Dia Kembali Selepas Cinta Aku Pudar

Hi semua. Izinkan aku meluahkan kisah aku di sini.

Aku cukup terbeban dengan kehadiran seseorang yang kembali semula setelah menghancurkan hati aku.

Aku pernah jatuh cinta terhadap seorang lelaki, Raihan. Walaupun ketika itu aku hanya bertepuk sebelah tangan, tapi aku bahagia melayan perasaan aku.

Aku berkenalan dengan Raihan sejak zaman sekolah menengah. Bagi aku, dialah yang segalanya. Raihan pun sedia maklum yang aku menaruh perasaan terhadap dia tapi dia berterusan ignore aku.

Aku ada keluarga yang penyayang, kawan yang baik dan pendidikan yang bagus. Tiada kekurangan dalam hidup aku. Semuanya serba lengkap kecuali Raihan.

Keluarga aku menganggap aku dan Raihan berkawan baik. Hanya kawan baik aku yang mengetahui perasaan sebenar aku. Walaupun mereka selalu menasihati aku untuk berundur diri, aku tetap degil nak menunggu Raihan membalas perasaan aku.

Ketika zaman belajar di universiti, Raihan bercinta dengan seorang perempuan yang sama kelas dengan dia. Ke hulu hilir bersama. Aku sedih tapi aku masih tidak tinggalkan dia. Aku siap pinjamkan kereta dan selalu ada bila dia kesusahan.

Ketika habis belajar, Raihan bergaduh besar dengan kekasih dia dan mereka putus cinta Aku masih setia berada di sisi dia. Kami dah mula berkerja tetapi di syarikat dan bidang berlainan.

Raihan bercinta semula dengan kekasih dia. Kali ini, Raihan bertunang untuk membuktikan dia serius dengan kekasih dia.

Aku menolong keluarga dia semasa majlis pertunangan dia. Hati aku yang hancur aku tiada siapa tahu kecuali kawan baik aku. Raihan berlagak seperti tiada apa-apa.

Dipendekkan cerita, selepas setahun bertunang, mereka mula kerap bergaduh dan hubungan mereka berakhir kerana tiada kesefahaman.

Kali ini, kekasih dia nekad nak putuskan hubungan. Aku masih setia berada di sisi Raihan sebagai kawan.

Beberapa tahun telah berlalu, Raihan masih teringatkan bekas tunang dia dan aku masih mengharapkan cinta dia. Raihan menolak semua pinangan dan masih ingin berseorangan.

Takdir Allah sungguh misteri. Mak Raihan tiba-tiba berkenan nak jadikan aku menantu dia. Keluarga aku memang sudah lama kenal dengan keluarga Raihan.

Mak dia cakap dia perasan yang aku selalu bersama Raihan dari zaman sekolah sehingga sekarang. Elok kalau kami dikahwinkan kerana dia yakin aku boleh melembutkan hati Raihan.

Tiada bantahan dari kedua-dua keluarga. Bayangkan kau dapat berkahwin dengan crush kau setelah sekian lama menunggu.

Ketika aku bertanya dengan Raihan, dia cakap dia ikut sahaja keputusan mak dia. Aku yakin aku boleh buat dia lupakan bekas tunang dia dan cintakan aku.

Selepas berkahwin, aku buat segala yang aku mampu untuk tawan hati dia. Dia tidak sentuh aku walaupun ketika kami berbulan madu. Aku tidak putus asa. Aku masak makanan kegemaran dia, kemas rumah dan ambil tahu segala hal dia.

Aku cuba menggoda dia walaupun dia selalu mengelak. Selepas hampir setahun baru dia sentuh aku itupun ketika kami bercuti. Aku yang memaksa dia ambil cuti untuk meluangkan masa bersama-sama.

Kelakuan Raihan dengan kawan-kawan dia atau keluarga sangatlah baik. Dia boleh bergurau, bergelak dan bertepuk tampar tapi dengan aku, dia akan jadi dingin.

Sepanjang berkahwin 2 tahun, boleh kira dengan jari berapa kali kami bersama. Itupun, aku yang perlu memulakan. Jiwa aku dah mula penat nak mendapatkan perhatian dia. Terasa diri lagi hina dari pengemis.

Kemuncaknya, bekas tunang dia berhubung semula dengan dia. Mesej dia dengan bekas tunang dia penuh dengan warna-warni, berbeza dengan mesej aku yang selalu tidak dibalas.

Ketika ini aku sedar yang aku dah gagal. Bertahun-tahun menagih cinta dia, akhirnya aku akur yang cinta aku tak akan sesekali dibalas oleh dia.

Aku kemas barang aku dan duduk sementara dengan kawan aku. Aku terus ke mahkamah syariah untuk memohon cerai. Aku tidak memberitahu kepada keluarga.

Raihan terkejut dengan tindakan aku. Awalnya, dia agak keberatan untuk melepaskan aku. Aku sampai bersujud dekat kaki dia sebab aku tak mampu nak meneruskan lagi perkahwinan ini. Aku tak nak jadi isteri derhaka.

Aku beritahu dia yang aku tahu mengenai mesej dia dengan bekas tunang dia. Memang silap aku bersetuju dengan mak dia untuk berkahwin dengan dia. Hasilnya, jiwa aku yang hancur. Tidak mengapa, aku pasrah dengan hidup aku dan aku maafkan dia.

Raihan diam tidak berkata-kata. Dia tidak menafikan yang dia berhubung semula dengan bekas tunang dia dan masih tidak ada perasaan terhadap aku seperti yang aku inginkan. Tapi, dia masih sukar untuk melepaskan aku.

Selepas beberapa bulan, kami sah bercerai talak satu. Aku minta dia halalkan makan minum aku dan aku berjanji tidak akan menganggu dia lagi. Aku pulang ke rumah untuk berhadapan dengan keluarga aku.

Seperti disangkakan, memang keluarga aku marah. Aku minta mereka terima keputusan kami dengan hati terbuka dan jangan serang Raihan. Biarlah dia dengan pilihan dia. Raihan langsung tidak berjumpa dengan keluarga aku selepas kami bercerai.

Aku tidak putus berdoa kepada Allah untuk berikan aku kekuatan untuk meneruskan hidup. Aku dah macam mayat hidup. Aku ambil keputusan untuk sambung belajar sambil bekerja. Dengan sokongan keluarga dan kawan baik, aku cuba untuk move on.

Aki sangkakan semuanya akan elok-elok sahaja selepas ini. Tapi aku silap. Selepas hampir setahun bercerai, Raihan mula menghubungi aku semula. Kali pertama dalam hidup, dia meminta maaf terhadap aku.

Dia luahkan perasaan dia melalui mesej. Penuh kekesalan dan maaf. Mesej dia hanya membangkitkan lagi luka-luka lama. Aku tidak membalas mesej dia.

Raihan tidak berputus asa. Dia mula menghubungi aku dan cuba untuk berjumpa dengan aku di tempat kerja. Aku mengelak dari bertemu dengan dia.

Kesudahannya, dia ke rumah keluarga aku. Walaupun dimarahi oleh keluarga aku, dia masih tidak berganjak. Dia tetap dengan keputusan dia untuk memulakan semula perhubungan kami. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Selepas bercerai, baru dia terasa kehilangan aku. Bila berhubung semula dengan bekas tunang, dia tidak ada lagi perasaan dengan dia. Dia dah putuskan hubungan dengan bekas tunang dia untuk selama-lamanya. Kini, dia cuba untuk meraih semula cinta aku.

Aku hanya tergelak melihat dia berkata-kata. Sudah terlambat wahai Raihan. Kenapa baru sekarang kau tersedar? Ketika aku dah tawar hati, ketika aku dah move on? Apa lagi yang kau harapkan dari aku? Bagaimana aku nak percaya pada janji kau?

Sejak awal tahun ini sampai sekarang, Raihan tidak berputus asa. Aku dah puas menasihatkan dia untuk tidak mengganggu aku. Keluarga aku dah mula berlembut hati sikit. Mak Raihan memujuk aku untuk terima dia semula.

Tapi aku masih trauma. Semasa berkahwin, hari-hari aku mengemis cinta dan perhatian dia. Macam-macam aku buat untuk dia. Semuanya dibalas dengan sepi. Dia menganggap perkahwinan itu sebagai mainan. Sekarang, senang-senang nak rujuk semula.

Aku masih buntu dengan Raihan. Jiwa aku mula sesak dengan kehadiran dia semula. Dari marah jadi benci sekarang kasihan. Aku takut kalau aku tak kuat dengan hati aku dan sekali lagi aku jatuh cinta dengan dia.

Sesungguhnya, aku benar-benar tidak terdaya dengan ujian ini. Kalau bukan kerana komitmen study, dah lama aku lari jauh-jauh dari dia.

Tolong doakan yang baik-baik untuk aku.

– Tiara (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Salam anon, semoga dipermudahkan. I know this is a bit pushy but I wish for an update. Hopefully bila anon dah lapang boleh laa updatekan story. semoga anon bahagia selalu .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *