Derita Hidup Seorang Insan Kerdil

Aku nak kongsi kisah hidup aku yang baru mencecah usia 19 tahun pada Januari lepas. Aku dilahirkan dalam keluarga yang serba cukup. Bukanlah keluarga kayangan, tapi hidup selesa dan cukup.

Orang tengok aku macam seorang yang tiada masalah. Semua nak boleh dapat. Tapi realitinya berbeza.

Aku dianggap sebagai anak paling bermasalah dalam keluarga. Jika berlaku apa-apa masalah atau kesilapan dalam rumah, pastinya aku yang menjadi mangsa. Setakat disepak tumbuk tu dah macam perkara biasa dalam hidup aku.

Aku pernah dipukul dengan rotan sehingga berbirat dimuka, dengan senduk kayu sehingga ia patah, batang penyapu pon pernah hinggap kepala aku.

Ibu bapa aku memang layan aku lain berbanding adik beradik ku yang lain. Kakak sulungku dan adik perempuan ku (anak ketiga) mendapat layanan yang lembut kerana mereka perempuan.

Adik bongsu ku (lelaki) pula dimanjakan kerana dia anak bongsu. Maka aku lah yang menjadi mangsa dalam semua keadaan.

Pernah beberapa kali seluar aku dibuka oleh ibu bapa aku dihadapan semua adik beradik ku yang lain, sebelum aku dibelasah mereka dalam keadaan separuh telanjang.

Aku pernah berkongsi kisah ini dengan kaunselor di sekolah ku.

Namun kaunselor itu berasa sangsi dengan apa yang aku ceritakan ini kerena keputusan peperiksaan ku antara yang paling cemerlang di sekolah itu dan mencerminkan pelajar yang mempunyai masalah keluarga.

Beliau pon bertanyakan pendapat daripada ketuanya. Ketuanya pula bertanyakan kepada kakak ku betul ke apa yang terjadi itu. Habis lah, satu keluarga dah tahu. Teruk aku dibantai selepas pulang sekolah hari tu.

Ketika tingkatan 3, aku nekad aku hendak berpindah ke sekolah berasrama pada tahun hadapan kerana tidak sanggup lagi menjadi mangsa pembulian keluarga sendiri.

Keputusan PT3 keluar, aku dapat 9A. Aku sudah membayangkan diriku seolah-oleh bebas daripada tahanan penjara. Akhirnya aku terpilih untuk bersekolah di MRSM dan SBP.

Selepas berfikir panjang dan bertanyakan pendapat daripada guru-guru, aku memutuskan untuk pergi ke SBP kerana bidang yang ditawarkan ialah Sains Kejuruteraan yang memang mengena dengan minat ku.

Pada penghujung tingkatan 4, aku diserang sawan buat kali pertama. Ketika ini aku sendiri tidak tahu bahawa aku mengidap sawan. Doktor tidak menyarankan aku untuk mengambil ubat kerana ini kali pertama aku diserang.

Pada awal tingkatan 5, aku kene sekali lagi. Kali ini aku terpaksa mengambil ubat kerana takut diserang lagi. Selepas mengambil ubat hanya sekali aku terkena sawan iaitu 1 hari sebelum kertas kimia SPM diduduki.

Selepas tamat SPM, aku mulai rapat dengan seorang guru yang sebelum ini aku rasakan memberikan perhatian lebih kepadaku berbanding rakan sekelas yang lain. Gelaran ‘Alpha’ ni pun diberikan oleh dia.

Hubungan kami menjadi semakin rapat selepas aku memberitahu yang aku menganggap dia sebagai ibu angkat ku.

Aku berasa sangat gembira kerana akhirnya aku dapat seorang yang sudi mendengar luahan hati ku. Setiap kali ibu bapa ku memukul ku, aku akan bercerita kepadanya.

Aku memanggil dia dengan gelaran ‘Mummy’. Aku selalu berasa cemburu apabila anak-anak dia dapat bermanja dengan nya.

Aku pernah memberitahu dia tentang perasaan cemburu ku itu. Dia kata, “Alpha pon anak mummy juga. Jadi kalau Alpha nak manja ngan mummy pon boleh.”

Hubungan kami terus mesra dan rapat selepas aku menyambung pengajiaan di Pulau Pinang.

Pada satu hari, suaminya melarang dia untuk berhubung dengan ku. Tanpa sebarang penjelasan, dia terus block aku. Aku hanya mengetahui keadaan ini daripada kawan baiknya. Itu pun selepas hampir seminggu aku bertanya.

Aku buntu, tidak tahu apa harus dilakukan. Aku menjadi sangat tertekan dengan kehilangan ini yang ditambah dengan keluarga ku.

Sekarang, sawan ku selalu menyerang. Ubat yang diambil seakan tiada kesan. Sehinggakan ketika menjawab peperiksaan akhir juga aku diserang sawan. Akibatnya, aku tidak sempat menghartar kertas jawapan peperiksaan online tersebut.

Aku telah menghabiskan beribu ringgit untuk membuat rawatan. Namun keadaan aku masih sama.

Aku pernah ditemui tidak sedar diri di tepi jalan oleh orang awam. Dia menghantar aku ke klinik kesihatan berhampiran. Aku hanya menyedarkan diri lepas tiba di zon kecemasan selepas doktor memberikan suntikan.

Aku pernah pengsan di dalam bilik lalu kepala ku terhantuk dibucu tajam sehingga belakang kepala ku berdarah.

Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan untuk mengatasi keadaan aku ini. Hanya tangisan dan doa sahaja yang mampu aku lakukan.

– Alpha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *