Derita dan Bahagia

abtu, 12 Mei 2018. Hari cuti buat hampir semua orang. Aku bangun agak lewat, kononnya untuk menikmati rehat sepuas-puasnya sebelum bekerja hari Isnin. Aku keluar dari bilik dan melihat rumah kosong. Perut lapar dan aku teringin untuk makan semangkuk maggi. Sambil masak maggi, aku tanak nasi dan membuat secawan ice-blended untuk dinikmati bersama maggi kari yang panas dan pedas. Hot and spicy. Aroma maggi panas ditambah pula dengan asap maggi yang berkepul-kepul membuatkan perutku semakin lapar. Aku menghirup kuah maggi perlahan-lahan memandangkan kuahnya masih terlalu panas. Beberapa detik kemudian, ibu pulang. Katanya ingin merasa maggiku lalu kuhulurkan kepadanya. Datang pula saudara seibu sebapaku yang aku gelarkan B, mahukan maggiku itu. Aku katakan tidak kepadanya kerana hatiku masih panas dengan tindakan dua malam sebelum ini. Terus-terusan aku katakan tidak namun makin menjadi-jadi amarah. Hatiku masih sakit kerana ditampar tanpa sebab dua hari lalu. Selain ditampar, tanganku dipulas-pulas sehingga aku menjerit kesakitan. Apakan daya seorang wanita kerdil seperti aku untuk melawan kudrat lelaki dewasa sepertinya. Badan yang besar dan berat yang berkali ganda dariku membuatkanku tidak mampu melawan dari segi fizikal. Telingaku berdesing setelah ditampar. Sakitnya jangan kau katakan, memang amat sakit. Justeru itu, apabila B mahukan maggiku, aku katakan tidak.

Tolakan aku membuatnya marah. B mengugut untuk menuang dan menumpahkan maggi itu kepadaku. Aku hanya mampu menjerit memandangkan maggi itu masih terlalu panas dan aku khuatir akan keselamatanku. Ibu di situ tidak memarahi B namun menggelarkan aku kedekut gara-gara aku tidak mahu berkongsi maggi dengan B. Aku membawa maggi masuk ke dalam bilik untuk mendapatkan sedikit ketenangan bagi menikmati semangkuk maggiku. Secara tiba-tiba, pintu bilikku dikuak dan aku dibaling dengan objek yang keras. Aku menjerit kerana terkejut dan marah. Maggi itu masih panas dan aku kaget sekiranya maggi itu akan tumpah. Ibu memarahiku kerana katanya itu hanyalah objek kecik sahaja. Perkara ini berulang beberapa kali dan aku juga yang dimarahi. Salah satu objek yang dibaling adalah pistol Nerf yang tumpat dan keras itu. Tidak sakitkah sekiranya terkena badan atau tangan? Aku geram lalu menolak mangkuk maggi itu sekuat hati. Selera makanku hilang ditambah lagi dengan hati yang panas dan badan yang sakit. Ayah keluar dari bilik melihat kekecohan yang berlaku. Aku hanya mampu menjerit sekuat hati sambil menarik rambutku kerana dirotan ibu. Kata ibu aku marah kepadanya namun hakikatnya aku marah kepada B. Aku berterusan dimarahi ayah. Katanya, perkara sebegini tidak pernah berlaku dan aku sengaja mengada-mengada.

Tatkala itu, memori-memori episod masa lalu bermain di dalam kepalaku. Perkara ini bukanlah pertama kali berlaku. Aku hampir dibunuh B. Aku pernah dilempar bekas plastik berisi barangan-barangan kesayanganku termasuklah trofi dan piala. Kotak itu pecah dan bertaburanlah segala isinya. Tanganku calar-balar. Aku cuba menelefon ibu, nenek dan orang yang terdekat. Namun tiada siapa yang mengangkat telefon. Jujurku katakan, aku berasa seolah-olah aku bakal mati pada ketika itu. Apabila ibu pulang dari kerja, aku yang dimarahi. B juga pernah hampir melemaskan aku di kolam renang. Sipi-sipi sahaja aku berjaya meloloskan diri.

Itu baru B. Ayah? Seseorang yang kononnya alim dan warak pada luaarannya tapi perwatakan sebenanrnya amatlah bertentangan. Aku pernah diikat di tiang meja makan, dikurung di dalam bilik air, dirotan dengan tongkat untuk berjalan gara-gara aku mengubah susunan perabot di dalam bilikku. Aku pernah dilempang, ditarik rambut dan dihentakkan ke dinding. Itu dari aspek fizikal. Mental? Cacian dan makian itu adalah benda biasa sejak dari kecil lagi. Pelbagai tohmahan dilemparkan kepadaku tetapi apakan daya. Aku pernah menunjukkan mesej yang dihantar ayah kepada rakan-rakanku kerana aku tidak berjaya menamatkan hafalanku pada tingkatan 4. Mereka hanya mampu memberikan kata-kata semangat dan simpati.

Ibu? Aku dikatakan berkira untuk membantu membuat kerja rumah. Seharian aku sekolah, keluar pagi pulang lewat malam. Aku meminta bantuan B untuk membuat kerja rumah namun semestinya aku yang dimarahi. Suatu ketika, ada iklan di televisyen yang mengajar anak-anak menabung dengan cara meminta upah apabila melakukan kerja rumah. Aku cuba cara itu, dan akibatnya aku dimarahi seteruk-teruknya. Aku juga ingin berkongsi masalah dengan ibu, namun apakan daya. Hubunganku dengan ibu dan ayah amat keruh. Aku rasa terasing dan tersisih. Walaupun bukan salahku, sudah semestinya aku yang dipersalahkan.

Aku iri hati melihat kawan-kawan yang rapat dengan ibu bapa mereka. Aku rasa amat tersisih sejak dari kecil lagi. Makan hati? Itu perkara biasa. Pada usia 6-7 tahun, aku pernah terfikir yang aku ini anak angkat. Aku juga pernah terfikir hendak membunuh diri sejak dari bangku sekolah rendah lagi kerana aku tidak tahan lagi dengan tekanan perasaan dan keadaanku. Pelbagai cara pernah aku cuba. Melemaskan diri, mencekik leher, menggantung diri, menekup muka dengan bantal. Namun setiap kali aku cuba melakukan perkara ini, aku pasti akan berhenti kerana aku tahu perkara ini salah. Aku tahu hukum-hakam dan dosa. Aku tidak mahu mati dalam keadaan suul khatimah.

Aku teramat bahagia apabila mendapat tawaran ke sekolah berasrama dan matrikulasi. Aku dapat hidup dengan aman dan tenteram. Namun apabila cuti panjang tiba, perkara sama berulang lagi. Aku dikatakan pemalas, gila dan sebagainya walaupun kebersihan rumah tip-top. Fizikalku juga acap kali diejek dan dicerca ahli keluarga sendiri memandangkan mukaku berparut jerawat. Kata orang rumahku syurgaku. Namun bagiku rumahku nerakaku. Aku ingin membawa diri jauh dari sini. Aku juga ingin bahagia seperti orang lain. Segala pandangan dan nasihat kalian akan aku baca. Doakan kebahagiaanku.

– Timun

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *