Diari Semalam.
Kira-kira 12:30 hari aku keluar dari perkarangan rumah, menuju ke restoran mamak berhampiran untuk menunggu driver Uber. Sengaja aku tunggu di restoran mamak berhampiran, supaya senang untuk driver Uber itu ambil aku nanti. Lagi pun, berjalan tidaklah jauh sangat, kira-kira 100-200 meter begitu sahaja.
20 minit berlalu, driver Uber masih tidak kelihatan, sedangkan anggaran masa tiba ialah 17 minit. Dari applikasi Uber, lokasi kenderaannya jauh dan semakin menjauh. Rumah aku berhampiran Kundang, Selangor. Memang agak terpencil tempat ini, jadi kadang kala memang dapat driver Uber yang sedang berada di Rawang.
Tapi, kalau dia rasa tak berbaloi datang jauh-jauh, sms sahajalah suruh ‘cancel’. Aku pun faham. Tapi, kalau senyap sahaja tanpa bicara, masing-masing rugi.
Kemudian, aku ‘cancel’ dan ‘request’ trip lain. Driver Uber sampai 15 minit selepas itu. Kemudian, kami terus menuju ke stesen KTM Kuang.
Sampai stesen, terus beli tiket menuju ke Batu Caves.
Aku sebenarnya ingin pulang ke kampung hari itu, di negeri Perak. Tapi, perlu singgah sebentar di Batu Caves, kenduri kahwin kakak kepada kawan baik aku. Aku memang rapat dengan keluarga mereka, jadi kalau tak menghadirkan diri, rasa bersalah pulak dalam diri.
Jam 4.00 petang baru tiba di dewan kenduri. Hampir 4 jam masa habis di public transport sahaja, aku mengomel di dalam hati. Semua tetamu sudah pulang waktu itu, hanya tinggal keluarga terdekat kenalan rapat sahaja. Habis makan, aku tolong apa patut. Bungkus makanan pihak katering yang tak dihabiskan.
Jam 5:30, dari dewan kenduri kahwin di situ, aku dihantar oleh mereka ke stesen LRT Sentul. Kemudian terus menuju ke Terminal Bas Tasik Selatan, TBS lah orang biasa panggil.
Sesampai di sana, terus menuju ke kaunter,
“Tiket ke Kampar hari ni ada tak?” aku bertanya kepada kerani di kaunter.
“Sekejap ye saya periksa dulu”, balasnya.
Kemudian, dia menunjukkan skrin komputer sambil berkata, “Hari ni Kampar dah habis”.
“Ok…takpe.” balas ku perlahan sambil meninggalkan kaunter.
Tidak ku sangka tiket boleh habis. Kali terakhir naik bas 2-3 bulan lepas, aku seorang sahaja penumpang. Cuti kali ini, tiket habis terus. Mati-mati aku ingat takada orang dah naik bas semenjak kemunculan keretapi laju antarabandar ETS tu.
Apa boleh buat, salah sendiri.
Kemudian, aku mundar mandir di TBS. Sambil jari-jemari menekan butang di phone bijak. Cuba mencari tiket online dari Putrajaya Sentral atau stesen bas Jalan Duta. Tapi hampa, habis.
Cuba lagi cari bas yang menuju ke bandar berhampiran kampung aku, iaitu Gopeng, Ipoh, Kuala Kangsar. Juga habis.
Mahu tidak mahu, aku hanya boleh balik esok hari. Selepas berfikir panjang, akhirnya aku menuju ke kaunter layan diri, membeli tiket ke Kampar yang paling awal, jam 8.00 pagi.
Masalah lagi satu. Mahu pulang ke Kuang untuk tidur atau bermalam di TBS sahaja? Mengenangkan peristiwa sakit hati dengan Uber tengah hari tadi, aku mengambil keputusan untuk bermalam sahaja di TBS. Jam kira-kira 7.00 malam pada waktu itu.
Kemudian, aku memberitahu kawan baik aku petang tadi, tiket habis. Tapi, aku tak bagi tahu lah yang aku bermalam di TBS. Sengaja tak mahu menyusahkan mereka. Biarlah aku tanggung seorang diri sahaja.
Suasana di TBS malam tu tak sunyi dari orang. Memang ramai dari biasa sebab Isnin cuti Krismas, jadi mesti ramai yang nak pulang ke kampung halaman.
Sambil mundar mandir, aku akhirnya duduk di tepi dinding. Sambil membaca buku, ‘Antara Dua Darjat – Agihan Pendapatan di Malaysia’. Sebuah buku mengenai jurang ekonomi. Hampir separuh buku aku berjaya habiskan malam itu. Fakta dan cara penulisannya amat menarik untuk terus dibaca.
Kira-kira jam 10:30, aku berjalan keluar dari TBS. Mengisi perut yang sudah berkeroncong berdondang-sayang. Sebenarnya teringin nak makan KFC dalam TBS tu, tapi orang ramai sangat. Jadi, makan burger di tepi jalan sahaja, sambil mendengar orang meniup Saxophone.. Sedang aku makan, datang dua orang pemuda Bangladesh, meminta izin duduk semeja. Meja lain sudah penuh, maklumlah, gerai tepi jalan, meja tidak banyak. Sambil itu aku menegur mereka, sekadar berbasa-basi. Ada soalan yang mereka tak faham, jadi aku guna google translate, terjemahkan ke bahasa Bengali. Kemudian aku tunjuk skrin phone bijak kepada mereka, baru lah mereka jawab, sambil ketawa melihat gelagat aku. Aku pun ketawa sama.
Kerjaya aku yang berkait rapat dengan industri pembinaan telah mengajar aku untuk bergaul walau dengan buruh asing, tiada skeptikal. Sebagaimana kita mahu di layan baik di negara orang, begitu jugalah yang patut kita lakukan di negara sendiri, layan manusia lain baik-baik.
Habis makan, sebelum menuju ke TBS semula, ku kira mahu menghulur sedikit duit ke penghibur jalanan itu tadi. Tapi, tak kelihatan pula ‘kotak sumbangan’. Ragu-ragu pula nak hulur, buatnya dia sekadar berhibur tanpa mengharap balasan macam mana? Lantas, aku berlalu begitu sahaja.
Sampai di TBS, aku menuju ke tingkat atas, mencari sudut yang jauh dari tempat orang lalu lalang untuk dijadikan tempat untuk bergelandangan.
Sampai di suatu sudut, aku duduk dan sambung membaca buku. Kemudian perlahan-lahan mata semakin kuyu dan melayu, perut kenyang pula. Lalu, buku aku tutup, bag sandang dijadikan bantal dan baju sejuk dijadikan selimut, aku berbaring. Kelihatan orang lain yang senasib denganku juga ada yang sudah lena.
Di saat bersendirian, diri akan terasa sunyi, fikiran yang sedang kosong perlahan-lahan terisi dengan memori yang paling sedih, yang menyiksa jiwa.
Aku teringat kisah beberapa hari lepas. Begini ceritanya.
Aku ada mengenali seorang perempuan ini. Pertama kali jumpa semasa tingkatan 5 dahulu, program berkhemah anjuran sekolah. Pada waktu itu, tidak pernah bertegur sapa, hanya mata yang melihat.
Sebenarnya aku jenis pemalu waktu sekolah dahulu, lagi-lagi dengan perempuan. Lagi pun, waktu itu kan masih belajar, kalau ada makwe sekalipun, bukan boleh kahwin lagi. Begitulah bisikan akal fikiran aku dahulu.
Dari mana punai melayang, dari sawah ke batang padi. Dari mana asal sayang, dari mata sampai ke hati.
Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, wajahnya sentiasa melekat di hati. Ketika di menara gading, jumpa ramai perempuan, lawa-lawa lagi. Tapi, tak pernah sama dengan dia seorang. Tak boleh nak lupakan. Tiap kali balik kampung, selalu aku buka majalah sekolah, buka page belakang, tengok gambar dia. Hehe.
Sebenarnya ada lah jugak cuba cari Facebook dia, tapi tak pernah berjaya walau hampir setiap tahun percubaan itu aku lakukan.
“Mungkin dia tiada Facebook,” pujuk hati kecil setiap kali tidak berjaya mencari.
Hampir 10 tahun kemudian, dengan dibantu orang rakan baik, yang juga samasekolah dahulu, akhirnya dia berjaya kami hubungi. Masih ingat detik itu, hati melonjak kegembiraan bukan kepalang pada hari itu. Setelah begitu lama, seakan mimpi je bila dapat jumpa balik.
Selepas bertanya khabar, beberapa hari selepas itu aku terus meleraikan isi hati yang bertahun-tahun disimpan. Dia tidak menolak, tidak juga menerima, cuma meminta masa untuk berfikir dahulu.
Sebelum itu, aku dah tanyalah dia sudah kahwin ke belum, sudah bertunang ke, atau sudah berpunya, dia kata tiada.
Selepas tempoh itu, aku sering bertanya khabar dan berhubung melalui Whatsapp sahaja, tak pernah keluar berdua pun. Adalah kadang kala kata nak jumpa orang tua dia, tapi dia seakan tidak menjemput.
Dua bulan selepas itu, aku bertanya lagi soalan yang sama, sama ada dia sudi atau tidak, tapi kali ini, langsung tiada balasan, hanya ‘bluetick’.
Kalau padi katakan padi, tidaklah saya tertampi-tampi. Kalau sudi katakan sudi, tidak saya ternanti-nanti.
Hati mana yang tidak sedih diperlaku sedemikian rupa. Sudah masuk hari keempat dia berdiam diri. Jadi, malam itu, perkara itulah yang aku terkenang-kenang.
Dia ini jenis seorang yang pendiam. Adalah pernah dia cerita, waktu kecil dahulu lagi teruk pendiamnya, sampaikan nak bercakap dengan cikgu pun kena berbisik.
Adalah dia pernah bagi tahu pada aku dulu, “Baru hari tu (beberapa tahun lepaslah maksudnya) semua family tau kenapa dia jadi pendiam sangat-sangat masa kecik dulu”.
Kemudian, aku bertanya sebab apa, dia hanya menjawab, “Kalau kita ada jodoh, awak akan tahu jugak suatu hari nanti”. Rupanya, ada sesuatu kejadian yang buat dia trauma sampai jadi pendiam sangat.
Apa yang aku cuba lontarkan di sini ialah, aku nak bagi tahu betapa pendiamnya dia.
Aku tidak faham bagaimana caranya perempuan berfikir. Kenapa dia senyap je.
Sesekali ada hembusan bisikan di telinga, “mungkin dia dah ada orang lain, mungkin hari tu dah ada orang hantar rombongan, mungkin dia reject aku,”, tapi cepat-cepat aku menidakkannya, untuk menyedapkan hati. Bukan kepalang resah di hati ini.
Persoalan ini mengganggu aku ditiap malam. Apa tindakan aku itu terlalu mendesak dan gelojoh? Atau dia perlukan lagi masa dan ruang untuk berfikir?
Mohon khidmat nasihat dari tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Ketika penat berperang di dalam hati, aku tertidur juga akhirnya. Di penjuru dinding, berbantalkan bag sandang, berselimutkan baju sejuk. Sesekali dikejutkan dengan pengumuman oleh pihak TBS,
“ *ting-ting-ting. Panggilan akhir untuk Ali bin Mat, Ali bin Mat, tiket Konsortium Perdana menuju ke JB, sila ke platform 5 SEKARANG. *ting-ting-ting ”. Aku tak tahu lah orang yang bagi pengumuman tu memang jenis macam tu atau dia sedang marah. Melodinya sama je tiap kali ada pengumuman, itulah buat aku terjaga.
Seronok tak tidur di TBS? Bolehlah, lebih lena dari tidur di hospital masa jaga orang sakit dulu. Tak adalah terjaga setiap setengah jam, malam pun tak terasa panjang. Kawan bersih, ada aircond lagi. Mungkin sebab itu ramai yang senasib habis tiket, tak kisah bermalam di TBS, sini bukan macam stesen bas Puduraya dulu-dulu tu, yang gelap lagi menakutkan.
Jam 5.00 pagi aku bangun. Menuju ke bilik air, buang toksin dan gosok gigi. Mandi tak payahlah, tuala tak bawak. Haha
Di surau, orang sudah hampir penuh, aku solat tahajud dan witir. Sambil itu aku mengadu nasib kepada Yang Maha Esa, aku mohon agar urusan ini dipermudahkan.
Bila diri dilanda sedih berpanjangan begini, biasanya akan ada dua perkara yang mungkin terjadi.
Pertama, rasa nak tidur lama-lama, jadi malas dan liat untuk bangun pagi.
Kedua, jadi rajin bangun pagi untuk solat tahajud, bermunajat dan memohon doa kepada Tuhan.
Kedua-duanya pernah aku rasa. Tapi, walau rasa kesal dan kecewa macam mana pun mengenang perkara-perkara lalu, jangan pernah rasa harapan sudah tiada, jangan rasa putus dari rahmat Allah, maka, kita akan mampu buat perkara yang kedua itu tadi, InsyaAllah.
Islam tidak pernah meletakkan perantaraan antara manusia dengan Tuhan. Bila-bila masa saja, siapa saja insan itu, di mana saja dia berada, bangsa apa dia, keturunan apa dia, siapa mak bapaknya, siapa saja datuk neneknya. Jika dia ingin berhubung dengan Allah, atau kembali kepada Allah, maka tidak pernah ada halangan. Kata-kata inilah yang aku pegang.
Jam 7:15, aku masuk ke Gate menunggu. Kalau ikut jadual, bas akan jalan jam 8.00 pagi. Sedang menunggu, aku boleh tertidur lena di kerusi. Bas dah tiba pun tak sedar, nasib baik terjaga awal. Kira-kira jam 7:555 aku naik ke dalam bas, orang lain semua sudah duduk. Sedang aku mencari nombor kerusi, tiba-tiba mata ini terpaku dengan seorang gadis. Ada sesuatu yang menggera hati.
Sebenarnya seat dia sebelah seorang lelaki, dengan gaya baru lepas mabuk, gadis tu macam tak selesa. Aku yang baru duduk di seat single kemudiannya mencuit bahunya dengan buku yang sedang aku pegang, “Nak tukar seat?” pelawa aku bersahaja.
“Boleh jugak” katanya pantas sambil berterima kasih berulang kali. Lelaki di sebelahnya tadi tak kata apalah, sebab dia sedang tidur.
Aku bukanlah skeptikal dengan lelaki itu, konon dia nak buat apa-apa yang tidak baik. Aku cuma membayangkan dan meletakkan perempuan itu sebagai seorang yang aku kenal dan yang paling aku sayang, jika dia berada di tempat seperti perempuan itu, tentu aku akan buat perkara sama.
Hampir 2 jam setengah kemudian, aku sampai ke Kampar, Perak. Kemudian, kena naik bas loncat lagi satu untuk ke kampung. Sambil menunggu bas, aku menyapa perempuan tadi tu, rupanya kampung dia juga berhampiran. Tapi, tak sembang banyak pun, nama pun tak tanya, sekadar berbasa-basi sahaja. Lagi pun, di jarinya sudah disarung cincin, tunangan orang mungkin. Kalau aku ada tunang suatu hari nanti, aku juga tak suka kalau ada kumbang lain yang mendekati. Hati manusia, kalau tak cemburu bukanlah sayang namanya. Jadi, apa yang kita tak suka orang buat dekat kita, jangan kita buat perkara tu dekat orang lain. Mudah kan?
Salah. Sebenarnya susah. Tapi, kena lah buat juga.
Dalam sedang menunggu, aku menghantar Whatsapp kepada seorang pomen kampung ku. Bertanya keadaan kereta yang aku dah hantar 2 minggu lepas. Katanya haritu, hari Krismas nanti dah boleh siap.
“Maaf, hari Rabu baru boleh siap. Tak sempat, banyak kereta masuk.”
Agak terkejut bila dia Whatsapp begitu. Tujuan utama aku bersusah payah naik bas untuk balik ke kampung ni tak lain tak bukan sebab nak ambil kereta. Dah kalau kereta tak siap, kenapa aku balik ni? Dekat kampung, takde orang lain pun. Mak ayah aku outstation.
“Ok…takpe.” balasku bersahaja.
Dalam hati, cuma mengomel kenapalah dia tak bagi tahu awal-awal. Bersusah payah aku datang, kena tidur di TBS lagi. Mungkin sebab faktor usia, marah sudah jarang datang.
Teringat kata seorang rakan aku dulu ,“Aku tak pernah tengok kau marah.”
Aku cuba menafikan. Cuba tanya diri sendiri. Sebenarnya ada je marah, tapi banyak dalam hati je, cuma tak dilontarkan, dan banyak juga perkara yang aku kurang ambil pusing lagi-lagi perkara yang diluar kemampuan. Jadi, kuranglah marah. Contohnya kalau nak pergi jalan-jalan, tiba-tiba hujan turun lebat. Hujan tu kan di luar kemampuan, jadi, tak perlulah fikir panjang, redha.
“Tak apalah, balik kampung boleh jugak siapkan kerja, dengan rumah ada PC,” bisik hati kecil.
Sudah jatuh, ditimpa tangga, kemudian tangga lagi satu jatuh. Itulah keadaan aku hari tu. Sampai depan rumah, aku cari kunci dalam beg. Tak ketemu!
Fikiran kembali merewang-rewang ke 2 minggu yang lalu, kali terakhir aku memegang kunci rumah. Waktu itu baru balik outstation dari Kedah, singgah kampung, buka pintu, kemudian letak kunci atas meja, kemudian berbaring di sofa dan tertidur. Terjaga masa orang tua ku balik rumah. Kemudian, keesokan harinya terus balik Kuala Lumpur, kunci atas meja langsung tak sentuh.
“Yes!” bisik hati kecik aku. Tidak pasti mahu menangis tau mahu ketawa. Habis dua hari cuti terbuang begitu sahaja. Aku kemudian, pergi ke kedai makan dekat atas, dan pesan mee bandung. Kena balik ke Kuala Lumpur semula lah jawabnya.
Tapi, bila difikirkan balik, ada hikmah juga tiket habis semalamnya. Buatnya ada tiket, dari KL katalah pukul 8.00 malam. Sampai kampung mesti dah tengah malam, tiba-tiba nak masuk rumah tak boleh, kunci tak dapat dikesan. Nak tidur mana lepas tu? Sini jambatan pun takde tau. Haha. Nak balik ke K.L. pun tak boleh, malam mana ada bas.
Jadi, dalam nasib malang, ada sebenarnya rahmat. Fikir positif. Tak adalah nak marah-marah sangat. Cuma, kecewa lah sikit sebab pelupa. Ini, kalau cerita dengan kawan aku tu, mesti dia mengomel lagi suruh kahwin cepat-cepat.
Ketika dalam bas menuju ke KL, masuklah satu mesej dari Whatsapp.
“Salam. Ini nombor phone saya yang baru, nombor lama pakai lagi buat masa ni.”
Rupanya dari buah hati aku yang senyap berhari-hari tu. Bila terima, rasa gembira je hati, terus lupa kisah duku bertimpa-timpa sebelum ini. Dia tukar phone bijak baru rupanya, jadi sim card lama tak boleh pakai, nak kekalkan nombor pun masalah sebab daftar atas nama orang lain.
Tapi itulah, soal hati yang aku tanya sebelum ini, tidak mahu dijawabnya.
Sekali lagi, Aku tidak faham bagaimana caranya perempuan berfikir. Dia ni sebenarnya sudi ke, tak sudi ke, atau cuma belum bersedia ke, apa ke? Hanya Tuhan yang tahu.
Sekian.
*Maaf tulis panjang-panjang, ini antara cara terbaik untuk ku melawan melankolia yang pernah terjadi suatu ketika dulu.
– Matz
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit