Diari Semalam II

Jadi, bagaimana kisah penghabisannya? Suka atau duka? Jemput para pembaca budiman sekalian menyelusur bersama jalan seterusnya, penuh liku serta onak duri di kiri dan kanan.

Selepas peristiwa dahulu, aku masih berteka-teki, siapalah aku di hatinya. Teman biasa, atau bukan biasa-biasa.

Dalam pada itu, aku kekalkan perhubungan, merajinkan diri bertanya khabar. Ada lah beberapa kerat mesej Whatsapp setiap kali berhubung, soalan pula biasanya sama,” sihat ke”, “dah makan ke”.

Dia pulak jawab sepatah dua sahaja. Kadangkala, mesej tak dibalas pun. Alasannya, sibuk.

Berbulan kekal sebegitu. Dari rasa terasa hati, bertukar menjadi tawar hati. Perasaan menjadi dingin. Bila keadaanya begitu, hati berbisik sendirian, mungkinlah dia tak sudi pun dengan kita, iyelah, mesej pun balas acuh tak acuh, endah tak endah.

Tapi, aku berkata kepada diri ku sendiri, sabar. 10 tahun boleh bersabar, kenapa bilamana sudah jumpa apa yang dicari, sekarang begitu mudah hendak dibuang begitu sahaja? “Sabar,sabar, cekalkan hati….”, kataku memotivasikan diri sendiri.

Minggu berganti minggu, akhirnya teka-teki itu terungkai jua. Begini kisahnya.

Seorang kawan aku, Amer, melangsungkan majlis pernikahannya. Untuk majlis itu, aku menjadi pengapit dialah. Segalanya bermula dari Mak kepada Amer, aku panggil Mak Amer sahajalah ye.

Jadi, sebelum majlis, bertandanglah aku ke rumahnya, bersiap-siap sebelum rombongan ke rumah pengantin perempuan.

Ketika di situlah, kisah senandung lalu, berirama kembali.

“ Nanti Atirah datang, kamu tengok dia dulu berkenan ke tidak. Cepat beno putuskan hubungan dulu”, kata Mak Amer tepat kepadaku sambil tersenyum manis.

Aku hanya membalas dengan senyuman tanpa mengucap sebarang kata.

Dalam fikiran, melayang-layang wajah buah hati ku nan seorang itu. Mengenang keadaan yang berlaku, hati ini ternanti-nanti, tertanya-tanya, entah sudi, entahkan tidak, atau orang benci ku sangka sayang? Apa tidaknya, sudah dua kali lamaranku tidak berjawab, hubungan pula semakin dingin.

Jika bunga di taman tidak sudi, bunga di hutan harum juga. Apalah diharap sawah dibendang, jika padi seberang tidak menjadi, apalah diharap kasihnya orang, jika orang tak sudi? Sesungguhnya, rasa cinta ini sedang diuji.

Atirah. Seorang gadis muda, berkulit cerah dengan wajah ayu. Tapi, tidak pernah ku jumpa, hanya berpandukan gambar yang diberikan oleh Amer. Suatu ketika dahulu, beberapa bulan sebelum aku berjaya menjejaki buah hati ku nan seorang itu, Amer dan Maknya cuba menjodohkan aku dengan Atirah, kenen-kenen kata orang.

Masih basah di ingatan aku akan detik mula peristiwa itu. Pada petang itu, Amer menghubungi aku, ada hal penting katanya. Melalui telefon dia berkata, “Mak aku nak jodohkan kau dengan sepupu aku, Atirah. Orangnya boleh tahan. Kau nak tak?”.

Dengar perkara itu, serta-merta aku ketawa, “Errr……entah. Tak tahu lah”, kata ku.

“Tak pe, nanti aku bagi gambar dulu, tapi gambar kau pun kena kasi jugaklah, bagi yang hensem-hensem tau”, balas Amer sambil mengikut aku gelak besar.

Selepas itu, berlakulah sistem barter, gambar bertukar gambar. Kemudian, Amer bagi no telefon Atirah untuk dihubungi.

Sebenarnya waktu itu, aku tidaklah terlalu serius. Tidak kenal, maka tidak cinta. Bukanlah cara ku berhubung dengan seseorang yang tidak aku kenal, apatah lagi dengan seorang perempuan. Terasa malu, tak selesa, kekok begitu.

Tapi, selepas berkirim gambar, Amer setiap hari bertanya khabar aku, dah contact dia ke belum, dah mula mesej ke belum, suruh kawan-kawan dahulu. Kalau tak kerana di desak macam tu, mungkinlah sampai ke sudah aku tak berhubung dengan Atirah agaknya.

Makanya, hari ketiga Amer bertanya soalan sama, maka mulalah aku menghubungi Atirah.

“Salam, ini Atirah ye…” begitulah mesej yang pertama aku.

“Wsalam, ini kawan abang Amer ye”, balas Atirah.

Mesej seterusnya, banyak bertanya mengenai perkara peribadi , kerja apa, duduk mana, dan lain-lain.

Tapi, hubungan itu tidak berkekal lama. Sebab, dia balas mesej sepatah-sepatah, kadang kala tak dibalas langsung.

Mesej, bila tak dibalas, aku rasa seperti dia tak berminat, atau mungkin sebenarnya dia kena paksa dengan keluarga je. Tapi, itulah silapnya, aku sekadar tanamkan prejudis tu dalam hati, tak pernah berterus-terang. Dalam perhubungan ni, kalau nak berjaya, tak boleh terlalu pendam perasaan, kena bagi tahu pihak yang lagi satu, atau nanti akan menjadi barah, perlahan-lahan hubungan itu akan pudar dan mati, seperti angin lalu.

Jadi, aku pun lama-lama senyap. Dari 2-3 hari tak berhubung, jadi berminggu-minggu. Suatu hari, Amir mesej aku, katanya, “ kalau tak berminat, mesej je cakap tak nak, lepas tu tak payah mesej dah”.

Mungkinlah Atirah dah mengadu pada mereka, aku dah tak mesej. Sekarang, terimalah kecaman dan hukumannya. Adoi.

Tanpa berfikir panjang, aku menulis sebuah mesej, aku kira mesej yang terakhir lah,

“Salam. Atirah. Saya rasa sampai sini je lah saya text awak. Saya tak rasa kita ada keserasian. Awak bagi saya ok je, tapi diri saya sendiri ni mungkin belum bersedia kot. Saya doakan awak dapat jodoh yang baik, yang sesuai dengan awak. Maaf ye kalau ada salah silap”.

Kemudian, bluetick, sampai lah ke hari ini.

Kemudian, titik tolak dari situ, terbitlah satu perasaan dan nekad yang baru, misi mencari si dia. Seperti yang telah di ceritakan sebelum ini.

Sebenarnya, selain Atirah, adalah beberapa kisah lain sebelum ini, sepanjang 10 tahun sebelum perasaan nekad ini datang. Tapi, tak perlulah cerita, nanti kisah ni jadi 10 jilid. IIUMC pun boleh cetak dan buat novel tau.

“Nanti kamu jumpa mak Atirah sekali, mak dia ada datang”, kata-kata Mak Amer mengejutkan aku dari lamunan.

“Dia dulu kalau tak balas mesej kamu bukan sebab apa, dia sibuk nak pindah rumah dulu.

Atirah ni mak dengan ayahnya dah bercerai. Mungkinlah sebab itu dia rasa takut nak berkahwin.

Tapi, takkan lah semua lelaki jahat kan? Mak cik cakap dekat dia macam tu”, kata Mak Amer.

Betul-betul licik dan berstrategi sungguh. Kata-katanya dimulakan dengan mempertahankan Atirah, seterusnya dengan memohon simpati dari seorang lelaki yang nalurinya melindungi seorang perempuan.

Mendengar kata-kata itu, aku bersimpati. Kalau maklumat ini dari dahulu aku dah dapat, tentu tidak sebegitu mudah aku memutuskan hubungan dengan Atirah.

Ketika di majlis Amer, aku bertemu dengan mak Atirah. Cantik orangnya, berkaca mata, kulih cerah Atirah rupanya diwarisi dari emaknya. Paling mengejutkan, dia nampak ceria sahaja, kalau orang yang tak kenal, tentu tak menyangka sebenarnya dia ibu tunggal. Tapi ye lah, luka di jari nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu, kan?

Selain itu, paling penting, aku terasa begitu mesra dengannya. Cara dia melayan, menerima aku, membuatkan aku rasa begitu selesa.

Cumanya, ketika itu Atirah tak hadir. Keesokan harinya, kenduri di sebelah lelaki, barulah dia ada.

Itulah kali pertama aku berjumpa. Tapi, sekadar tengok dari jauh lah, datang makan, tapi aku duduk meja lain. Tengok pun curi-curi dari tepi je. Rasa seperti tak ada daya nak tengok depan-depan, apatah lagi bertentang mata bagai.

Entahlah kenapa jadi macam tu. Mungkin sebab malu. Atau mungkin sebab dalam hati dah ada orang lain.

Dalam pada itu, aku bersembang dengan Mak Amer, sempatlah dia menjalankan ‘kerja’ kenen-kenennya tu, membahan aku dengan Atirah. Aku banyak ketawa je lah.

Di hujung-hujung kenduri, adalah mak Atirah pelawa, minta aku tolong dia bungkus lauk kenduri yang tak habis. Tapi, aku tak tolong pun. Sebab, takut nanti jadi rapat. Jadi, lepas tu, aku terus balik.

Malam tu, aku nekad, teka-teki mesti dirungkai malam ini juga. Selepas berfikir panjang, lalu aku menyusun kata, sebuah pesanan Whatsapp di hantar,

“Salam….Awak nak tanya.

Tuhan cipta semua makhluk Dia berpasangan kan.

Jadi, awak nak pasangan yang macam mana ye. Ada apa-apa ciri-ciri yang awak cari?

Saya ni, pada pendapat awak, orang yang macam mana?

Kalau tak nak jawab lagi….takpe la. Saya tanya je..”

Dia balas pendek je, “Ntah la….”.

“Awak tak ada perasaan dekat saya lagi?” kataku, cuba menduga.

“Rahsia…..” balasnya, sambil bagi emoji jelir lidah.

“Geram pulak rasanya dengan awak ni..

Kalau padi, katakan padi. Tidaklah saya tertampi-tampi. Kalau sudi, katakanlah sudi. Tidaklah saya ternanti-nanti.

Haa..tengok. Sampai pantun dah. Kena terus terang….haha” balas ku, dengan penuh pengharapan.

“Tak nak. Haha”, balasnya, cuba berdalih.

Lalu aku membalas,

“Kenapa tak nak cakap. Segan? Ke memang tak sudi? Huhu..”

Kemudian, senyap, bluetick pun tidak. Tapi, dia ‘last seen’ ada je buka Whatsapp, mesej kita je dia tak nak baca.

Boleh faham rasa sakit hatinya bagaimana bila selalu kena macam tu?

Lagi-lagi, kita punyalah tolak orang lain, semata-mata nak kejar dia, alih-alih, sebegini rupa balasannya.

Tapi, tak mengapa. 10 tahun boleh bersabarkan. Dia senyap, kita sabar dulu. Terasa hati, sabar. Itu ujian. Jangan marah-marah walau hati rasa sakit. Jangan mengeruhkan keadaan.

Keesokan harinya, selepas 16 jam, barulah dia balas mesej malam tadi tu,

“Sebenarnya dah lama terima. Cuma cari masa yang sesuai je nak bagi tahu”.

Hati terasa lega sikitlah bila dia kata sebegitu. Setelah sekian lama, akhirnya teka-teki itu terjawab. Punyalah banyak pusing-pusing, mana aku tak geram dibuatnya kan.

Tapi, jauh dari sudut hati, entah mengapa terasa bagai ada sesuatu yang tak terucap, kata balasannya itu sepertinya tidak datang dari hati yang luhur, bagai ada sesuatu. Entahlah.

Tapi tak apa. Sabar. Mungkin dia malu tapi mahu, kan?

Dipancung mati, digodam patah, digantung tinggi, direndam basah, pabila hati diaku sudah, hati ku tetap, tidak membantah.

Makanya, tetaplah hati aku untuk dia seorang. Atirah? Hanya sekadar irama senandung yang datang dan pergi dibawa angin lalu.

Sebenarnya, selepas tu, ada lah niat nak mesej Atirah buat sekalian kalinya, nak bagi tahu pada dia, tak boleh nak berkawan dengan dia, tapi bukanlah sebab dia tak cantik ke apa. Ye lah, takut nanti dia berkecil hati pulak, takut dia fikir orang tak suka dia sebab fizikal dia ke apa kan.

Tapi, entah lah. Tak jadi nak mesej. Berdiam diri lebih baik rasanya.

Selesai satu masalah.

Selepas itu, kekal lah aku berhubung dengan buah hati yang pendiam tu seperti biasa. Masih seperti dulu, tanya panjang-panjang, jawab sepatah juga, kadang-kala tak balas.

Tapi, sabar je lah. Ada orang pendiam, tapi bila mesej, hilang pendiamnya, tapi yang ini, sepanjang masa pendiam.

Kita kumpul duit banyak-banyak je dulu. Simpan untuk kahwin kelak. Kalau bercinta bagai langit dan bumi kita punya pun, tak guna kalau tak ada duit, kan?

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan. Awal Ramadhan hari tu, adalah bagi tau, nanti nak datang rumah dia, jumpa keluarga.

Terasanya hati bila dia berat hati nak bagi datang. Dia cakap, “nanti fikir dulu”.

Sepanjang Ramadhan ini, aku banyak beristikharah, memohon pada Tuhan yang membolak-balikkan hati,

“Ya Allah, jika dia baik untuk agama ku, kau takdirkanlah dia untuk ku, dan kau permudahkanlah. Jika dia bukan takdirku, kau bantulah aku untuk melupakan dia, amin..”.

Kemudian, di penghujung Ramadhan, aku bertanya lagi sekali, tetap macam tu juga, masih berat hati.

Kita ni pun, terasa hati lah. Dalam hati fikir, mungkin sebenarnya dia tak sudi dengan kita. Ye lah kan, anak sungai boleh berubah, pantai pun boleh berubah, ini kan pula hati manusia. Jadi fikir macam tu.

Tanya lah terus-terang, “Kenapa macam berat hati nak bagi datang, dah tak sudi dengan saya ke? Apa pun terus-teranglah, bukan saya nak marah pun”.

Tapi, mesej tu ke esokan harinya baru bluetick, tapi tak dibalas pun.

Adoi. Sabar lagi.

Sampai lah hari Ahad hari tu, raya ke – 3. Muncul kembali watak rakan baik aku yang dulunya membantu aku menjejaki si dia ni, Fairuz dan Yan. Fairuz ni perempuan, Yan ni lelaki tau, dua nama ni keliru sikit.

Mereka dua ni, kawan baik aku masa sekolah dulu, dan bakal bernikah raya ke-8 ni, hari Jumaat nantilah.

Boleh perasan tak kaitannya? Mesti tak perasan kan?

Ok, buah hati aku tu, sekolah sama dengan aku dulu kan? Makanya, sama sekolah dengan Fairuz dan Yan jugalah. Sebenarnya, Yan kawan sekelas, kawan satu dorm. Fairuz pula, kelas lain. Tapi, satu dorm dengan buah hati aku tu, kiranya kawan baik juga lah.

Bila diorang ungkit, aku selalu kena marah dengan Fairuz bab ni, kenapa tak bagi tahu awal-awal dulu lagi. Kenapa dah nak 10 tahun baru bagi tau minat dekat orang tu. Nak buat macam mana, sekolah teknik & vokasional, biasa kalau lain-lain jurusan, orang kenal biasa-biasa je lah kan, mana lah aku nak tahu diorang dulu satu dorm.

Mungkin ini semua ada hikmahnya.

Berbalik kepada kisah raya ke-3 tadi, Fairuz datang ke rumah buah hati aku tu, bukan nak beraya sangat pun, dia suruh ‘alter’ baju nikah dia. Dia nikah dengan si Yan tu lah ye tuan-tuan dan puan-puan sekalian. 10 tahun bercinta dari sekolah dua orang tu, akhirnya bernikah juga…InsyaAllah. Oh ye, buah hati aku tu pandai menjahit, tapi, ambil tempahan dekat rumah je lah.

Ok, jadi sewaktu ‘beraya’ tu, ada lah diorang membawang, cakap pasal aku. Perempuan jumpa perempuan ni, cakapnya lain sikit, mesti macam-macam dia cerita. Bila aku tanya sembang apa, tak nak bagi tau, rahsia katanya. Bukan main lagi.

Adalah Fairuz cerita, “Sebenarnya buah hati kau tu, kadang dia sibuk, tak sempat nak tanya mak ayah dia, bila nak tanya, mak dia dah tidur. Jadi, aku ajar dia, senang je, ajak keluar, kemudian nanti bagi tahu ada kawan nak datang rumah”.

Tambahnya lagi, “Dia ada jugak cerita, ko tanya dia terima ko ke tak, dia masa tu tengah fikir, tapi masa dia nak reply, macam dah lambat, jadi dia senyap je lah. Yang ko tak tanya dia balik kenapa..haa?”.

“Aik, aku pulak yang dipersalahkan. Yan, boleh terima ke kalau perempuan bagi alasan macam tu?” kata aku cuba mempertahankan diri sambil meminta bantuan Yan. Yan setuju dengan aku, kita orang lelaki memang ada semangat ikatan ‘brotherhood’.

Akhirnya, dapatlah ‘greenlight’ untuk bertemu dengan kedua orang tuanya, tapi ditemani Fairuz dan Yan sama. Rupanya, dia takut kekok kalau aku datang sorang-sorang je, macam tu lah dia jawab bila aku kata kalau boleh nak datang sorang-sorang je.

Keesokan harinya, aku bangun dengan semangatnya, ye lah, nak jumpa bakal pak mertua kan, hehe.

Tiba-tiba, tak semena-mena, masuk satu pesanan Whatsapp dari mak Amer,

“Assalamualaikum…makcik ni mak Amir, nak tanya kamu ni masih tak ada kawan lagi ke? Kalau tak ada macik ada nak bagi awek yang baru ni, namanya Mahirah. Kerjanya doktor, cantik orangnya”, tulisnya, dengan emoji senyum nampak gusi.

“Adoi, boleh tahan mak Amer ni”, kata aku dalam hati. Sambil tu aku ‘screen shot’ mesej tu, hantar ke group Whatsapp, dalam tu ada Fairuz dan Yan je. Aku kata, “Betullah kata orang, ujian bertunang bukan biasa-biasa. Katanya, kita akan di uji dengan calon yang lebih baik. Tapi, aku tunang atau apa-apa pun belum lagi”.

Fairuz bagi emoji ketawa, sambil balas, “Adeh…macam-macam hal. Ko tu cepat sikit move step”.

“Ha…iyo lah”, balas ku.

Sambil itu aku menyusun kata, tulis baik-baik pada mak Amer,

“Wa’alaikummussalam.

Sebenarnya saya dah ada berkenan dekat orang lain.

Kawan sekolah dulu.

Tapi, baru-baru ni dapat semula contact dia.

Masa sekolah dulu tak tegur pun. Lepas sekolah dulu pun tak ambil no phone ke apa.

Dapat semula contact dia, lepas tak jadi dnegan Atirah dulu.

Atirah tu baik juga. Lawa. Tapi itulah, saya ni susah sikit nak rapat dengan orang tak kenal, rasa segan. Atirah pulak selalu senyap dulu, ye lah, mesti lah dia malu kan. Saya pun jadi fikir macam-macam jugak. Tapi itu lah. Mungkin sebab bukan takdirnya untuk saya kot….

Yang dengan kawan sekolah saya ni. Belum lah ada apa-apa ikatan lagi. Mak dia pun tak jumpa lagi.

Tak tahu lah akan datang jadi jodoh ke tak.

Tapi saya terus terang lah, tak manis kalau kawan dengan perempuan lain juga, nantua suatu hari takut ada hati yang terluka…

Sebab tu lah tak contact Atirah pun lepas jumpa masa Amer kahwin hari tu.

Maaf ye mak cik, hampa kan mak cik pulak….”.

Kemudian, mak Amer balas,

“Sedihnya makcik dengo..takpe le ye, makcik doakan agar kamu dapat jodoh yang baik-baik”.

“Amin..InsyaAllah. Terima kasih sangat dengan usaha makcik ni, saya hargai sangat…”, aku membalas.

Mak Amer ni, nasib baik je anak perempuan dia dah kahwin. Kalau tidak, aku nak dijadikannya menantu. Semangat betul nak mencarikan jodoh untuk aku. Sebelum ni, kalau datang rumah Amer, sembang dengan Amer je, tak pernah pun tegur sakan mak dia. Tak tau lah apa yang dia nampak pada aku ni. Aduhai.

Kalau begini mak Amer 3-4 tahun dulu, mesti dah lama aku kahwin kan? Tapi, beginilah aturan hidup. Semuanya ada hikmah tersendiri, kita tak tahu.

Kemudian, tengah hari tu, berangkatlah aku ke Sitiawan, rumah dia dekat kawasan sana lah.

Dalam pertemuan tu, kami tiba agak lewat, jam 6:30 petang. Sebelum tu ada hal lain.

Di rumah dia, kami duduk semeja sambil makan mee kari, ada orang tua dia pun ada sekali lah. Sembang punya sembang, apa yang aku nak kata, tak terkata, tak terucap. Fairuz dah jeling-jeling suruh aku cakap.

Masa terasa berlalu pantas, sampailah azan Maghrib berkumandang.

“Ini tak boleh jadinya, bukan selalu ada peluang ni, nak tak nak kena cakap juga ni”, kata aku dalam hati.

Waktu itu, kulit muka terasa panas. Terasa berpeluh-peluh dari dalam.

Akhirnya, berjaya juga meluah kata,

“Pak cik, mak cik…. sebenarnya saya ada hajat. Saya nak lamar anak pak cik ni, jadi, dalam waktu terdekat ni nanti, saya akan hantar rombongan lah, bila tarikh yang sesuai, nanti bincang dulu”, kata aku tenang, sambil mata melihat kedua orang tuanya.

Kemudian, disambut baik oleh emak dia. Alhamdulillah.

Makanya, selesai satu peringkat ujian hidup, yang lain bakal menyusul.

Berkat kesabaran, hampir setahun jugalah semenjak berjaya menjejak kembali pada bulan Oktober tahun lalu, akhirnya, liku-liku ini dipermudahkan olehNya.

Misi sekarang, kumpul duit bagi cukup pulak, sambil penyediaan untuk memulakan jalan hidup yang baru bersama yang terchenta.

Ok, cerita sini habis sini ye. Jangan nak minta cerita lain dah, aku tak larat nak tulis lagi. Korang yang baca penat, aku yang tulis ni lagi lah

*Aku ada lah cerita lah dekat dia, rasa lega lepas dapat bagi tahu nak lamar, sebelum tu muka rasa panas bagai. Lepas tu, tau dia cakap apa? “Itu yang kata datang sorang boleh?”. Amboi, dalam pendiam, bukan main garang lagi. Mati aku.

*Terima kasih pada semua pembaca budiman dengan komen-komen sebelum ni, kadang kala hati terasa, komen kalianlah yang jadi pengubat duka dan lara.

– matz

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *