Dia Insan Terpilih

Assalamualaikum w.b.t. Terima kasih admin kerana siarkan kisah ini.Tergerak hati ini untuk berkongsi cerita kerana cukup terkesan melihat kisah OKU mencari rezeki. Sedih tengok insan yang kurang keupayaan gigih mencari
rezeki demi membesarkan anak-anak, kan? Sebenarnya, cerita yang ingin saya kongsikan ialah perjalanan hidup ayah membesarkan kami anak-anak ayah ni . Pandangannya gelap tetapi hatinya cerah. walau ayah tak pernah melihat
wajah kami, tapi ayah gigih mencari rezeki untuk menampung anak-anak ayah ni. Maaf cerita ini agak panjang sedikit, harap dapat di jadikan ikhtibar pada semua insan diluar sana.

Kehidupan ayah sewaktu dahulu seperti kanak-kanak normal, dapat melihat, dapat mengenal huruf, mengenal bentuk dan warna. Ayah juga seperti kanak-kanak normal. Tetapi segalanya berubah sewaktu ayah berumur 6 tahun kerana ayah diserang demam panas menyebabkan ayah mengalami kecacatan penglihatan, 100% tidak dapat melihat. Selepas itu bermula episod hidup ayah tidak dapat melihat lagi
pancaindera. Ayah tetap tabah meneruskan kehidupan. Ayah tak jadikan kekurangannya sebagai halangan, malah ayah jadikan kekurangannya sebagai satu kelebihan untuk dia lebih dekat denganNYA. Nawaitu ayah, hidup dan mati hanya kerana DIA.

Ayah tak pernah cerita kesedihan dia tidak dapat melihat lagi nikmat dunia, tetapi ayah banyak cerita tentang kejayaan dia. Berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran. Ayah menghabiskan waktu kanak-kanaknya dengan menghafal al-Quran dan ayah merupakan al-tahfiz yang Berjaya mencipta nama di peringkat kebangsaan dan Antarabangsa. Semangat hidup ayah memberi inspirasi kepada kami untuk Berjaya. Kejayaan ayah amat membanggakan kami, sekitar tahun 80-an, ayah kerap masuk TV, mewakili tilawah al quran,dan pencapaian terakhir ayah adalah mendapat anugerah tokoh bina ummah 2015 di peringkat negeri. Allahu, kami terharu. Kuatkan semangat ayah, ayah menjadikan dirinya sesempurna kita yang dapat melihat ni.

Ayah dan ibu betul-betul didik kami sehingga berjaya. Sewaktu kecil dulu, kami diterapkan dengan pendidikan sekolah dan agama yang cukup walaupun dahulu kewangan ayah belum stabil. Masa ayah tak ada di rumah, ibu lah yang menemani kami buat kerja sekolah dan sediakan segala persiapan sekolah. Sampai tersengguk menemani kami sampai lewat malam. Dahulu sekitar tahun 90-an, elektrik belum ada lagi, hanya bertemankan cahaya lilin sahaja . Dahulu Ayah sangat marah anak-anak tengok TV (kami tengok tv pun masa pergi rumah nenek) dan sebab itulah rumah kami tak ada TV. Ayah cakap TV banyak merosakkan pemikiran kanak-kanak dan melalaikan manusia. Tapi itu tak bermaksud ayah tak ambil tahu perkembangan semasa dan perkembangan dunia, ayah wajib dengar
berita di radio. Tanya sahaja isu apa sedang berlaku, dia akan tahu. Alhamdulillah, berkat didikan ayah
dan ibu, anak-anak ayah semua sudah berjaya sambung belajar di IPTA dan sekarang semua sudah bekerja dengan government. Dua dari anak ayah adalah student UIA . Alhamdulillah, Syukur ya Allah dengan rezeki dari Mu. Terima kasih ayah kerana berjaya mendidik kami menjadi insan yang berguna dan berbakti padamu.

kami bangga dengan ayah kerana ayah sangat berdikari. Ayah ni sangat gigih mencari rezeki dan ibu sebagai suri rumah memang 100% menjaga dan membesarkan kami dengan baik. Kesibukan ayah kadang-kala menyebabkan kami tidak sempat bersua muka dengan ayah. Ayah akan pulang lewat malam dari masjid ataupun tempat berceramah. Setiap malam selepas solat isyak di surau atau masjid, orang akan bawa ayah ke mana sahaja majlis ataupun untuk ceramah agama. Kemudian seawal 4pagi ayah akan bangun untuk tahajud dan melakukan solat sunat serta buat air penawar. Ayah tak tidur sehingga waktu subuh, ayah akan ke surau untuk menjadi imam di surau.

Selepas solat subuh, ayah terus di surau untuk sesi kelas mengajar mengaji al-Quran. Kelas ni terbagi dua iaitu untuk dua sesi dewasa dan kanak-kanak. Ayah mengajar hanya dengan mendengar orang mengaji, then dia akan tahu even tajwid salah, memang tak boleh kelentong tau. Ayah betul-betul mengajar dari alif ba ta sehinggalah berjaya khatam al-Quran. Even kami ni dulu, selagi sebutan tak betul, al-fatihah pun tak lepas lagi . Ada juga rasa nak nangis time tu huhu. Setiap tahun ramai khatam Al- Quran dengan ayah. Biasanya majlis di adakan di masjid besar untuk penyampaian sijil. Selain tu , Ayah juga mengadakan ceramah agama di surau setiap hari sabtu. Setiap kali ceramah ni, tersangat ramai datang, sehingga penuh surau. Dan memang ayah buat ceramah tanpa mengenakan bayaran.Untuk pengetahuan, Kelas mengaji ayah juga tak minta bayaran pun, cukup sekadar sumbangan orang nak bagi berapa. Kadang-kadang memang ada pun yang langsung tak bagi apa-apa tapi ayah ok je. Katanya, kalau dah rezeki kita, Allah bagi juga cuma kena rajin berusaha dan cari rezeki yang halal.

Manakala waktu rehat ayah hanya waktu tengahari sahaja. Masa itulah ayah akan berehat dan tidur. Selepas waktu asar, rumah tak putus-putus orang datang untuk berubat dan datang untuk dapatkan air penawar. Tapi ada juga datang time tengahari masa ayah tidur, pun ayah tak marah dan layan baik-baik.
Semakin hari, rezeki ayah semakin bertambah. Kami dah rasa senang dari dahulu. Kami Nampak ayah penat, tapi itulah ayah. Mungkin sebab itu Allah murahkan rezeki ayah. Setiap hari orang hantar makanan ke rumah, kadang-kadang terpaksa kami bahagi sedikit pada jiran-jiran bagi mengelak pembaziran kerana terlalu banyak makanan setiap hari. Dari segi transport juga tak pernah jadi masalah kerana akan ada sahaja yang datang ambil ayah
di rumah. Alhamdulillah, rezeki melimpah-ruah, ayah dah beberapa kali menunaikan haji dan umrah. Ayah bawa kami sekeluarga termasuk nenek setiap kali menunaikan umrah. Syukur, dapat menunaikan umrah di usia muda, Alhamdulillah, syukur ya Rabb. Terima kasih ayah sebab bawa semua anak-
anak ayah mengerjakan umrah. Hasil titik peluh ayah ini lah bawa kami jejak kaki ke rumah ALLAH. Allah permudahkan segala urusan kerana tahu niat baik kita kan.

Namun, pada dua tahun lepas, kami kehilangan ibu tercinta. Nampak ayah tenang tapi kami nampak air mata
ayah berlinang. Kami tahu ayah sedih, tapi ayah redha . Ayah tak tunjuk lemah. Bibir ayah tak henti berzikir, berdoa untuk arwah ibu. Kami tahu, ayah tak nak anak-anak tahu yang dia tengah
bersedih. Sungguh ketika itu terasa dunia gelap seketika, Ujian apa ini Ya ALLAH? Dalam hati bermacam-macam fikir. Bukan tak redha ya ALLAH, tapi kami merasa ujian sangat berat ketika itu.
Astagfirullahalazim, ampunkan hambaMU ini ya ALLAH. Ayah cakap, kita kena redha, yang hidup pasti akan mati, dan kita yang masih hidup kena teruskan hidup.Allahuakbar, kami tak kuat sebenarnya. Pesan ayah lagi,sedekahkan al-fatihah dan mengaji untuk arwah ibu. Alhamdulillah, kami adik beradik berjaya khatam al- Quran dalam masa 40 hari arwah ibu. Semoga ibu tenang di sana. Aamin.

Selepas pemergian ibu, ayah la ibu kami, ayah la bapa kami. Segala luahan perasan semua dengan ayah. Ayah sangat memahami, ayah menjadi pendengar setia kami. Ayah betul-betul mengganti tempat ibu. Kadang2 ayah buat lawak . Huhu pandai juga ayah bergurau untuk hiburkan kami. Setiap malam selepas ayah balik rumah, Ayah akan luang masa bersembang dengan kami. Sungguh ayah menjaga kami dengan baik, ini sedikit sebanyak terubat rindu kami terhadap arwah ibu.

Namun, tak lama kemudian kesihatan ayah merosot. Ayah sakit, bukan sakit biasa tapi kanser ayah dah tahap 4. Allahuakbar, terasa bertubi-tubi ujian ini. Ini ujian kedua terberat yang harus kami hadapi.Bermula dari itu, ayah dah tak dapat berjalan dan ayah hanya terbaring di katil sahaja. Susuk tubuh ayah semakin kurus. Ayah hilang selera makan. Sel kanser dah serang seluruh tubuh ayah. Ayah masa tu dah tak ada daya dah. Kami adik-beradik memang jaga ayah sepenuhnya kerana ayah dah tak mampu buat apa dah. Walaupun fizikal ayah sudah tidak kuat, tapi ingatan ayah masih kuat.

Ayah menghafal dan membaca ayat-ayat al-Quran dan zikir setiap masa sehingga ayah tertidur. Setiap kali waktu azan, ayah panggil kami cepat-cepat ambilkan wuduk untuk dia. Ayah cakap solat tak baik di lambat-lambatkan. Sepanjang ayah solat, kami di sisi ayah. Kami dengar setiap doa ayah. Antara ringkasan doa ayah, “Ya ALLAH semoga segala dosanya di ampunkan dan dipermudahkan
sakaratulmaut”. Sebak sangat. Kami adik-beradik keluar bilik ayah menangis. Tak nak dia tahu yang kami sedih. Keadaan ayah solat di atas katil ini berterusan sehinggalah ayah dah tak ada daya tapi ayah tetap solat dengan guna isyarat hati. Keadaan ayah semakin uzur.

Ayah panggil anak-anak. Ayah cakap yang ayah rindukan arwah ibu sangat2. Ayah cakap masa dia dah tak lama, Dia dah nak pergi, arwah ibu tunggu ayah dekat sana. Dalam hati, ya ALLAH KENAPA ayah mesti cakap macam tu, kami tak sanggup dah kehilangan buat kali ke dua. Kami dah tak kuat ya Allah. Kami tak sanggup lagi.Kami dah tak ada ibu, kenapa sekarang kami harus hilang ayah lagi. Kami menangis, dan yang sulung minta kami semua redha dengan segala takdir. Ya, kami mesti kuat dan redha, setiap orang akan hadapi kehilangan ibu bapa yang sangat sukar untuk terima pada mulanya. Hari semakin hari, keadaan ayah semakin uzur. Ayah dah tak boleh bercakap. Apa di Tanya hanya anggukan dan gelenggan kepala. Anak mana tak sedih tengok keadaan ayah macam tu. Tak tertahan sebak di dada. Setiap masa kami dengan air mata. Tak sanggup tengok keadaan ayah macm tu.

Pada malam jumaat, perginya ayahanda tersayang. Ya Allah, pergi jua ayah mengadap pencipta. Kami redha ya Allah. Ayah mengadap illahi dengan cukup tenang dengan menyebut nama Allah berulang kali. Sebutan ayah masa tu sangat jelas dan semua orang di situ dengar dan orang ramai berasa sebak dan menitiskan air mata. Terakhir nafas ayah menyebut LAILAHAILLALLAH. Semua orang terkejut memandangkan keadaan ayah yang uzur dan tidak dapat bercakap lagi masa tu. Allahuakbar, hebat kuasa Allah. Kematian yang cukup menginsafkan semua orang pada ketika itu.

Ayah mengadap penciptaNYA dengan senyuman yang manis dan wajah putih bercahaya. Muka ayah sedikit berpeluh dan terdapat sedikit air mata. Sungguh raut wajah ayah ketika itu sangat bersih dan bercahaya. Ayah, ini adalah kali terakhir kami tengok ayah dan lepas ni ayah dah dapat tengok kami di sana.

Alhamdulillah, pengurusan jenazah disegerakan dan di simpan sebelum solat jumaat. Solat dilakukan beberapa kali kerana terlalu ramai dan solat jenazah terakhir di lakukan di tanah perkuburan. Solat jenazah di imamkan anak ayah dan jenazah diturunkan ke liang lahad juga oleh anak-anak ayah. Kami ambil kesempatan menyempurnakan jenazah terakhir ayah. Ya Allah, Terima kasih kerana Engkau telah pinjamkan insan-insan yang sangat Teristimewa dalam hidup kami. Inilah anugerah terindah kami dapat.

Ayah, Berakhir sudah perjuangan ayah di dunia ini dan berakhir sudah segala kesakitan yang ayah tanggung di dunia, bibirmu tidak henti menyebut nama Allah, setiap masa mengingati Allah dan dirimu bersih dari dosa mata, semoga ayah bahagia di sana. Semoga Allah menggantikan nikmat di dunia ini dengan nikmat di syurga, bersama ibu dan adik (anak syurga).

Sesungguhnya Dia adalah insan terpilih, dengan membawa bekalan secukupnya di alam sana. Sungguh janji-janji Allah bagi seorang hamba yang soleh. Tenanglah ayah di sana bersama para solihin. Al fatihah buat ayah dan ibu.

– Anak Ayah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit