Untuk part I, (https://iiumc.com/dia-ibu-bapaku/)
Assalamualaikum. Terima kasih kalian yang sudi memberikan kata-kata semangat dan positif, sangat kuhargai. Izinkan aku menyambung lagi sedikit coretan hidupku.
Kami sekeluarga pernah hidup terputus bekalan elektrik dan air kerana tunggakan bil yang banyak untuk beberapa bulan.
Jadi, adik lelakiku (aku gelarkan Ki) akan menadah air hujan untuk kegunaan harian. Malam kami diterangi cahaya lilin. Ki dan abangku juga akan berulang alik ke tali air berhampiran untuk mengangkut air ke rumah.
Makan juga bercatu. ibu akan memasak telur dadar dicampur gandum dan dipotong kecil untuk kami sekeluarga. Kami pernah memasak dengan menyalakan kayu api, kerana kehabisan bekalan gas untuk memasak.
Ketika itu, ibu akan menghalangku pulang dari asrama kerana katanya kehidupan di asrama lebih baik.
Makan minumku lebih terjaga. Jadi hal pertama yang aku lakukan setelah berkerja adalah melangsaikan tunggakan utilities berjumlah lebih RM600. Kerana waktu itu aku nekad, aku bekerja untuk memperbaiki kehidupan keluarga kami.
Hal ini menjadi titik tolak bapa memandang aku berduit dan gajiku mampu menampung segalanya. Aku tahu aku sebenarnya lemah. Lemah apabila memikirkan nasib ibu dan adik-adik yang tinggal bersama bapa.
Jika ingin menggunakan wang, alasan seperti motor rosak, kehabisan gas memasak, dan adik-adik perlu membayar buku diberikan.
Jika benarlah duit yang diminta untuk membaiki motosikal tiada, aku khuatir adik-adikku tidak dapat meneruskan persekolahan.
Duit untuk membayar buku jika benar tiada, nama adik-adik akan diseru di dalam kelas dan dipulaukan rakan-rakan sepertiku dulu. Duit untuk membeli gas jika benar tiada, ibu dan adik-adik akan kelaparan.
Keterbatasan ini yang menyebabkan aku tunduk kepada desakan bapa. Aku tak ingin adik-adik dalam kesusahan sehingga pembelajaran mereka terjejas.
Tinggal di Kawasan pedalaman dan bukanlah semua perkara boleh di access online banking, membeli barang keperluan terutamanya.
Tambahan, waktu itu Ki masih belajar dan belum mampu membantuku.
Aku memutuskan perlu serius menyimpan kerana setelah hampir 2 tahun bekerja pun masih belum ada wang simpanan dan Ki sudah mula bekerja. Usaha untuk mempertahankan hak sendiri bukanlah mudah.
Beberapa kali Ibu Bapaku menghubungi untuk meminta wang lebih walaupun aku telah peruntukkan sejumlah bulanan tetap untuk mereka.
Aku berkeras menyatakan gaji aku cukup2 untuk membayar hutang.
Bapa akan provoke aku dengan hal yang tidak berkaitan, dan aku tanpa berselindung akan mengungkit keculasan dia memberikan nafkah buat anak-anak dan ibu, betapa dia tidak menghiraukan nasib anak-anak yang masih belajar.
Aku menjadi lantang bersuara kerana bapa masih meminta duit biasiswa adik, seperti mana ketika aku masih belajar. Dia akan melatah dan memutuskan panggilan.
Jujur aku katakan, kelemahan aku apabila tidak mendengar perkhabaran ibu untuk tempoh masa yang lama. Aku menjadi resah.
Baik baikkah ibu dirumah? Silent treatment aku tidak bertahan lama. Ibu seorang yang sangat submissive dan patuh tidak bertempat. Bapa akan memukul ibu apabila tidak mendapat barang haram.
Sebelum aku berhijrah, aku lah yang selalu menjadi perisai ibu tika dipukul. Sebutkan sahaja makian, hanger, belt, paip PVC, paip getah, tampar, dipijak, terajang. itu semua telah ibu lalui. Badanku juga akan lebam dan luka apabila masuk campur mempertahankan ibu.
Pernah sebahagian belakang badanku lebam dan sakit kerana melindungi ibu dari kipas meja yang dibaling bapa. Malah aku pernah diteranjang dan dihalau keluar rumah dengan panggilan anak durhaka dan anak b**i.
Ya, aku memang akan keluar rumah berjalan seorang diri seperti orang gila dan menumpang tidur di rumah sahabat baikku sehingga keadaan reda.
Aku pernah lari kebalai polis di kampungku untuk mendapatkan bantuan tetapi polis disana mengatakan hal keganasan rumah tangga memerlukan mangsa -ibuku sendiri yang hadir membuat laporan.
Sesuatu yang mustahil ibu lakukan. Puas juga aku memujuk untuk ibu menuntut fasakh namun tiada hasil. Kini, aku kuatkan hati, demi ketenangan diri, rasa sunyi tanpa suara ibu terpaksa aku hiraukan.
Biarlah aku menumpang kasih suami dan ibu bapa mertuaku disini. Aku cuma berpesan kepada Ki untuk tengok-tengokkan ibu dirumah.
Alhamdulillah, sudah hampir setahun aku mendirikan rumahtangga bersama suamiku. Bersama dia dan keluarga mertua aku belajar bagaimana rasa dilindungi, melihat ibu bapa yang bertanggungjawab.
Bahawa kasih sayang ibu bapa bukan sekadar ucapan sayang, malah menjaga keperluan anak-anak dari segi ilmu dan keperluan asas ibu bapa mertuaku jenis yang bekerjaya dan melayani anak-anak dengan kasih sayang dan hormat.
Tenang rasanya apabila ada insan yang sudi menyayangi aku tanpa bersyarat. Suami juga mengajarku untuk menjadi lebih tegas dan mempertahankan hak diri.
Aku tidak mampu menyembunyikan sisi gelap keluarga untuk masa yang lama kerana sedikit demi sedikit kejadian yang terjadi menyingkap situasi sebenar kehidupanku.
Aku masih cuba menghalang suami dari masuk campur permasalahan keluargaku kerana tidak mahu menjejaskan perhubungan kami suami isteri kelak.
Adik-adik juga kini mengikuti jejak langkahku, semakin jauh melangkah menimba ilmu dan melanjutkan pelajaran. Motivasi utama yang aku terapkan, belajarlah tanpa jemu sehingga kau boleh keluar dari rumah ini-syurga yang tidak dirindukan.
Kerana kita lahir dari keluarga tidak berharta, hanya ilmu dapat mengubah masa depan.
Dengan ilmu, kau boleh melangkah jauh, membuka banyak peluang, dan ilmu menjadi panduan untuk membuat keputusan sehingga kau mampu mencorakkan kehidupan sendiri.
Adik-adik membesar menjadi lebih cekal dan cemerlang berbandingku. Menyambar setiap peluang yang terlintas dan mengukir satu demi satu pencapaian.
Aku berbincang dengan Ki merangka plan perbelanjaan adik-adik dan rumah di kampung agar beban dapat kami kongsi bersama.
Ki sangat memahami dan banyak membantuku. Aku menasihati Ki untuk mengawal perbelanjaan gajinya dan menyimpan untuk masa depan agar tidak menjadi sepertiku.
Aku sendiri akan menghubungi adik-adik bertanyakan keperluan menggunakan wang untuk pembelajaran dan aku memasukkan sendiri duit ke dalam akaun peribadi mereka. Barang keperluan rumah, Ki yang akan uruskan. Tiada lagi kiriman cash kepada bapa.
Cara ini lebih selamat. Aku masih berdoa kepada Allah agar bapaku berubah menjadi lebih baik, dan semoga aku berpeluang membahagiakan ibuku yang telah menderita berpuluh tahunnya.
Aku cuba ikhlaskan pemberian untuk keluarga, tanpa memikirkan keperitan hidup yang kami hadapi berpunca dari bapa dan sedikit sebanyak ibu. Dengan keperitan inilah aku banyak belajar untuk tidak mudah mengalah.
Sebagai ibu bapa, jalankanlah tanggungjawab anda kerana anak adalah amanah. Terima kasih sudi melayari kisah aku.
Buat pertama kali, aku lepaskan semua kisah duka dan lelah tanpa berselindung. Kerana aku telah tekad untuk memulakan langkah baru tanpa menoleh kebelakang.
Buat aku yang bakal bergelar seorang ibu tidak lama lagi. Aku pasti, masih ramai diluar sana yang mengharungi liku kehidupan yang lebih perit berbandingku.
Aku doakan kalian kuat, dan janganlah berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya, ada ganjaran menanti buat hambaNya yang sabar ketika diuji.
– An (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit