Dia Sudah Tak Mahu Dengar Saya

Hai semua.. Saya ingin meluahkan perasaan saya disini. Bukan saya tak cuba berbicara dengan pasangan saya. Sudah. Tapi masih seperti itu juga.

Kami berkahwin belum pun cukup satu tahun perkahwinan. Perkenalan kami bermula di media sosial, si dia menegur saya di situ dan sebulan selepas itu, terus dia membawa keluarganya datang merisik.

Kami bertunang sebulan selepas itu juga dan akhirnya berkahwin selepas 6 bulan pertunangan. Sungguh singkat bukan?

Untuk pengetahuan semua juga, kami hanya berjumpa 4-5 kali sahaja sebelum melangsungkan perkahwinan disebabkan jarak jauh… Itupun disebabkan urusan menguruskan hal-hal majlis perkahwinan kami.

Saya di negeri lain dan dia juga berada di negeri lain yang jaraknya agak jauh.

Kenapa saya memilih dia? Sewaktu awal perkenalan, dia seorang yang setiap hari akan berhubung dengan saya dan kami boleh bersembang tanpa putus idea jadi saya rasa selesa bersama dengan dia pada waktu itu.

Keluarganya juga baik-baik belaka. Senang masuk air. Saya tak kekok dengan keluarganya begitu juga mereka boleh menerima saya dan keluarga saya.

Tetapi, selepas berkahwin, saya perasan si dia yang sebelum ini saya rasa seronok untuk bersembang dan berkongsi cerita… sudah jadi orang lain. Bukan lelaki yang saya kenal sebelum ini.

Baru sahaja tadi saya menelefon dia untuk bercerita masalah di tempat kerja, tetapi dia hanya memberi respon “Pastu?” Dan dia pula seakan-akan marahkan saya kerana bercerita masalah saya pada dia…

Katanya, “Saya sendiri pun tengah ada masalah ini, awak pula cerita benda-benda macam ini.”

Ya Allah, sebak rasanya hati saya tadi, saya tak boleh bercerita langsung kah masalah-masalah saya pada dia?

Saya hanya ingin bercerita, bukannya saya suruh dia selesaikan masalah saya pun. Saya cuma inginkan teman pendengar itu sahaja. Hal yang sama seperti ini pernah beberapa kali terjadi sebelum ini…

Ada juga bila saya meminta dia untuk menelefon saya mengikut masa dia yang terluang keranan saya ingin bercerita tentang apa-apa saja yang jadi pada saya (kami dalam perhubungan jarak jauh),

Tetapi dia sangat-sangat liat nak bercakap dalam telefon, dia akan suruh saya menaip saja apa-apa yang saya ingin beritahu padanya dalam whatsapp.

Ya Allah… kenapa lah dia tak seperti dulu. Ke mana perginya seorang lelaki yang senang untuk saya berkongsi perihal diri saya, seorang lelaki yang boleh menenangkan fikiran dan hati saya… Tapi semuanya dah berubah.

Benarlah orang kata, sebelum kahwin manis saja, selepas kahwin berlinang air mata habis basah bantal tidur.

Serabut betul kepala saya dengan perkahwinan ini.

Pernah juga rasa menyesal tapi saya cuba untuk kekal positif kerana masih ingin memberikan dia peluang disebabkan perkahwinan kami masih muda dan kami juga belum tinggal bersama pun (masih dalam hubungan pjj)

Dan saya juga dalam masa yang sama, ingin menjaga air muka kedua-dua belah pihak kerana ibu bapa kami merupakan orang yang baik-baik.

Saya tak mahu ibu bapa saya mahupun ibu bapa dia serabut memikirkan hal kami pula. Mereka sudah tua. Tak perlu menyusahkan mereka lagi…

Saya merupakan wanita yang ada karier dalam bidang profesional, jujur saya cakap di sini, wang nafkah yang dia berikan pada saya walaupun tak banyak mana (kerana gajinya lebih sedikit dari saya),

Saya tak kisah semua itu. Cuma yang saya mahukan adalah ketenangan jiwa.

Tetapi serabut mental pula rasa selepas berkahwin ni jika dibandingkan dengan sewaktu saya masih bujang dan bersendirian.

Wang nafkah yang dia beri itu pun saya tak guna pun untuk diri sendiri malah saya juga ada berikan dia wang pabila dia tengah kesempitan. Apalah salah saya…

Saya rasa saya yang lebih banyak mengeluarkan duit belanja berbanding dia setiap kali kami bertemu kerana saya memahami hal kewangan dia yang cukup-cukup makan itu.

Sudahlah gajinya lebih rendah dari saya, dia juga tinggal di negeri yang jauh dan perbelanjaan seharian dia juga agak mahal pula.

Jika mahu diungkit, rasanya nanti apa-apa yang saya belikan dan belanja dia sebelum ini dikira seperti tak ikhlas pula..

Jadi tak perlulah saya cerita, cukuplah sekadar tuan/puan tahu yang saya memang tak membebankan dia dalam hal nafkah zahir ini.

Adakah sebab dia sudah dapat saya jadi dia sudah tak rasa thrill? Kerana saya memang tak pernah berada dalam apa-apa hubungan cinta sewaktu saya masih belajar.

Jadi apabila dia sudah dapat saya, dia sudah tak rasa seronok mengejar saya kah? Apa patut saya buat? Ada apa-apa pendapat yang boleh dikongsi dengan saya?

Saya cuma mahukan suami yang boleh manjakan saya walaupun bukan dengan kebendaan, cukuplah sekadar menjadi pendengar celoteh saya. Itu sahaja…

Jika dia tetap mahu saya menaip di whatsapp apabila saya ingin berkongsi cerita, lebih baik saya bercakap dengan Siri.

Terima kasih kepada semua sudi membaca luahan hati saya.

Terima kasih juga jika admin sudi menyiarkan luahan hati saya ini untuk menerima pendapat dari warga maya. Assalamualaikum wbt…

– Ai (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *