Assalamualaikum semua, terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih pada admin sekiranya sudi menyiarkan luahan saya. Terima kasih juga kepada pembaca kerana sudi meluangkan masa membaca luahan saya.
Saya namakan diri saya, Rima. Seorang wanita berumur 28 tahun dan masih bujang.
Apa yang mahu saya sampaikan adalah perihal kisah lama saya menjalin hubungan cinta bersama seorang lelaki non-muslim (chindian) yang bekerja di tempat sama. Ketika itu saya baru saja grad dan alhamdulillah mendapat peluang pekerjaan awal.
Bekas kekasih saya namakan C, merupakan lelaki yang sangat gentleman, sangat baik tutur cara nya, sangat teliti ketika bekerja dan mempunyai sikap yang suka buat orang sekelilingnya senang hati begitu juga dengan saya.
Awal bekerja, saya dan C hanyalah sekadar berkawan di tempat kerja, tidak ada apa-apa perasaan memandangkan C bukan islam.
Sikap saya pula, sekiranya dengan orang lelaki yang bukan islam, walaupun ada rupa, saya tetap melayan seperti kawan-kawan, tapi apabila dengan lelaki sesama islam, saya agak menjaga batas dan tidaklah terlalu mesra.
Salah saya juga apabila saya terlalu ‘selesa’ dengan C, saya suka bergurau dan berbual seperti saya berbual dengan kawan biasa. Apa-apa yang saya perlukan, saya akan cari C, walaupun ada lelaki lain, saya tetap memilih untuk bekerja dengan C.
Dan dalam diam, selama 2 tahun, C menyimpan perasaan suka pada saya. Manakala saya langsung tak merasa apa kerana saya hanyalah menganggap C sebagai kawan. Tambahan pula, C bukan islam, jadi mana mungkin saya dan C boleh jatuh hati.
Tapi itulah yang terjadi. C meluahkan perasaaannya ketika kami bekerja lebih masa (OT). Saya terkejut dan ketawa. Saya minta dia jangan bergurau. Tapi C langsung tak senyum atau ketawa.
Saya tatap mata C, dan saya katakan pada C, kita tak mungkin boleh bersama, perkara ni tak akan terjadi. Saya minta C sedar yang agama saya dan dia berlainan.
C tanyakan pada saya, kenapa saya layan dia dengan baik, mesra dan sering utamakan dia dalam apa-apa perkara jika langsung tak ada perasaan suka pada dia. Jujur saya katakan, hari pertama bekerja, C yang menegur saya.
C memang ada rupa, hitam manis, raut wajah C pun manis dan tenang. Seperti jatuh cinta apabila C menegur saya pada hari pertama. Saya yang ketika itu tak tahu C merupakan non-muslim, malu-malu untuk berbual memandangkan wajah C seakan orang melayu.
Tapi selepas tahu yang C adalah non-muslim, secara automatik saya hilang perasaan malu.
Saya terus menafikan perasaan suka kepada C kerana dia merupakan non-muslim hinggalah C sendiri menyatakan perasaannya.
Saya terkedu, seperti cinta berbalas, tapi saya dan dia berbeza agama, mana mungkin dapat bersama. Berulang kali saya ulang pada C, saya minta dia lupakan perasaannya.
Namun C tidak mengalah. C juga berkata bahwa saya sebenarnya suka padanya, tapi sembunyikan kerana agama.
Ketika itu saya tidak mampu berpura-pura lagi. Saya tanya pada C, kenapa perlu beritahu semua ni. Kenapa tak diamkan. C buat saya serba salah. Serba salah untuk terima C kerana perbezaan agama.
Selepas itu, saya dan C mula bercinta. Tidak puas berjumpa di tempat kerja, sebelum tidur kami akan berbual di telefon sehingga salah seorang tertidur. Kami terlalu “in love” ketika itu. Terasa bahawa dunia ini milik berdua hingga lupa tentang masalah dan ujian yang akan datang.
Ujian pada kami apabila saya bertanya pada C sekiranya C sanggup menukar agamanya. Namun, C berkata dia tidak berfikir lagi kearah itu. C buat saya terumbang ambing. Sebagai orang islam, setiap hubungan pastilah diakhiri dengan pernikahan.
Seringkali saya memberi hint, namun C seolah mengelak untuk berbincang tentang itu. C masih seperti biasa, menyayangi saya dan melayan say dengan baik.
Ujian kedua adalah apabila C ditukarkan ke cawangan luar negara. Ya, negara. Bukan negeri.
Sebenarnya sebelum saya dan C bercinta lagi, C sudah memohon untuk bekerja di cawangan tersebut. C terus menjadi serba salah, sama ada nak tinggalkan saya di sini atau mengejar impiannya yang dah lama dia nantikan.
Walaupun berat, namun ku minta C kejar impiannya. Saya sudah melakukan solat isthikarah tentang C, petunjuk yang sangat jelas apabila saya bermimpi saya sedang solat sambil membaca al-quran dengan tenang. Jelas untuk saya hadamkan bahawa itu petunjuk agar saya melepaskan C.
Saya bersungguh-sungguh minta C kejar impiannya tanpa C tahu bahawa saya sedang berusaha untuk memutuskan hubungan yang sia-sia.
Setelah C berangkat, saya masih contact dan menelefon antara satu sama lain. Hingga 1 hari, saya bertanya untuk kali terakhir, adakah C mahu teruskan hubungan ini.
Saya terangkan pada C, hubungan kita tak akan kemana sekiranya C tak ada niat untuk menukar agamanya dan mempelajari islam.
C terdiam, dan C menangis kerana dia tak akan dapat menukar agamanya, ini kerana dia dilahirkan dalam keluarga yang kuat agama. Dan dia takkan menyakiti hati ibu bapanya hanya kerana mahu bersama saya.
Saya sudah mengetahui C akan berkata seperti itu. Malam itu, saya dan C sama-sama menangis. C meminta maaf kerana tidak dengar cakap saya pada awal dulu, sekiranya dia tak minta saya terima dia, pasti perkara yang sangat menyakitkan hati ini takkan terjadi.
Saya juga sama, sekiranya saya tak buka hati untuk terima C, pasti kami berdua akan berkawan baik.
Akhir perbualan saya dan C, kami membawa haluan masing-masing. Kami mengakhiri hubungan dengan baik walaupun sebenarnya berbulan-bulan saya tunggu panggilan C, saya harap C akan berubah fikiran atau terbuka hati untuk belajar islam. Namun, harapan tinggal harapan.
Saya sibukkan diri dengan bekerja, melakukan aktiviti agar tidak ingat pada C. Berbulan juga saya sukar tidur kerana saya dibayangi kenangan saya dan C ketika bercinta dahulu. Menangis kerana saya dan C diuji seperti ini.
Sesaknya dada saya ketika menaip walaupun sudah 2 tahun berlalu. Masih berbekas dihati.
Apa yang menyebabkan saya menulis adalah kerana baru-baru ini saya tak sengaja membelek messenger dan terjumpa request message di FB saya, dan di bahagian “spam” ada nama C yang berulang kali menghantar chat.
Saya minta pendapat pembaca, adakah perlu saya membalas chat C, atau biarkan saja dan terima bahawa C hanyalah persinggahan. Sesungguhnya saya dah berusaha sepenuhnya untuk lupakan C.
Assalamualaikum…
– Rima (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Balas je. Jadi kawan semula tanpa bercinta. Mana tahu hati dia slow2 terbuka untuk menjadi Islam. InshaAllah