Assalamualaikum. Aku bukan pesakit HIV. Tapi adik aku.
Aku tak tahu macamana nak mula. Pertama kali aku tulis disini, cuma niat aku bukan nak buka aib sesiapa, tetapi mudahan apa yang aku ceritakan ini menjadi pengajaran buat yang lain. Apa yang berlaku ini, tiada siapa yang jangka, adik aku, Ali akan terjebak.
Aku cuba untuk ringkaskan cerita. Ali ni seorang adik yang dari kecil lagi dia bijak. Dari segi akademik, dari darjah 1 sampai menengah, selalu dapat no 1, pelajar terbaik, semua A dia sapu, sehinggalah selesai buat ijazah pertama (degree), dia ditawarkan untuk buat Phd fast track, maksudnya tak perlu buat sarjana (master).
Kemudian, dia mula terlibat dalam bidang perniagaan, dan bisnesnya sangat maju! Kejayaan demi kejayaan dia perolehi. Dia menjadi inspirasi bagi ramai orang. Kami sangat berbangga dengannya. Untuk pengetahuan juga, keluarga aku sangat pentingkan pencapaian akademik, tapi ajaran agama tak pernah dilupakan.
Namun, semenjak kecil, ayah aku selalu outstation, waktunya dengan anak-anak sangat sedikit, jarang sekali nak bawa kami jalan-jalan, apatah lagi nak mendengar luahan anak-anak. Kesannya hingga dewasa, kami semua jarang berkomunikasi dengan ayah. Jadi, mak lah yang mendidik anak-anaknya yang sangat ramai.
Hingga la suatu masa, Ali tiba-tiba jatuh sakit. Dia tinggal jauh dari keluarga, seorang diri. Di awalnya dia maklumkan hanya demam dan sesak nafas. Namun ianya berlarutan hingga berbulan. Bila kami pinta dia pulang ke kampung, pelbagai alasan dia berikan. Sehingga lah suatu hari, mak ayah tekad minta dia balik juga.
Sebaik tiba di kampung, terkejut kami dengan perubahan dirinya. Demam kuat, sesak nafas, kurus, mulut berbau, kulit ada seperti kurap. Kami terus bawanya ke hospital. Namun, keputusan dan diagnosis semuanya doktor hanya beritahu pada Ali. Keadaannya juga agak kritikal sewaktu itu.
Kami tertanya-tanya untuk dapatkan kepastian, walaupun sudah mula mensyaki sesuatu. Aku mencari alternatif lain dan mendapat jawapan. Terpaku, terduduk, terdiam bila tahu. Aku menangis semahunya. Tidak tahu nak beritahu siapa, kecewa sungguh. Apatah lagi perasaan mak ayah kalau tahu ini. Ali lah anak harapan mereka, anak kebanggaan.
Namun, hati dan naluri seorang ibu siapapun tak boleh tipu. Mak aku boleh agak dia sakit apa. Aku beritahu kakak aku saja. Dia sajalah tempat aku boleh bercerita. Seperti dijangka, dia juga kecewa, tapi dia beritahu dia boleh agak, Ali selalu ada perlakuan yang mencurigakan.
Aku mula menyiasat, terkejut dan sedih sangat. Rupanya selama ini dia ada pasangan, lelaki. Mereka tinggal bersama, pergi bercuti bersama. Semuanya Ali yang tanggung. Padanlah walaupun bisnesnya sangat maju, tetapi selalu saja dia tiada duit.
Perbuatan songsangnya aku beritahu keluarga aku kerana aku harap adik-beradik yang lain dapat menasihatinya juga. Bahkan, ada adik-beradik aku maklumkan, patutlah dia ada ternampak history laman web lucah yang melibatkan lelaki sama lelaki di komputer kami semasa zaman kami sekolah dulu.
Orang yang paling kecewa, pastinya mak ayah aku. Mak aku termenung lama dalam kereta masa dia kritikal di wad. Aku tak sanggup tengok. Pastinya hancur berkecai hati seorang ibu yang selama ini gigih mendidik dan membesarkan. Tapi, mak ayah aku tak buangnya, kami adik beradik juga.
Keluar dari wad, mak aku terus menjaga nya, berpura-pura seolah tidak tahu Ali sakit apa. Ada ketika aku call mak aku, mak menangis, ada ketika dia berlakon kuat. Aku hanya tahan tangisan supaya mak aku juga kuat.
Tapi selepas letak call, tumpah juga air mata aku. Setiap hari memikirkan soal Ali. Aku takut, aku berharap sangat dia bertaubat atas perbuatannya. Perbuatannya Allah murka, Nabi tak mengaku ummat.
Kami tak menghukum nya. Hari-hari kami bersilih ganti menasihatinya. Beruntung Allah bagi dia sakit, ada masa lagi untuk bertaubat. Kami ni entahlah berapa gunung dosa. Kami semua nak sangat bertemu kembali dalam syurga, walaupun hubungan kami taklah rapat macam keluarga lain, tapi air yang dicincang takkan putus.
Guys, tolong lah korang bertaubat. HIV dalam kalangan homoseksual sangatlah tinggi, tinggi sangat! Masa siasat pasal Ali, aku jumpa golongan songsang ni ramai sangat dalam kelompok profesional, guru ada, motivator ada, doktor ada, ustaz pun ada.
Guys, kalau pun korang tak takut pada Tuhan, tak ingat pada Nabi, tak kisah pasal maruah ibubapa, tapi ketahuilah, perbuatan yang Allah murkai, Allah bagi azab di dunia lagi, HIV antaranya. Aku menangis tiapkali mak aku cerita pasal Ali.
Demamnya berlarutan, kadang muntah. Sejak dia sakit, hingga ke harini, belum dapat menjamah walaupun sebutir nasi, mulutnya penuh dengan kulat putih dan ulser. Bubur hanya sesudu dua saja dapat telan sehari. Jus buah-buahan kadang tak dapat telan. Kadang-kadang hanya dapat minum susu sesudu dua sahaja apatah lagi nak nikmati makanan mewah yang dulunya menjadi kegemaran Ali.
Mak ayah aku tak pernah putus asa, selalu usahakan apa jua dia nak makan yang kemudian tak dapat pun masuk mulut. Merata cari ikhtiar berubat. Aku kesian sangat dekat mak ayah aku yang usianya dah sangat tua. Kadang Ali sesak nafas, tak dapat tidur.
Ya, sejak dia sakit, mak ayah pun aku tak lena tidur. Setiap malam, mak ajar dia mengucap, mak takut suatu hari dia bangun pagi Ali dah tiada selamanya dalam keadaan dia tak sempat mengucap.
Kulitnya pun ada kulat. Sakit sangat bila bersentuhan dengan baju dan seluar. Area lain aku tak tahulah macamana. Sangat derita keadaannya. Sejujurnya, tiapkali solat aku doa Allah bagi hidayah kat dia, Allah ampunkan dosa-dosa dia & Allah tamatkan penderitaan dia. Aku tak sanggup. Aku kesian kat dia, dan aku kesiankan mak ayah aku juga.
Guys, HIV tiada ubat, yang ada hanya rawatan dan ubatan yang boleh melambatkan virus-virus itu makan badan kalian. Kulat mulut, penyakit kulit, penyakit kelamin, ada juga yang kemudiannya mendapat kanser.
Guys, bayangkan lah, bila dah keadaan begitu, macamana korang nak berdepan dengan masyarakat, macamana korang nak sembunyikan lagi perbuatan korang. Bila mati pun, aib pada badan tu orang akan nampak.
Tolong guys, usahalah hentikan perbuatan songsang tu, hentikan perbuatan yang Allah larang. Sedap dan seronoknya sekejap saja, tapi azab kesakitan tu sengsara nak tanggung di dunia juga di akhirat. Tolong guys, kalian bertaubat sebelum terlambat.
Pada yang bergelar ayah, tolong luangkan masa dengan anak-anak, peranan seorang ayah sangat besar dalam kehidupan seorang anak. Aku juga waktu kecil pernah beberapa kali fikir nak bunuh diri, nak lari rumah, sangat stress. Alhamdulillah, Allah bagi hidayah pada aku untuk sedar. Aku pun simpati pada adik aku, apalah agaknya dia lalui zaman kecilnya hingga dia terjebak dalam kancah ini.
Aku percaya mak aku dah usaha mendidik sebaiknya, tapi apalah daya seorang ibu andai bapa tak mainkan peranan sama, dah la anak pun ramai. Harta yang dikejar tak membawa ke mana-mana. Boleh berbangga dengan kejayaan anak-anak, tapi apalah gunanya jika tiada ikatan kasih sayang.
Utamakanlah keluarga kalian, beri masa pada anak-anak, kesannya 20, 30 @ 40 tahun lagi baru kita nampak. Didiklah anak-anak sedalamnya dengan ilmu agama dalam zaman penuh fitnah dan tipu daya ini.
Aku harap luahan ini akan disiarkan, supaya dapat memberi pengajaran pada yang lain. Ujian pada keluarga kami, dah tak dapat kami undurkan masa, dah berlaku. Kami terima dan redha, apa jua yang berlaku nanti kami akan hadapi sama-sama. Moga kalian dapat doakan kesejahteraan buat adik aku tercinta, Ali.
– Nuur (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit