Dia Asbab Aku Berubah

Nama aku Azman, anak sulung dari 4 beradik, berasal dari utara.

Aku dilahirkan dari keluarga yang biasa-biasa sahaja. Dari kecil sampai aku habis sekolah, mak ayah aku sibuk bekerja. Yelah, sebab kami tak kaya dan tak juga miskin.

Sebab mak ayah terlalu sibuk bekerja, mungkin aku kurang dalam didikan agama.

Dari kecil, aku dan adik aku dihantar ke rumah atuk untuk makcik aku mengasuh kami sementara mak dan ayah aku keluar bekerja.

Dan dari situ, seumur aku 4–5 tahun, aku diperdaya atuk aku dengan perbuatan yang terkutuk.

Pernah mengadu pada mak dan makcik, tapi diorang tak percaya. Yelah, budak-budak mengadu, diorang cakap budak-budak cakap merepek.

Selepas atuk aku meninggal masa aku umur 9 tahun, aku rasa aku dah bebas. Tapi tidak.

Aku diperdaya pula dengan sepupu-sepupu (ya, bukan seorang tapi 2 orang — sepupu sebelah mak dan juga sepupu sebelah ayah) aku dengan perkara-perkara terkutuk itu lagi.

Dah terbiasa dari kecil dan juga kurang didikan agama, aku pun menjalani hidup songsang sampai lah umur aku 34 tahun tahun ini.

Aku pernah sambung belajar di IPTS di ibu kota tapi setelah semester 2, aku terpaksa berhenti belajar disebabkan ayah aku terpaksa diberhentikan kerja oleh syarikatnya yang makin lumpuh ketika itu.

Jadi aku bagi ruang untuk adik aku yang juga menyambung pelajarannya di IPTA untuk terus belajar.

Dan aku mengambil keputusan untuk terus tinggal di ibu kota dengan alasan untuk bekerja di sini bagi membantu keluarga.

Ya, aku bekerja. Alhamdulillah, Allah lindung aku dari terjebak dengan perkara-perkara yang orang kata “culture shock”. Tapi aku masih menjalankan aktiviti songsang aku.

2014, aku pulang ke utara sebab aku dah tak boleh survive dekat ibu kota lagi. 2019, ayah aku meninggal secara mengejut.

Dua tahun aku murung sebab sejak aku balik ke kampung, aku baru nak mula rapat dengan ayah aku. Yelah, dulu dia sibuk kerja, ayah aku pula orang yang agak baran, jadi anak-anak takut nak rapat dengan ayah.

Sejak dia dah tak kerja, mungkin faktor usia juga, anak-anak baru nak rapat dan ayah pun dah mula belajar solat dan ke surau.

Selepas 5 tahun ayah aku pergi, aku balik semula ke Kuala Lumpur tapi kali ni niat aku datang betul-betul nak kerja walaupun pekerjaan aku kali ni kawan kepada “partner” aku yang recommend.

Ya, aku betulkan niat, sememangnya aku datang nak kerja. Aku putus dengan “partner” aku dan dengan tak sengaja aku kenal dengan seorang Abang Bomba.

Setelah beberapa bulan aku berpacaran dengan Abang Bomba, dia diberi hidayah untuk berubah. Kami putus dan dia lah yang tak putus-putus nasihat pada aku untuk kembali kenal Allah.

Alhamdulillah, aku belajar solat. Aku solat bukan sebab Abang Bomba tu, ya. Aku berubah sebab ada satu hari aku terdetik — Allah dah bagi aku semua, Allah dah mudahkan urusan aku, kenapa aku masih lalai dengan perintah Dia?

Mungkin asbab dia yang tak putus doa dan nasihat aku untuk kenal Allah jugalah aku mula cari dan kenal siapa Tuhan aku.

Betullah, Allah hadirkan seseorang dalam hidup kita, mesti ada sebab. Kita saja perlu pilih jalan yang kita nak lalui. Tipulah dalam kita nak berubah, kita tak diuji. Kadang ada rasa goyah, cuma aku lawan.

Aku harap pada sesiapa yang baca, doakan aku terus kekal istiqamah dan perlahan-lahan berubah ke arah kebaikan.

– Azman (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *