Didikan Ibu Ayah

Assalamualaikum dan hai semua. Aku NA (bukan nama sebenar). Meh, hari ni nak cerita pasal cara ibu ayah didik aku, abang dan kakak. Aku percaya didikan ibu ayah dari rumah la yang menentukan siapa kita pada hari ini. Baik acuannya, baiklah kemenjadiannya. InsyaaAllah.

1. Agama

Sedari kecil memang ibu ayah yang akan ajar kami mengaji dari Muqaddam sehinggalah Al-Quran. Kadang, juga dihantar ke kelas mengaji. Alhamdulillah, kami semua khatam Al-Quran sewaktu sekolah rendah dan lancar bacaan.

Berkaitan hal-hal agama yang asas atau pengetahuan asas berkaitan batas pergaulan, halal dan haram memang sudah didedahkan kepada kami sejak kecil lagi. Ayah seorang yang sangat menjaga pergaulan kami sedari kecil sehingga menginjak dewasa. Mereka tahu dengan siapa kami berteman dengan siapa kami keluar berjalan.

2. Pendidikan

Seimbang dunia akhirat itulah yang menjadi pegangan ibu dan ayah. Ibu ayah tidak memaksa kami untuk memilih bidang tetapi dalam membuat pilihan pilihlah bidang yang mempunyai peluang pekerjaan yang cerah masa hadapan.

Cuma untuk bab pendidikan ini sememangnya, mereka memberikan syarat kami perlu tinggal di asrama tingkatan 1 – tingkatan 5 dan sekurang-kurangnya belajar hingga tahap ijazah sarjana muda. Mereka mahu kami tinggal di asrama supaya kami belajar berdikari dan mereka mahu kami belajar sehingga peringkat ism kerana pentingnya menuntut ilmu.

3. Akhlak dan keperibadian

Perselisihan faham itu biasa sebab hakikat kita juga manusia biasa. Andai berselisih atau senang kata kami bergaduh adik beradik, ibu dan ayah akan menegur kami. Kami dibiasakan untuk saling meminta maaf. Dalam gaya hidup pula dibiasakan untuk bersederhana walaupun mampu. Membeli jangan sampai membazir.

4. Disiplin dan rutin

Ibu ayah tidaklah mendidik kami cara tentera tetapi mereka punya cara tersendiri dalam mendisiplinkan kami. Sejak seusia 7 tahun kami sudah diajar menggosok baju sekolah sendiri. Kami sudah dibiasakan dengan kerja-kerja rumah sedari kecil. Basuh pinggan, sidai baju, menyapu dan banyak lagi.

Sewaktu sekolah menengah, kami diajar untuk memasak pula. Hasilnya, berkaitan hal-hal kerja rumah ini, kami tidak perlu untuk disuruh lagi bila dah besar. Jarang-jarang ibu dan ayah gosok baju sendiri sebab kebiasaannya antara kami adik beradik yang akan gosokkan.

Waktu cuti panjang biasanya kami akan siap-siap gosokkan baju kerja ibu ayah. Waktu berada di rumah juga biasanya kami yang akan masak atau masak sama-sama.

5. Ibu ayah sebagai role model

Manusia biasa tak sempurna tapi tak salah untuk cari kesempurnaan. Alhamdulillah, sepanjang kehidupan aku yang ingin menjangkau pertengahan 20-an ni, ibu ayah cuba untuk menunjukkan yang terbaik kepada kami.

Adat rumah tangga mesti ada pasang surut dan alhamdulillah, ibu ayah dapat menyelesaikan sesuatu masalah dengan baik. Sewaktu kami kecil ibu ayah didik kami dengan tegas dan bila menginjak dewasa kami seakan sahabat baik. Tiada rahsia antara kami. Ibu ayah sentiasa cakna dengan kami. Sering bertanya masalah dan prihatin dengan perubahan sikap kami.

Itulah beberapa perkara yang aku boleh kongsikan. Bukan untuk tujuan menunjuk baik atau sebagainya cuma untuk berkongsi, mana tahu ada manfaatnya.

Didikan dari ibu ayah ni la yang aku rasa membantu sehingga ke hari ini. Bagi aku adalah penting untuk ibu bapa mencorakkan kehidupan anak-anak. Namun, dalam mendidik jangan terlalu memaksa, mendidiklah dengan ilmu yang sebetulnya.

– NA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *