Diari Bunga: Mentuaku Narcissist?

Namaku Bunga. 5 tahun berumah tangga, di tapak kediaman Ayah dan Bonda mertua.

Awal perkahwinan, sangkaku tekanan perasaan yang ku rasa kerana ipar berprasangka. Tapi sekarang, mungkin sebenarnya aku yang alpa.

Dua bulan selepas kelahiran anak pertama, aku kembali ke rumah ini. Baru aku gembira berkongsi ceria, aku terima sepanjang-panjang mesej di Whatsapp keluarga mertua.

Mungkin kerana tekanan depresi bak kata doktor pakar yang ku jumpa, aku selalu anggap setiap perbuatan keatasku adalah benda biasa.

Lalu aku tak berapa ingat pun detailnya. Tapi aku masih ingat; betapa kami ini menyusahkan Ayah dan Bonda. Jangan layan Ayah dan Bonda seperti orang gaji, tegurnya.

Wallahi tidak pernah sekali aku tenang disini. Aku sentiasa takut dengan sekeliling. Ya, doktor sahkan aku depresi dan ada anxiety. Over thinking, paranoid tu semua aku dah terbiasa.

Kerana ketakutan aku, tak pernah aku duduk diam menggoyang kaki. Aku cuba sedaya siapkan segala-gala.

Tapi datang angin badai dari ipar yang tidak serumah pun, memfitnah sebegitu rupa. Aku saksi air mata suamiku menitis laju.

Bonda kata, Bonda dah tegur anaknya yang mengirim mesej tu. Aku kata tak mengapa, itu teguran yang patut saya terima. Saya terima.

Tapi itu cerita setahun lebih perkahwinan. Di hari ini, aku sudah nampak siapa sebenarnya kaca.

Aku sentiasa pegang Ayah dan Bonda sangat baik. Cuma rezekiku bukanlah ipar yang baik.

Suatu hari ditakdirkan Allah memanggil kembali anak Bonda kepangkuanNya. Bimbang kesunyian, suamiku membuatkan keputusan utk kami terus menemani Ayah Bondanya. Aku terima.

Makin hari makin ditunjuk peelnya.

Masakanku, pemberianku, pasti susah benar untuk diterima. Kurang katanya. Tak apa. Biasalah lain cara berbezalah rasanya.

Tapi baru semalam Bonda kata kurang gemar makanan yang ku beli, esoknya Bonda yang teruja untuk buat tempahan.

Ya, makanan yang sama. Aku pernah cuba menambat hatinya dengan membelikan apa saja makanan kegemarannya mengikut pemerhatianku.

Tapi, sentiasalah sama ada tak disentuh, atau ditolak dengan mengatakan kurang selera.

Aku juga perasan Bondaku ini seperti mahu bersaing denganku. Wallahi tidak ada sedikit perasaanku untuk bersaing dengannya.

Tapi apa saja yang ku masak harini, (walaupun tidak dijamah olehnya), pasti esoknya dia akan memasak menu yang sama.

Belum kira jika aku melakukan kerja rumah, membersih dapur misalnya, terus diminta rehatlah, sudahlah awak kan penat. Siap berebut pinggan nak dibasuh pun pernah ya.

Aku sapu rumah, pun akan ditegur, Bonda pun dah sapu tadi. Tapi kaki ku masih boleh merasa biji biji halus yang buat tak selesa, habuk masih berkumpul di celahan sofa.

Aku katakan tak mengapa, anak saya buat sepah tadi, alang-alang saya kemaskan semula.

Tapi Bondaku tidak pernah menegur perbuatanku bila suamiku ada. Aku pernah beli sesuatu, semasa ketiadaan suamiku Bonda bertanya, siapa nak masak semua ni? Aku katakan aku akan sedia.

Bonda kata Bonda tak makan benda ni, dengan muka yang seolah jijik. Aku terima. Tapi bila hadirnya suamiku, semena mena Bonda nasihatkan kaedah menyediakannya. Barulah sedap, katanya.

Tapi aku tidak yakin untuk mencuba caranya, kerana itu pertama kali bagiku. Lalu aku fikir, tak apalah. Lain kali aku cuba cara Bonda. Kalau dia tidak mahu makan, aku redho.

Siap masakanku, Bonda mencuba. Bonda mengatakan tidak enak, pasti tak diturut cara yang diajarkannya.

Itulah padan muka ku, orang sudah berkongsi patutnya aku turutkan saja. Aku sedar ini kesalahanku.

Setelah lima tahun, aku mula berfikir; sebenarnya cerita Whatsapp dulu tu, adakah bermula dari dia, sebenarnya?

– Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *