Aku sentuh sehelai kain jarang yang tergantung di penyangkut baju di dalam bilik. Kain jarang yang siap dijahit manik, dijahit berbentuk veil, hadiah dari seorang sepupu yang aku anggap sebagai kakak.
Kak Ain jahitkan aku veil, menurut permintaan aku sebagai persediaan pernikahanku kelak. Nak Kak Ain jahitkan. Teringat rengekku berbulan dulu. Kak Ain tersenyum manis, menyambut pujukanku.
Kak Ain, insan yang membesarkan aku, mendidik aku seperti adik sendiri, dari zaman kecilku sampai aku menginjak dewasa. Rindu. Rasa rindu yang menyakitkan. Rindu pada orang yang sudah tiada. Tidak dapat dihubungi dengan telefon, tidak dapat dihubungi dengan surat.
Kak Ain meninggalkan dunia di usia yang sangat muda. Kak Ain baru 29 tahun. Belum pun 30 tahun. Kak Ain pergi mengejut. Tiada sakit terzahir dari luaran fiziknya. Nampak tenang, nampak relaks. Macam tiada apa yang berlaku. Tapi di hati, siapa yang tahu.
Mei dan June. Dua kali keluarga kami berkabung. Penghujung Mei, Maklong. Mak Kak Ain, meninggal diserang covid. Usianya yang sudah senja asbab Maklong tidak kuat mahu melawan wabak agresif.
June, penghujung June. Kak Ain, anak bongsu Maklong pergi. Pergi mengejut. Maklong terjangkit covid daripada anak-anak yang balik dari luar negeri, menyambut raya di kampung, dengan surat yang disalahguna. Kluster aidilfitri, yang membunuh Maklong.
Masih terngiang raungan Kak Ain. Meraung macam nak gila, macam nak putus nyawa melihat jenazah Maklong diurus petugas lengkap berseragam PPE. Tanpa Kak Ain dapat cium, sentuh Maklong buat terakhir kali.
“Sabor mende, mu nok suruh aku sabor mende lagi!!”
Kak Ain yang lemah lembut, hari itu berubah menjadi garang, menjerit dalam linangan air mata. Separuh nyawanya pergi bersama jasad Maklong yang tertanam rapat dalam timbunan tanah. Ralat, terkilan.
Perasaan Kak Ain bercelaru. Rasa marah sejujurnya. Marah teramat pada darah dagingnya yang degil, pentingkan diri sehingga Maklong terkorban.
Tinggal Kak Ain sendiri di rumah pusaka maklong. Mujurlah rumah kami rapat-rapat. Dapat kami tengok tengokkan Kak Ain selalu. Sekali sekala aku tidur rumah Kak Ain. Kak Ain hidup berendam air mata. Badan susut mendadak.
Aku tak faham yang suruh Kak Ain terima takdir, suruh Kak Ain kuat semangat. Kak Ain baru kehilangan mak. Mak yang selama ini sihat-sihat sahaja.
Kak Ain baru ditinggalkan mak, yang selama ini ada sepanjang masa dengan Kak Ain. Berilah dia masa, jangan tekan dia. Dia layak bersedih. Dia layak menangis.
Diorang takpalah. Dah kahwin, ada isteri ada suami ada anak. Kak Ain takda siapa. Maklong takda, Kak Ain sunyi, Kak Ain tak tahu nak mula dari mana.
Luahnya padaku sebelum tidur. Aku pegang tangan Kak Ain, Laila kan ada. Laila sayang Kak Ain. Dia peluk erat aku, Tidur dengan tersedu-sedu menangis.
Masa Maklong ada, semua Kak Ain buat dengan Maklong. Masak, makan, berjalan, shopping. Kak Ain contoh anak solehah terbaik. Dia jaga mak dia, tak lawan mak dia, tunaikan apa mak dia nak.
Bila Maklong pergi, sunyi, semua buat sendiri. Aku faham. Aku rindu gelak tawa Kak Ain dan Maklong. Dulu hari-hari kami tukar juadah. Sekarang tak lagi. Kak Ain teruskan hidup dengan makan roti, itupun kalau rasa nak makan.
Tahun lepas Kak Ain putus cinta. Kena tipu hidup-hidup dengan lelaki. Lama bercinta, tahu-tahu laki tu kahwin dengan orang lain. Laki tu cuma suka Kak Ain sebab Kak Ain cantik..Tapi kahwin dengan perempuan lain sebab perempuan tu ada kerjaya, kerja kerajaan.
Tak sangka dia tipu Kak Ain sebab berapa kali dia pernah datang rumah jumpa Maklong, nampak serius benar. Tiba-tiba dapat tahu dah kahwin, sampai block Kak Ain segala.
Teringat Kak Ain cakap, Kak Ain memang tak belajar tinggi, tak kerja bagus, tak kaya. Tapi dia takda hak tipu Kak Ain, mainkan perasaan Kak Ain, buang Kak Ain macam sampah.
Bayangkan, lagi dua hari nak raya, laki tu singgah berbuka puasa dengan Kak Ain. Raya kedua, laki tu block Kak Ain dan menikah dengan orang lain. Bayangkan hancur macamana hati Kak Ain.
Tapi Kak Ain cool, laki boleh cari lain. Bersepah laki kat luar sana. Dia tak menangis teruk. Dia relax. Tapi bila Maklong pergi, dia menangis teruk. Sebab mak cuma ada satu, tiada galang ganti.
Semalam. 27 June, dah pukul 8 pagi. Lampu bilik Kak Ain masih menyala. Sudah cerah masih buka lampu? Aku pelik. Aku ketuk pintu. Beri salam. Tiada jawapan. Hati dah rasa tak sedap.
Sungguhlah. Kak Ain kami temukan kaku. Bertelekung atas katilnya. Pergi menghadap Ilahi dalam lenanya. Pergilah Kak Ain.
Cukuplah seksa rindu Kak Ain sampai di sini, semoga bertemu Maklong di sana. Kak Ain pergi jua. Setelah berkolam air matanya menangis. Setelah lunyai hatinya diremuk redam. Kak Ain sakit hati. Hatinya rapuh, hancur, bersepai.
Ujian kita tak sama. Janganlah komen aku pun mak meninggal juga tapi blablabla. Ujian kita tak sama. Kekuatan kita tak sama. Kau kuat, tahniah. Kak Ain tak sekuat kau, maaf..
Sesungguhnya covid 19 membunuh. Yang dijangkiti pun terbunuh, yang tak terjangkit pun dibunuhnya, tiada hati dan belas kasihan.
– Lailatul Syifa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit