Didera atau Mendera?

Nama Farhana (bukan nama sebenar). Berumur 24 tahun sekarang.

Cerita bermula ketika di tahun 3 pengajian ijazah. Dalam salah satu mata pelajaran, saya bersama 3 orang pelajar yang lain bagi menyelesaikan beberapa tugasan berkumpulan sepanjang semester.

Pendek cerita, setelah separuh semester berjalan, saya dan salah seorang ahli kumpulan, seorang lelaki, Farhan (bukan nama sebenar) mula menjadi rapat melebihi sekadar rakan kumpulan.

Setelah beberapa minggu menjadi akrab, Farhan mula menyatakan hasrat bagi mengenali saya lebih dekat dengan niat untuk menjalinkan hubungan serius yang bermatlamatkan perkahwinan.

Saya yang ketika itu berasa selesa dengan keakraban kami, bersetuju untuk berkenalan lebih rapat dan akhirnya kami menjalikan hubungan serius dan tidak lama kemudian mula berbincang mengenai alam perkahwinan.

Saya amat mengagumi dan menyukai tindakan Farhan yang serius dengan niatnya untuk menjadikan saya isteri, katanya.

Pendek cerita, setelah tamat semester berkenaan (setelah 5 bulan), kami menjalani cuti semester selama 3 bulan. Sebelum memulakan semester seterusnya.

Semasa cuti semester, saya melakukan kerja sambilan di sebuah pasaraya besar di sebuah kompleks membeli belah.

Kerja sambilan ini jadualnya tidak tetap setiap minggu kerana ‘supervisor’ akan sentiasa ubah jadual bagi memastikan semua pekerja sambilan memiliki jumlah waktu bekerja yang adil.

Gaji akan dibayar mengikut jumlah jam bekerja. Maka kerja saya ini memang tidak akan pernah tetap waktu mula dan balik kerja.

Saya bercadang untuk bekerja di situ selama 2 bulan sahaja. Setelah 1 bulan bekerja di situ, tiba tiba kereta ibu yang saya pinjam untuk pergi dan balik kerja, rosak di bahagian ‘gear box’.

Jumlah wang diperlukan untuk membaiki kereta agak besar sebenarnya, maka kami sekeluarga tangguhkan dulu hasrat untuk baiki kereta tersebut.

Selama beberapa hari saya pergi dan balik kerja dihantar dan dijemput oleh ayah dan adik lelaki yang juga bekerja. Tapi sebenarnya keadaan ini menyusahkan mereka.

Jadual waktu masuk dan balik kerja saya tidak tetap setiap hari, sedangkan ayah dan adik saya bekerja 8 pagi – 7 petang. Sekiranya waktu masuk kerja saya agak lewat, mereka tak dapat nak hantar saya, jadi saya terpaksa menggunakan grab untuk ke tempat kerja.

Dan untuk pulang ke rumah, mereka terpaksa menunggu saya sehingga shift saya tamat (waktu yang jugak tidak tetap) kadangkala shift saya tamat pada jam 11 malam.

Saya ada meminta ‘supervisor’ untuk tukar jadual saya supaya masuk 8 pagi setiap hari, supaya saya boleh balik awal, tapi katanya tak boleh begitu, tak adil bagi pekerja lain.

Katanya saya boleh tukar jadual saya suka-sama-suka sesama mereka yang dapat shift jam 8 pagi. Jadi saya ada dapat tukar untuk beberapa hari, Tapi lama lama rasa berat dan agak malu untuk kerap tukar jadual dengan pekerja lain.

Saya ada juga mengadu dengan Farhan tentang masalah saya. Kata Farhan, dia boleh jemput dan hantar saya ke tempat kerja. Dia belum dapat lagi apa apa kerja sambilan, jadi katanya dia ada banyak masa terluang. Tapi saya tolak kerana hal itu adalah mustahil.

Dia duduk di Muar. Saya di Johor Bahru. Diambil kira waktu kerja saya yang tidak tetap ini, memang agak mustahil dan akan merumitkan keadaan. Ditambah pula perjalanan dari rumah saya ke tempat kerja saya sangat sesak dengan trafik.

Jadi setelah berbincang dengan mak, akhirnya dengan berat hati saya hantar notis berhenti kerja dalam masa seminggu.

Esoknya, ada seorang rakan kerja saya yang juga berkerja secara sambilan, Ali (bukan nama sebenar) yang mengetahui saya akan berhenti kerja, bertanyakan sebab saya nak berhenti kerja.

Saya bagitahu, saya tiada kenderaan untuk pergi dan balik kerja. Dan tak mahu menyusahkan ayah dan adik.

Beberapa hari kemudian, Ali menyatakan hasrat untuk menumpangkan saya untuk pergi dan balik kerja.

Rumah Ali dan rumah saya hanya jarak 5-10 minit sahaja. Agak dekat. Jadi katanya, alang alang sehaluan, boleh pergi dan pulang sekali. Cumanya, jadual shift harus sama.

Katanya, saya hanya tinggal beberapa minggu sahaja sebelum semester seterusnya bermula, jadi agak rugi Kalau saya berhenti sekarang. Lebih baik saya habiskan sahaja kerja sampai habis cuti semester.

Maka saya bersetuju dengan tawaran tersebut. Tapi semestinya bukan percuma. Kereta bergerak guna minyak kan. Jadi setelah berbincang dengan Ali, saya membayar rm5 sehari.

Jadi RM30 setiap minggu (6 hari kerja). Saya juga ada beritahu the Farhan tentang hal ini. Mulanya dia agak berat hati. Risau katanya macam macam boleh berlaku. Barangkali dia cemburu. Teringat kisah lama hubungan cinta sebelum ini,

Farhan jadi trauma kerana hubungan lamanya musnah gara gara kekasihya curang dengan lelaki yang digelar ‘hanya rakan’. Farhan takut pisang berbuah dua kali.

Tapi saya yakinkan Farhan, saya hanya tumpang untuk beberapa minggu sahaja sebelum saya akan berhenti untuk kembali ke semester berikut. Dan hanya untuk pergi dan balik kerja sahaja.

Tidak lebih dari itu. Saya juga menyuruh Ali menjemput Saya di rumah agar keluarga dapat lihat dengan jelas siapa yang menjemput saya dan kereta apa yang saya naik. Nombor Ali juga saya sudah berikan pada keluarga, untuk keselamatan.

Sepanjang berbaki lebih kurang 3 minggu bekerja dengan menaiki kereta Ali, ada juga beberapa kali Farhan meluahkan perasaannya yang bercampur baru. Rasa sedih, cemburu, ragu ragu, kecewa, takut, risau dengan keadaan saya yang pergi dan pulang kerja bersama Ali.

Ada kala nya dia menangis, merayu rayu saya berhenti dari tumpang Ali untuk pergi dan pulang kerja. Kerap kami bergaduh besar kerana hal ini.

Sekejap dia okay, sekejap dia tak okay. Kadangkala Farhan ada juga mencurigai saya dan mula menuduh saya ada menjalinkan hubungan dengan Ali. Sedih saya dituduh bukan bukan.

Ada ketika Farhan menyatakan hasrat ingin datang ke tempat kerja saya untuk melihat sendiri sama ada saya ada apa apa hubungan dengan Ali atau tidak.

Tapi saya katakan tidak perlu lah sampai begitu. Memang benar saya hanya menumpang kereta Ali dan memang tidak ada apa apa di antara kami. Masing masing masih menjaga batas. Hanya berhubung untuk pergi dan balik kerja.

Saya cuba memahami perasaan dan hatinya, saya rasa bersalah juga. Saya tahu dia pernah dikecewakan.

Tapi saya memang tidak terfikir langsung untuk menduakan dia. Saya perlukan duit. Saya perlukan duit. Harga untuk baiki kereta ibu yang rosak itu agak besar. Kami bukan dari keluarga yang senang. Jadi saya memang betul betul perlukan kerja dan duit.

Saya selalu tenangkan Farhan dari perasaannya yang celaru itu dan saya kata hanya tinggal beberapa minggu sahaja. Kemudian semuanya berakhir.

Keadaan saya ketika itu, seperti ditelan mati emak, diluah mati bapak. Kadang kala tertekan juga apabila kerap bergaduh dan kerap dituduh bukan bukan.

Dan akhirnya, 3 minggu berlalu. Saya berhenti kerja untuk meneruskan semester berikut. Saya tidak lagi berhubung dengan Ali kerana tidak ada sebarang keperluan memandangkan saya tidak lagi menaiki keretanya.

Namun, Saya dan Farhan sekali lagi berperang besar. Kata Farhan, saya telah sangat melukakan hati dia, saya seksa jiwa dan emosi dia. Katanya sepanjang saya bekerja dengan menumpang Ali, setiap malam Farhan mengangis.

Sepanjang tempoh itu, Farhan tidak lalu makan, tidak dapat tidur dengan baik, tidak tenang la hidup katanya. Katanya, dia dah terlalu lama makan hati dengan apa yang saya buat. Farhan tak dapat membendung lagi perasaan marah dan kecewa nya.

Saya jadi buntu dan sangat tertekan dengan situasi itu. Saya katakan bahawa saya hanya menumpang rakan sekerja utk ke tempat kerja dan itu pon hanya untuk 3 minggu.

Saya bukannya curang ataupun menggatal dengan Ali. Tapi setelah bertengkar besar, Ali tetap dengan pendirian bahawa saya telah melakukan kesilapan besar yang tak mampu dia maafkan. Akhirnya kami memutuskan hubungan.

Setelah masuk semester baru, beberapa minggu kemudian, kami menjalinkan semula hubungan. Kami mahu mengetepikan apa yang berlaku.

Farhan mahu saya mengaku kesilapan saya dan meminta maaf. Saya mengaku kesilapan saya, saya meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi semula.

Farhan memafkan saya dan keadaan kembali normal. Kami kembali rapat dan meneruskan hubungan dengan baik dan indah. Namun, beberapa bulan kemudian kami bergaduh besar lagi.

Setiap kali kami bergaduh, tentang apa apa sahaja, Farhan pasti akan mengungkit tentang kejadian saya bersama Ali. Sehinggalah pergaduhan menjadi besar.

Saya stress bila kesilapan saya terus menerus diungkit. Katanya dia masih tidak boleh menerima dan memaafkan apa yang saya lakukan terhadapnya. Hatinya berdarah kembali katanya.

Saya meminta maaf berulang kali, saya menangis, saya tertekan apabila Farhan selalu mengungkit hal yang lama. Saya tak mampu mengubah masa lalu,

Tapi saya sudah berjanji tidak akan mengulanginya. Setiap kali kali bergaduh, Farhan akan mengungkit kejadian lama itu, saya akan marah kerana saya rasa dia tak perlu nak ungkit ungkit benda yang dah lepas. Dulu katanya dah memaafkan saya, Tapi sekarang lain pula jadinya.

Sehinggalah suatu hari, Farhan meminta putus. Saya merayu apa yang boleh saya buat untuk memperbaiki keadaan dan hubungan, saya sayangkan hubungan ini.

Dia tetap mahu perpisahan tetapi saya tetap merayu. Katanya dia akan lega dan segalanya akan selesai jika dia dapat dengar sendiri dari mulut Ali.

Jadi saya dan Farhan duduk semeja dan saya membuat panggilan telefon kepada Ali. Saya meminta Ali untuk menerangkan kepada Farhan bahawa tidak ada apa apa antara kami.

Kemudian saya serahkan telefon saya kepada Farhan supaya dapat berbual langsung dengan Ali. Setelah selesai perbualan, Farhan mengatakan segalanya sudah selesai.

Dia telah berpuas hati. Saya memberitahu Farhan bahawa perbuatannya mengungkit kesilapan lama saya adalah ‘racun’ bagi hubungan kami. Perkara itu akan melukakan hati saya.

Farhan berjanji tidak akan mengulanginya, tidak akan mengungkit lagi. Kemudian kami meneruskan hubungan seperti biasa.

Namun tidak lama kemudian, Farhan sekali lagi memutuskan hubungan kami. Katanya dia tidak mampu lagi meneruskan hubungan kerana dia akan kerap teringatkan kejadian saya menumpang Ali untuk pergi dan pulang kerja tempoh hari, dan hal itu akan menyeksanya.

Dia benar benar terganggu. Katanya dia tidak dapat memafkan saya dan tidak dapat melupakan apa yang saya buat.

Pernah dia gelar saya perempuan murah. Dan dia juga pernah memarahi saya dan mula bercakap kasar dengan saya dengan panggilan aku kau. Saya tertekan dengan situasi ini. Hari tu katanya sudah selesai, sudah maafkan saya. Tapi kali ini lain pulak jadinya.

Pendek cerita, sepanjang hampir 2 tahun begitu lah kitaran hubungan kami. Setelah berpisah, Farhan meminta untuk diberi peluang sekali lagi dan berjanji untuk berubah dan tidak mahu mengungkit lagi kesilapan lama saya.

Namun sebaliknya, dia terus menerus mengungkit kisah lama saya menumpang Ali ke tempat kerja setiap kali ada sebarang pergaduhan. Di setiap ungkitan, kejadian tempoh lalu itu akan dijadikan punca kepada masalah yang berlaku dalam hubungan kami.

Setiap kali kami bergaduh, Farhan akan seboleh boleh mengaitkan saya dengan lelaki lain. Dan kemudian akan mengungkit kisah saya menumpang Ali ke tempat kerja. Perkara ini benar benar menguji kesabaran saya, dan ia sangat menyeksa perasaan saya.

Seolah olah saya ini wanita buruk di mata Farhan. Pernah di satu ketika, saya menolak permintaan Farhan untuk memberi saya ya wang RM80, untuk membantu sebahagian dari jumlah wang membaiki telefon saya. Saya tidak mahu menyusahkan dia. Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa.

Tapi apabila saya menolak bantuan nya, terus dia ungkit kisah saya terima bantuan Ali untuk tumpang ke tempat kerja suatu ketika dulu. Katanya “ouh bantuan saya tak nak terima, bantuan lelaki lain awak terima”

Kemudian, saya yang hilang sabar akan memarahinya. Kemudian kami bergaduh besar sehinggalah Farhan memutuskan hubungan kami.

Pokoknya apa sahaja isu atau perbalahan antara kami, walaupun ianya hal yang kecil, Farhan akan kaitkan saya dengan lelaki lain dan mula mengungkit kisah lama saya.

Setiap Kali Farhan mengungkit saya akan memberitahu bahawa perkara itu sangat mendera emosi saya. Saya selama ini terus menerus bersabar dengan apa yang Farhan lakukan.

Ada ketika saya yang sudah hilang sabar akan memarahinya apabila dia mengungkit lagi kisah lama saya menumpang Ali ke tempat kerja. Dan kemudian Farhan meminta maaf dan berjanji akan berubah.

Katanya saya harus bersabar dengan dirinya.Kata Farhan, dirinya jadi seperti itu kerana perbuatan saya dulu. Jadi saya harus beri dia peluang untuk berubah.

Walaupun hati saya remuk,selama hampir 2 tahun diperlakukan sebegini rupa, saya tetap terus menerus memberi Farhan peluang apabila Farhan meminta untuk menjalin semula hubungan.

Saya percaya semua orang pantas diberi peluang. Namun, tiada apa yang berubah. Sehingga ke hari ini, Farhan memungkiri janjinya, tetap mengungkit kisah lama.

Saya merasakan hubungan kami ini sangat tidak sihat. Memang benar saya pernah melakukan kesilapan. Memang benar saya pernah menyakitinya. Namun ia hanya sekali dan saya sudah meminta maaf dan saya sudah tidak mengulanginya lagi. Tapi dia?

Kenapa dia terus menerus berkali kali menyakiti saya, mendera emosi saya sehingga ke hari ini. Sehingga hampir 2 tahun hubungan kami.

Bila saya tanya kenapa dia terus menerus menyakiti saya, kata Farhan, kerana sakit yang saya berikan padanya terlalu besar dan tidak akan mampu dia maafkan.

Apabila saya cuba katakan bahawa dia juga menyakiti saya tetapi saya sabar, ayat yang selalu diberi ialah sakit saya tidak sebesar sakit dia. Perbuatan dia tidak akan sama dengan apa yang buat terhadap dia. Kata Farhan ia hanya akan sama jika Farhan buat perkara sama terhadap saya.

Namun kini, kami sudah tidak lagi menjalin hubungan selepas Farhan meninggalkan saya untuk kali yang kelima, setelah hampir 2 tahun kami menjalin hubungan.

Perpisahan ini kata Farhan kerana dirinya telah disakiti. Perpisahan ini menurut Farhan, saya lah puncanya. Perpisahan ini seolah menjadi tanda bahawa Farhan yang menjadi mangsa deraan saya, telah pon dibebaskan.

Tapi persoalannya siapa yang mendera emosi siapa?

– Farhana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *