Dia Superwoman

Dia superwoman!

Assalamualaikum.

Terima kasih admin iium confession siarkan kisah ni. Tujuan aku tulis confession ni sebab aku nak legakan kepala aku je. Dan semestinya sebab admin tak dedahkan siapa pengirim confession ni.

Aku nak cerita tentang satu-satunya adik ipar perempuan yang aku ada. Aku ada abah mertua, yang mana mak mertua dah di jemput lebih awal. Al-fatihah buat mak. Aku baru je kawin dengan suami aku. Adelah dalam 3tahun. Dan dalam tempoh 3tahun berkahwin, aku tak mampu nak bantu lebih-lebih memandangkan aku pun tak bekerja makan gaji. Ini banyak cerita tentang adik ipar aku, namanya, Hanis. Umurnya dalam 35tahun, sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak perempuan semuanya. Alhamdulillah. Anaknya yang sulung berumur 12 tahun dan akan menduduki peperiksaan UPSR & juga PSRA ( PSRA aku tak pasti, sbb dia tak mampu nak hantar anak ke sekolah agama). Anak yang kedua, darjah 3, ketiga darjah 1 dan yang bongsu baru masuk 8 bulan.

Kenapa aku gelar dia superwoman? Sebab dia yang cari duit, besarkan anak-anak dan cukupkan keperluan anak-anak. Alhamdulillah, walaupun dia tak mampu, tapi anak-anaknya sangat memahami kesusahan hidupnya. Suami? Hanis adalah salah seorang perempuan yang cintakan suami, dengan setia, tetapi di madukan. Yang paling sedih apabila suami lebih banyak duduk di rumah yang kedua, sampaikan duit belanja hanya di hulur RM500 setiap bulan. Allahhuakbar! Dengan sewa rumah & belanja anak, manakan cukup semua itu.

Tapi, Hanis ni pandai buat kuih. Dalam sibuk utuskan anak ke sekolah, dia buat kuih-kuih frozen yang boleh aku jualkan. Cuma, pendapatannya tak lah lumayan. Aku hanya mampu membantunya serba sedikit sahaja. Yelah, nak harap suami aku, banyak manalah gaji sebagai cleaner petrol pam. Tolak belanja 2 anak tiri aku yang bersekolah dan baby kami, dapat la sikit-sikit kami bantu. Tapi lebih, aku pun tak mampu.

Pagi hari bersekolah, Hanis akan persiapkan 3orang anaknya, di bawa menaiki motor berulang dua kali. Terpaksa berulang begitu memandangkan dia tiada pilihan lain. Berhujan berpanas dia redah untuk sekolahkan anaknya. Tapi sekolah kebangsaan sahajalah, agama dia tak mampu walaupun berkali anaknya minta di hantar. Mana dia mampu nak sekolahkan sedangkan suaminya tak hiraukan makan pakai mereka. Lagi pula duit sekolah. Baginya, RM500 yang dia beri sudah cukup buat 5beranak itu. Allahuakbar! Sampainya hati kau lelaki!

Selalu orang bertanya, mana suaminya? Tiada! Dia ibu tingggal. Bukan ibu tunggal. Yang mana susah jika mahu meminta apa-apa bantuan. Adalah juga suaminya balik, tapi tiga bulan sekali. Jadi, ketagori apakah dia kalau nak di beri bantuan? Jadi, aku sebagai ipar, cuba membantu. Cuma bantuan aku ni, tak lah besar. Sebab aku pun cari duit poket dengan membuat kuih frozen. Jadi aku minta dia sama-sama buat. Jadi adalah dia duit belanja makan.
Tentang suaminya, aku tak berani nak bercakap lebih. Malah mendesak dia untuk menuju penceraian juga aku tak berani suarakan. Cuma, aku hanya mampu menyabarkan dia. Memberi semangat dan juga bantuan mana yang mampu. Kadang-kadang menangis jugalah bila dia whatapp minta pinjam secawan dua beras. Kami sama-sama susah. Jadi, aku amat memahami bahawa dia tak minta untuk meminta-minta. Siapa lagi yang boleh tolong kalau bukan kami. Tapi, dengan gaji suami aku yang tak sampai 2ribu, mana mampu nak tampung belanja untuk 10 orang.

Hanis tak pernah putus asa untuk perbagaikan product frozen yang di hantarkan pada aku. Malah, kuih buatannya amat di sukai oleh pelanggan aku. Aku sanggup berkongsi rezeki ini dengan dia kerana bagi aku, ini sahajalah yang boleh dia buat. Pendidikan dia tak tinggi. Jadi apa yang boleh dia buat kalau keluar bekerja pon tak setimpal. Dengan bayar pengasuh, dengan anak sekolah, dengan sewa rumah serta belanja harian. Mana mungkin gaji 1ribu cukup untuk dia selesaikan. Jadi, pilihan terbaik, memang buat kuih. Gunakan kemahiran yang dia ada. Alhamdulillah, walau oder tak la banyak sangat. Tapi dapat lah tampung belanja makan. Cuma tak dapat lah nak bermewah.

Hanis dah dua kali berpisah dengan suaminya. Kalau kalini dia memilih untuk berpisah, maka tak akan boleh di rujuk lagi melainkan ada cina buta. Sebab itulah dia pertahankan lagi. Demi anak-anak. Dia memilih jadi ibu tinggal kerana sekurang-kurangnya, anak-anak akan dapat berjumpa ayah mereka bersama-samanya. Dia mahukan anak-anak merasakan kasih ayah walaupun jumpa 3bulan sekali. Itu pilihan dia. Aku tak berhak bersuara. Cuma sedih dengan nasibnya.

Yang membuatkan aku terkesan, baru-baru ni, dalam 2minggu lepas, Hanis demam teruk. Makan pakai anak-anaknya memang dia tak mampu uruskan. Kami minta suaminya balik ke sini untuk uruskan anak-anak sekolah. Yalah, takkan madunya tak tau, awal tahun punya kalut macam mana memandangkan madunya cikgu. Tapi., sayang. Madunya tak hiraukan pun kata-kata Hanis. Maka, aku aturkan untuk Hanis duduk dengan aku sementara dia sakit. Walaupun aku tak mampu dari segi kewangan, tapi aku cuba juga. Asalkan anak-anak buah aku tak kelaparan, dan Hanis tak terbiar.

Semasa Hanis tidur, jatuh lagi air mata aku. Badannya cengkung, kurus. Tabahnya wanita ini. Dengan anak-anak yang sedang membesar, dia gagahkan juga untuk sihat. Cuma kali ini demamnya agak lama. Dalam 2minggu Hanis tak dapat buat kuih serta selesaikan oder yang bertunggak. Aku sabarkan dia. Sedangkan duit dalam tangan aku juga hampir habis. Tapi aku tetap tawakal. Kalau Allah kata ini rezeki kami, aku terima. Aku berlapang dada, menerima ujian ini. Cuma suami aku lah yang risau. Gaji lambat lagi, tapi duit nak sampai gaji tak cukup. Aku Cuma sabarkan suami aku. Yelah, mana tahu Allah nak uji kami. Sejauh mana kami bertawakal dan berserah padanya.
Alhamdulillah, baru-baru ni, Hanis dah mula sihat. Dia pun mula selesaikan odernya. Cuma tak berapa banyak lah yang dapat dia buat. Kebanyakkan oder ada yang di tolak. Mana mampu sahaja yang dia buat. Aku faham, dengan kesibukan dia menghantar mengambil anak sekolah, dengan dia mengambil upah menjahit vest, dengan buat kuih frozen dan uruskan anak-anak dan rumah lagi, bagi aku dia memang superwoman!

Aku Cuma minta doa kalian, semoga Allah luaskan rezeki kami, rezeki Hanis dan anak-anak. Semoga kami terus tabah untuk menghadapi dugaan yang akan datang, serta aku dapat memahami serta membantu Hanis apabila di timpa masalah. Sebenarnya, banyak lagi yang ingin aku ceritakan tentang Hanis. Tapi, aku kira cukuplah sampai sini. Aku Cuma mohon doa kalian. Semoga hari esok Allah permudahkan jalan kami. Amin.

SF

– SF

Hantar confession anda di sini ->Β www.iiumc.com/submit