Assalamualaikum. Aku ingin berkongsi cerita aku sebagai mangsa ketidakharmonian sebuah keluarga. Aku anak ke 4 dari 5 orang adik beradik. Abang dan kakak-kakak aku semua dah bekerja. Aku baru habis belajar tahun lepas dan sekarang sudah bekerja. Adik aku masih di university tahun akhir.
Cerita nya begini. Ayah kami bukan lelaki yang baik seperti ayah orang lain. Di luar sangat menjaga akhlak dan tingkah laku. Tutur kata nya sopan dan lembut. Pernah rakan-rakan ayah memuji ayah di depan ibu, katanya untung ibu dapat suami macam ayah. Huh, tetapi sebenarnya ibu menderita. Hanya kami anak-anak yang tahu.
Atuk dan nenek belah ibu memang tak tahu perangai ayah. Ibu simpan keburukan ayah dari keluarga ibu, tapi adik beradik ibu seperti paksu tahu perangai ayah aku. Macam mana boleh tahu, panjang ceritanya dan tak perlu aku cerita di sini. Atuk dan nenek sebelah ayah? Biasalah, walaupun tahu perangai ayah, tetap back up perangai anak sendiri, maklumla, anak, seburuk-buruk anak tetap dipuji dan dipuja, yang buruk tetap menantu.
Sebab tu aku memang setuju bila orang kata, menantu tetap orang luar, tak mungkin di anggap seperti darah daging sendiri. Ini memang aku lihat sendiri bagaimana nenek dan atauk belah ayah aku layan menantu-menantu mereka. Kesilapan anak mereka dia anggap biasa, tak akan nasihat kesalahan anak mereka. Menantu jgk disalahkan akhirnya.
Kami adik beradik memang sudah lama makan hati dengan sikap ayah, dari kecil lagi, sebab tu kami menjauhkan diri dari dia. Ayah, di luar rumah tutur kata nya sopan, tidak pernah meninggi suara, tapi dengan ibu, meninggi suara tak tentu masa. Ada kala ibu melawan, adakala ibu hanya mampu menangis.
Agama? jangan cakapla, sembahyang tidak penuh, tak malu dengan isteri dan anak-anak, selamba tinggal solat tanpa perasaan bersalah. Aku tak faham jenis orang yang tak rasa bersalah bila tinggal solat. Alhamdullillah ibu memang didik kami agar tidak tinggalkan solat walau apa pun berlaku. Dari kecil ibu yang kejutkan kami solat, ingatkan waktu solat dah masuk, ajar kami huruf jawi dan hantar kami belajar mengaji.
Ibu walaupun bekerjaya, tapi tanggungjawab didik anak memang excellent, tapi ayah? hidup dia macam tak ada anak. Dulu semasa kami semua masih bersekolah, ayah bila balik rumah, tengok tv, baca surat khabar, makan dan tido, kadang-kadang keluar rumah balik kul 1 – 2 pagi. Katanya ada kerja, padahal ibu pun bekerja juga, tak ada pula ibu nak siapkan kerja di waktu malam tinggalkan kami adik beradik.
Antara ibu dan ayah, jawatan ibu lagi tinggi dari ayah. tapi ayah ibarat orang besar waktu itu. Ibu pula balik kerja, settlekan makan anak-anak, duduk dengan anak-anak siapkan kerja sekolah, kalau sempat settlekan baju-baju.
Bila ibu minta tolong ayah untuk tengokkan anak-anak siapkan kerja sekolah, ayah buat muka dan tinggikan suara. Ibu kesiankan kami, selalu kene tengking dengan ayah masa buat kerja sekolah, lebih-lebih lagi kalau kami buat silap. Sebab itu kami lebih suka ibu yang temankan kami, aman tenteram kami buat kerja sekolah.
Tapi kesian ibu, semua beban atas bahu dia. Perbelanjaan rumah yang aku tahu memang ayah dan ibu kongsi sama rata, gaji ayah tak besar mana pun. Ibu banyak bantu. Itupun ayah tak hargai ibu. Hish tak tahu la lelaki jenis apa ayah aku ni. Tak malu makan duit isteri. Tapi ye la, tak sembahyang pun tak rasa bersalah dan berdosa, inikan pula guna duit isteri.
Dulu masa sekolah, ibu yang sibuk belikan baju dan kasut sekolah kami dan bagi duit belanja. Pagi-pagi, ibu hantarkan kami ke sekolah. Ayah cuma tahu beli rokok dia dan uruskan diri dia sahaja. Pagi-pagi ayah menonong je hidupkan enjin kereta tinggalkan kami adik beradik dengan ibu. Ibu la yang terkejar sorang-sorang uruskan kami.
Bila teringat balik bagaimana ibu terkejar-kejar, berlari-lari anak di waktu pagi uruskan kami, sedih pulak rasa. masa ambil laporan akademik anak-anak di sekolah pun ibu yang susah payah datang sorang-sorang. Sungguh, tak mampu aku jadi seperti ibu. Macam mana ibu boleh hidup dengan keadaan seperti itu pun aku masih tak boleh nak faham.
Ibu pernah beberapa kali minta cerai dengan ayah, sehingga pernah ke pejabat agama untuk sesi kaunselling, tapi ayah tetap degil tak nak ceraikan ibu. Ye la, sapa tak nak isteri macam ibu aku, bekerjaya, pandai urus anak-anak, pandai jaga penampilan, jaga tingkah laku, kurang bersosial, duduk rumah habiskan masa besarkan anak-anak. Ayah aku pula tinggal jaga diri sendiri je, tak perlu pikir anak-anak.
Sebab itula aku rasa rezeki ibu memang melimpah, walaupun ibu banyak habiskan gaji dia untuk keluarga dan anak-anak, ibu masih mampu beli rumah atas nama ibu sendiri, bukan satu atau dua, tapi tiga buah rumah dan sebidang tanah. Ibu mampu buat simpanan pendidikan untuk kami adik beradik dan juga simpanan untuk menunaikan haji.
Aku pernah tanya pada ibu, kenapa ibu sahaja yang bersusah payah buat penolakan gaji setiap bulan untuk simpanan anak-anak, ibu cakap, rezeki ibu adalah rezeki anak-anak, berkat bila berkongsi rezeki dengan ahli keluarga sendiri. Aku terus sambung, habis tu ayah? Kenapa tak buat macam ibu? Ibu cuma cakap, lain orang lain sikapnya.
Semasa abang kawin, ibu suruh abang bersumpah atas nama ibu sendiri agar tidak berperangai seperti ayah, tak mahu bakal isterinya dan anak-anaknya menderita. Ibu kata, seandainya abang menyakiti hati isterinya, hidupnya akan ditimpa musibah hingga akhir hayat.
Apabila berkahwin, alhamdullillah, abang memang tidak seperti ayah, segala urusan anak, abang yang buat, dari mandikan anak, tukar pampers anak, suap anak makan, buat susu, tidokan anak, even basuh botol susu pun abang yang buat. Kakak ipar hanya selesaikan kerja rumah, kemas rumah, memasak, dan basuh baju.
Kami tahu sebab kadang-kadang kami duduk dirumah abang seminggu dua bila cuti semester bermula. Tak sanggup nak hadap muka ayah lama. Tapi kami rindu nak duduk dengan ibu lama-lama. Tapi bila nampak muka ayah, memang spoil mood aku adik beradik.
Kami akan cuba elak makan satu meja dengan ayah. Memang tak boleh hadap muka ayah lama-lama. Waktu raya memang kami salam ayah, tapi salam besertakan perasaan berat hati dan benci. Waktu salam ibu, kami akan jadi sayu, yang perempuan akan mengesat air mata, yang lelaki pula mata pasti berair.
Lepas salam cepat-cepat tengok tv ke, masuk dapur ke, lari dari ayah. Pernah dulu masa sekolah kami adik-beradik tanya sesama sendiri, bila la ayah nak ceraikan ibu atau bila la ayah nak mati. Sampai tahap tu kami tak sanggup nak ada ayah lagi. Mungkin kami berdosa ada perasaan benci pada ayah, tapi ayah yang menyebabkan munculnya perasaan benci.
Mungkin ada yang kata, patut bersyukur ada ayah lagi. Sesungguhnya, kami lebih bersyukur kalau ayah lenyap dari hidup kami. Aku percaya, pasti ada diluar sana yang mengalami situasi yang sama dan hanya mereka sahaja yang faham kenapa kami bersyukur bila lelaki-lelaki begini lenyap dari hidup kami.
Pasti ada yang kata pula, dah tua dah ayah kamu tu. Ye betol, tua itu pasti untuk setiap orang, kami tak kan ganggu kehidupan tua dia dan kami minta jangan ganggu kehidupan kami, Cukupla kegembiraan kami semasa kecil hilang, biarlah kami habiskan hidup kami dengan gembira pula bila kami dah dewasa.
Aku sekarang bila ada makcik pakcik tanya bila nak kawin, dah ada calon atau tidak, aku memang agak fobia. Aku takut nak ada komitmen dengan lelaki. Pengalaman aku tengok ayah aku sendiri menyebabkan hati aku memang tertutup untuk lelaki. Kakak-kakak aku dah bekahwin, setakat ni yang aku tahu, salah seorang abang ipar aku ada sedikit perangai baran macam ayah aku, kakak aku sedang dalam proses cerai, manakala yang seorang lagi nmpk macam sopan, tapi tak tahu la.
Aku susah nak percaya lelaki. Secara jujurnya, bila aku tengok lelaki, aku boleh jadi sakit hati tak tentu pasal. Aku teringat setiap waktu apabila ayah aku maki-maki dan tinggi suara pada ibu dan anak-anak. Even perkara kecil pun ayah aku nak marah-marah. Aku memang tak boleh nak hadam lelaki jenis baran, benda boleh settle nak jugak marah-marah.
Sekarang kami dah besar, ayah memang tak berani nak marah-marah macam dulu, tapi kadang-kadang dia terlepas juga baran nya sikit. Kami adik beradik memang melawan sekarang. Bukan lawan mulut, tapi kami terus angkat bag, terus keluar rumah. Kami adik beradik memang sorang pun tak pernah telefon ayah, memang telefon ibu sahaja. Duit belanja pun kami bank in ke akaun ibu sahaja.
Ibu tak pernah hasut kami benci ayah, tapi ibu faham betapa kami terseksa dengan panas baran ayah masa kami kecil dulu. Kami pernah bagi tahu ibu yang ayah ibarat neraka bagi kami, bila dia ada di rumah semua jadi tak kene, tapi bila ayah tiada di rumah, suasana ibarat syurga. Bila kami beritahu begitu kepada ibu, ibu hanya peluk kami, menangis dan suruh kami bersabar.
Aku pernah berdoa, panjangkan umur ibu dalam kesihatan dan kebaikan, agar dia dapat menimati hidup dengan gembira dengan anak-anak tanpa suami yang tak mampu buat dia bahagia. Allah masih belom makbulkan doa aku. Aku cuma kesiankan ibu aku. Dah tua-tua pun masih hadap baran ayah. Aku cuma nak ibu aku dan adik-beradik aku hidup gembira dan bahagia bersama-sama. Aku rindu nak berkumpul dengan adik-beradik dan ibu tanpa kehadiran ayah.
Buat orang yang panas baran aku doakan korang segera berubah dan jangan buat orang lain derita disebabkan baran kamu. Kalau tidak mahu atau tidak boleh berubah, aku harap kamu akan berjumpa pasangan yang panas baran juga, biar buku bertemu ruas.
– Mangsa panas baran seorang ayah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit