward gambar dia akad nikah yang aku dapat dari Arif, maka terkedulah si Jamal. Disangka dapatlah bermadu tiga, tapi belum dua pun dah kantoi. Aku tinggalkan Jamal dengan hati yang hancur lebur.

Bulan 11 tahun lepas, aku balik dari Umrah. Ada seseorang perkenalkan aku dengan Syahir. Pada mula aku tak suka, aku dah tiada hati mahu berkahwin. Tapi memikirkan mak dan ayah yang sudah tua, yang teringin untuk melihat aku dijaga oleh seseorang, aku lembutkan hati yang sekeras kerikil.

Aku terima Syahir memandangkan dia telah berterus terang untuk memperisterikan aku secepat mungkin, katanya bercinta selepas nikah. Aku setuju. Aku perempuan yang sedang memperbaiki amal ibadahku, yang telah menyerahkan jiwa ragaku pada Allah SWT dan aku percaya Syahir lelaki yang Allah datangkan, seperti doaku ketika di hadapan Ka’abah.

Bulan 2 Syahir datang merisik aku di kampung, dia datang bersama 2 orang teman dan bukan dengan keluarga. Owh ya, Syahir tua satu tahun dari aku. Ayah berkenan dengan keberanian Syahir dan aku nyatakan pada ayah, aku sukakan Syahir bila ayah ajukan padaku adakah benar ini pilihanku.

Masa Syahir datang merisik, katanya kami akan bertunang bulan 4 dan nikah bulan 8 tahun ini. Aku percaya. Syahir kerja sendiri, lulusan SPM dan dia sedia maklum aku bekerja di Syarikat korporat dan punyai jawatan.

Aku katakan aku tidak memandangk harta, cukup lelaki itu boleh membimbingku ke jalan Syurga. Aku diuji lagi. Kami tidak jadi bertunang, malah majlis untuk bulan 8 juga tidak nampak bayang. Rupanya Syahir tidak menceritakan langsung perihal aku pada keluarga dia, termasuk ibu ayahnya.

Bulan 4 juga aku ceritakan pada orang tengah yang perkenalkan kami (aku panggil Kak Gee) , aku tidak mahu teruskan tetapi dipujuk Kak Gee, katanya Syahir ada masalah keluarga. Dan, Syahir juga berjanji untuk mempertemukan aku dengan ibunya. Janji tinggal janji sampailah aku sendiri yang munculkan diri di hadapan ibunya ketika kenduri di rumah Kak Gee.

Kak Gee paksa aku datang, diperkenalkan pada ibu dan adik2 Syahir. Masa tu Syahir dah 2 hari hilang dari radar, tidak membalas mesej dan tak angkat call. Aku? Lali. Aku dah tak tahu bila aku patut beralah. Hati aku beku. Aku tebalkan muka jumpa ahli keluarga Syahir. Dia? Batang hidung pun tak nampak walaupun dimaklumkan oleh adiknya tentang kehadiran aku.

Bulan Ramadhan baru2 ini aku dekatkan diri dengan Sang Pencipta. Saban hari ke masjid hinggalah tamat Tarawih. Setiap malam doaku diulang ulang yang sama. Ya, waktu mustajab itu aku tak pernah bazirkan. Air mata tak pernah kering, menginsafi diri kerana terlalu mengejar cinta manusia.

Aku pasrah, aku tidak mahu berumahtangga kerana disuruh. Tapi, kalian tahu kan masyarkat kita? Aku kasihankan ibu ayah, pasti mereka malu andai aku tidak jadi kawin lagi. Aku menderita walau luarannya aku kelihatan ceria.

Aku doa agar Allah ambil nyawaku ketika aku dalam Husnol Khotimah. Tapi, bagaimana hidup aku di dunia. Apa yang aku perlu bagitahu ibu ayah tentang sikap Syahir yang sambil lewa dengan aku.

Bulan lepas dia janji untuk datang hantar rombongan bersama keluarganya untuk mengikat tali pertunangan. Tapi, sejak aku sampai ke kampung 30hb, hingga 8 Jun, satu mesej dari Syahir pun aku tak terima apatah lagi untuk membincangkan tarikh pertunangan. Bodohkah aku untuk terus berharap? Hati aku? Tiada lagi rasa…

Yang aku fikirkan, hanya air muka keluarga dan hati ibu ayah…

– Bella (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *